Bab 6

3.7K 85 0
                                    

RIN memandang jam tangannya dan kemudian matanya kembali melilau di sekitar kawasan itu. Apabila kelibat insan yang dicarinya tidak kelihatan, dia mengeluh. Mungkin benar, jodohnya dengan Fiqri Aiman tidak pernah ada. Dia berjalan lemah menuju ke bangku yang terletak di tengah-tengah ruang itu. Dia sudah berputus asa.

Baru sahaja dia duduk, terdapat pasangan lelaki dan perempuan melintasinya. "Syasya!" Automatik dia berdiri. Yakin bahawa pasangan yang baru melintasinya itu ialah Syasya dan Fiq, Rin segera mengekori.

Jangkaannya ternyata tepat tatkala melihat pasangan itu menghampiri sekumpulan manusia. Rin terlihat Fiqri. Serentak dengan itu, air matanya mula bertakung. Sungguh hatinya tidak mampu menipu lagi. Selama ini Fiqri Aiman sentiasa menjadi VVIP dalam hatinya. Tidak pernah tidak.

Rin berlindung di sebalik butik Bonia itu. Dia bimbang jika ada yang perasan akan kehadirannya. Niatnya hanya untuk memerhatikan Fiqri dari jauh dan dia belum bersedia untuk berhadapan dengan lelaki itu saat ini.

Rin menyapu air matanya. "Ya Allah, andai dia bukan untuk aku, Engkau redakanlah aku. Jauhkanlah dia dari hatiku," doanya buat kesekian kali. Tiap kali dia mengingati Fiqri, itulah doanya. Tapi hingga sekarang lelaki itu tetap dalam hatinya. Mungkinkah Fiqri memang jodohnya atau sebenarnya doanya tidak diterima kerana dia tidak benar-benar ikhlas dalam berdoa?

Lama Rin berkelakuan seperti penyiasat profesional, memerhati tingkah Fiqri bersama beberapa rakannya serta ahli keluarga. Selepas Fiqri masuk ke balai perlepasan, barulah Rin beredar dari situ.

Rin mengeluh. Telefon bimbitnya dipandang. Langsung tiada mesej atau panggilan daripada Fiqri. Dia sendiri tidak tahu kenapa sejak pertemuan mereka di rumah Sofia, dia menantikan panggilan atau mesej daripada Fiqri namun hampa. Janji Fiqri untuk terus berhubung hanya tinggal janji.

Jari-jemari Rin bermain-main di skrin telefon bimbitnya. Dia mencari-cari nama Fiqri sebelum ruang mesej dibuka. Laju jari-jemarinya menaip mesej dan tidak sampai seminit, mesejnya berjaya dihantar.

Tiba-tiba matanya terbuka luas. "Ya Allah, apa aku buat ni?" Bagaikan tersedar daripada mimpi, Rin mula gelabah. Jarinya mula menekan skrin telefon bimbitnya dengan harapan mesej tersebut tidak sampai ke destinasinya namun semuanya sudah terlambat.

"Ya Allah, apa aku nak buat ni? Harap-harap Fiqri tak baca," doa Rin. Jam tangannya dipandang. Sepuluh lima minit.

"Okey. Dah sampai waktunya. Aku yakin dia tak baca. Ya Allah, semoga Fiqri tak sempat baca." Rin cuba menyedapkan hatinya sendiri walaupun saat ini hanya Allah yang tahu betapa berdebar-debarnya dia.

SEBULAN berlalu dan tiada apa yang berubah. Dalam tempoh ini Fiqri tidak pernah mencarinya. Jadi Rin beranggapan bahawa mesej yang dihantarnya dahulu tidak sampai kepada Fiqri. Dia lega.

Lamunan Rin terhenti tatkala sebuah bantal mendarat di atas ribanya. Dia pantas memandang ke arah Eiyra.

"Kau ni berangan apa? Sampai telefon duk melalak pun tak dengar," sindir Eiyra.

Rin tersengih malu. Baru dia tersedar suara Taylor Swift sedang bergema di dalam bilik mereka. Telefon di bucu katil dicapai. Melihat nama yang tertera, Rin segera menjawab.

"Ada apa, umi?" soal Rin setelah salamnya berjawab.

"Hai, kena ada apa-apa dulu ke baru umi boleh telefon anak umi ni?" Rin tersengih bagai kerang busuk apabila diperli.

"Tak adalah. Tapi umi kan selalu sibuk. Ni umi tak ada kerja ke?"

"Ada. Tapi umi biar dulu sebab nak cakap dengan anak umi yang sorang ni. Yalah, nak tunggu Rin telefon, hmmm... Macam tunggu bulan jatuh ke ribalah."

VVIP DihatikuWhere stories live. Discover now