Bab 10

3K 49 2
                                    

Ceritera Hujan.

Hati gerimis jiwa suram,

Hendak pergi terasa berat.

Malam itu terasa hening. Ada dada yang bergetar, ada jiwa yang berkocak.

"Allah! Takkan pasal benda kecil macam ni pun abah nak masuk campur? Pia mengadu ke?" Menyirap darah Chairil apabila dia yang sedang sibuk menghadap komputer di bilik kerjanya di rumah, diminta menghadap Tuan Ramli.

"Bapa dia ada telefon abah maghrib tadi." Puan Ramnah yang ada sama di situ membuka cerita. Semakin terbeliak mata Chairil memandang abah dan emaknya. Hanya bibirnya terkumat-kamit menahan sebal dalam hati. Suara bagai tidak terucap.

Hah? Bapa Pia Pemuk telefon abah? Huh! Memang Kak Nam Dua Belas minah seorang ni! Spesies ni kalau buat bini, habis semua benda mahu dibuat laporan pada orang tua! Payahlah! Chairil menggumam dalam hati.

"Dah besar panjang masing-masing, Chairil. Kenapa ada nak buli-membuli ni?" soal Puan Ramnah yang membuatkan Chairil menggaru kepala.

"Bila pula Chairil membuli ni mak, abah? Masing-masing sibuk. Chairil keluar masuk pejabat tu pun kekadang tak sempat tukar baju. Dengan baju dari melawat site yang masam berpeluh tu terus ke mesyuarat. Apa yang Chairil buat? Tak cuit pun dia tu! Susahlah kalau sikit-sikit nak mengadu ni! Macam anak dewa dewi kayangan pula!" Spontan keluhan itu keluar dari bibir Chairil. Berulang kali dia menggeleng. Sangat tidak menyangka, perkara kecil menjadi besar.

"Kalau tak membuli, tak ada deraan, takkan dia sampai nak berhenti kerja?" soal Tuan Ramli sambil memandang tepat anak bujangnya.

"Biasalah kalau budak baru ni lompat-lompat kerja. Kita tak boleh nak buat apa, abah." Chairil masih tidak mahu beralah. Rasa sangat tidak adil kalau surat notis dari Sofeatulaishah berpunca dari dirinya.

"Untuk apa Chairil nak mendera perasaan dia? Kita ni manusia, hamba Tuhan, sama saja esok lusa bila berpisah nyawa dengan badan. Tak ke mana ni semua. Bukan selama-lama kita nak hidup dijulang di Menara Rumah Manis tu. Jangan sebab rasa marah Chairil pada Syirah, bekas buah hati kemudian tak suka pula pada isteri Haris, buat Chairil berdendam dengan semua perempuan. Hidup ni bukan untuk perasaan sendiri."

Berdesing telinga Chairil apabila mendengar ungkapan Tuan Ramli. Terasa mahu menjawab. Namun dia tahu dalam keadaan begini, tidak guna dia mempertahankan diri.

"Kita ni menumpang saja di dunia. Tumpang singgah, tumpang bernafas, tumpang berteduh. Tak ada satu pun hak kita. Nyawa kita pun kita tak mampu nak genggam. Jangan jadi semalu, Chairil. Diam. Hidup menjalar, disentuh diam menguncup tapi resam asyik nak menikam orang." Amat tenang Tuan Ramli memberi peringatan pada Chairil sambil lelaki yang usianya sudah mencapai separuh abad itu tekun meneliti komputer ribanya.

Pijar hati Chairil, terasa panas menyimbah darah naik ke muka. Dia menarik nafas dalam-dalam. Tahu tatkala itu tidak guna dia berhujah. Tuan Ramli yang jarang bersuara kalau sudah mula buka mulut, Chairil tahu dia harus bertabah. Dengar, angguk dan senyum.

"Kalau kita tak mahu orang menyakitkan kita, jangan aniaya orang lain. Kamu lelaki, Tuhan bagi kelebihan sikit. Allah S.W.T beri rezeki. Kamu di Menara Rumah Manis umpama abang sulung pada semua orang. Jadi pelindung perempuan. Bukan menyakitkan hati perempuan lain. Entah esok lusa, anak perempuan kamu kalau kena macam ni, apa rasa?"

Ceramah abahnya semakin panjang dan kian menusuk kalbu. Chairil tidak dapat mengelak daripada mengetap bibir menahan geram.

Huh, inilah payahnya kalau masuk kerja guna pintu belakang. Tak boleh salah sikit! Tak kena sikit mengadu dengan orang tua. Macam mentaliti budak sekolah! gerutu Chairil sambil kepalanya ligat berfikir. Kena atur strategi baru ni! Oh, abah bila mahu berhenti ni?! Chairil terus terpanar dalam ceramah pendek abahnya. Puan Ramnah tenang di sisi suami.

Izinkan Aku Jadi SayapmuWhere stories live. Discover now