Bab 9

2.9K 80 2
                                    

ATAS nasihat dua orang sahabat baiknya, Eiyra dan Nia, akhirnya hati Rin kembali lembut. Dia menghubungi kedua-dua orang tuanya dan dengan penuh rasa rendah diri dia memohon maaf. Jauh di sudut hatinya dia sebenarnya pun tidak mahu mogok lama-lama dengan orang yang telah menjadi asbab kelahirannya ke dunia ini. Yang telah mendidik dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang.

Di samping itu, Rin juga bersyukur kerana umi dan ayahnya berjanji untuk tidak lagi masuk campur dalam urusannya dengan Amir. Sekurang-kurangnya sehingga dia tamat pengajian.

Hikmahnya kejadian ini, dia mula mengenali dirinya sendiri dan dia semakin jelas dengan apa sebenarnya yang hatinya inginkan.

DARI tempat duduknya, Rin melihat Haikal menghampirinya dengan senyuman lebar di bibir. Tiba-tiba dia rasa bersalah. Bibirnya diketap.

"Hai, sayang," tegur Haikal ceria. Mana tidaknya, lebih seminggu dia tidak bertemu dengan kekasih hati pengarang jantungnya itu. Panggilan dan mesej juga tidak dilayan. Tetapi hari ini, tidak ada angin, tidak ada ribut, Rin tiba-tiba menghubungi dan mengajaknya bertemu.

"Kal nak makan apa?" soal Rin. Dia memanggil pelayan.

"Apa-apa pun boleh. Tengok muka Rin, perut Kal pun jadi kenyang."

"Ingat Rin ni ayam goreng ke sampai tengok-tengok aje boleh kenyang?"

Haikal tersengih. Kebetulan ketika itu pelayan yang dipanggil Rin tiba.

"Rin nak makan apa?" soalnya sambil menyambut huluran menu daripada pelayan lelaki tersebut.

"Tomyam Kung dan Cappuccino Iced Blended," beritahu Rin.

Haikal membuat mimik muka sambil menelaah menu yang ada di hadapannya. "Bagi Iced Lemon Tea dengan Nasi Goreng Thai." Setelah lima minit berlalu, Haikal membuat keputusan.

"Rin dengan famili dah okey ke?" soal Haikal. Meskipun lebih seminggu dia tidak dapat berhubung dengan Rin, semua perihal gadis itu tetap diketahuinya melalui sepainya. Siapa lagi kalau bukan Eiyra?

"Alhamdulillah. Dah okey," jawab Rin. Dia tidak hairan dari mana Haikal tahu pasal itu walaupun dia tidak pernah bercerita dengan Haikal tentang lamaran keluarga Amir.

"Baguslah kalau macam tu. Lega Kal dengar. Kal takut tau kalau tiba-tiba Rin kena kahwin dengan pilihan famili Rin tu."

"Tak adalah. Kal pun tahu yang Rin ni bukannya suka kena paksa. Apatah lagi kalau bab-bab kahwin ni."

Haikal tersengih. "Ya. Kal kenal sangat Rin ni. Kal pun ambil masa bertahun-tahun... Eh, mana cincin yang Kal bagi?" soal Haikal sebaik sahaja matanya terpandangkan tangan Rin yang sedang bermain dengan straw minumannya.

Rin mengetap bibir. "Errr... Rin..."

"Rin?" Haikal memandang Rin tanpa kelip. Matanya menagih jawapan.

Rin mula rasa serba salah tapi dalam hatinya, dia bersyukur kerana Haikal bertanya. Sedari tadi dia asyik memikirkan cara untuk berterus terang kepada Haikal tanpa menyakiti lelaki itu.

Rin menarik nafas sedalam-dalamnya. Lambat-lambat tas tangan berwarna biru miliknya dibuka sebelum kotak kecil berwarna hitam dikeluarkan dan diletakkan di atas meja. Dengan perlahan, kotak itu ditolak ke arah Haikal yang berada di hadapannya.

Haikal mula rasa gelisah. Peluh mula merenik keluar. Terasa panas dan berbahang meski mereka berada di dalam restoran yang berpendingin hawa.

"Sorry." Hanya itu yang keluar dari bibir Rin. Itu pun diucap dalam keadaan menunduk. Sungguh, kala ini dia benar-benar tidak mampu untuk memandang wajah Haikal.

VVIP DihatikuOù les histoires vivent. Découvrez maintenant