Bab 14

2.9K 68 0
                                    

DIA terduduk di bawah pohon redang itu. Air matanya yang sejak tadi ditahan, mengalir laju.

Sungguh dia benar-benar rasa bersalah kepada Haikal. Kata-kata lelaki itu tadi semuanya benar belaka. Di sisinya selama ini bukan Fiqri Aiman tetapi Haikal. Haikal yang setia bersama-samanya selama ini. Tapi kenapa terlalu sukar untuk dia membuang sebaris nama Fiqri Aiman dari dalam hatinya dan membiarkan ruang tersebut dihuni oleh Haikal? Kenapa hatinya terlalu sukar untuk berubah?

"Ya Allah, macam mana aku nak lupakan Fiqri? Atau aku memang tak boleh lupakan dia sampai bila-bila?"

Rasanya sudah hampir setahun Rin tidak bertemu Fiqri. Kali terakhir mereka bertemu pun sewaktu majlis hari lahir Sofia. Kata-kata Fiqri supaya mereka kembali berhubung pun bagai angin lalu. Buktinya, tidak pernah sekali pun Fiqri menghubunginya. Bahkan, sewaktu dia kehilangan ayah dan uminya tidak lama dahulu juga Fiqri tidak muncul. Mustahil Fiqri tidak tahu sedangkan rakan-rakan mereka yang lain semua sedia maklum tentang kemalangan tersebut.

Zaman sekarang ini zaman teknologi. Dalam masa yang singkat, berita boleh tersebar ke seluruh dunia. Jadi, mana mungkin Fiqri tidak maklum dengan berita kemalangan tersebut, kan?

Rin memejamkan matanya rapat-rapat. Ya Allah, apa yang harus aku lakukan?

Lama Rin bersendirian di situ. Ketika azan asar berkumandang, barulah dia bangun dan berjalan ke jalan utama untuk mencari teksi. Sejam kemudian, barulah dia tiba di rumah Nia.

"MACAM mana lunch tadi?" soal Eiyra sebaik sahaja Rin muncul di hadapannya.

"Macam biasa aje," kata Rin acuh tak acuh. Dengan selamba, dia merebahkan tubuhnya ke atas katil Nia sebelum gadis itu tiba-tiba menjerit.

"Rin, baik kau bangun. Tu katil pengantin akulah. Mana boleh kau rasmi dulu." Tangannya menarik tangan Rin supaya gadis itu bangun namun Rin tidak bergerak. Beratnya. Macam anak gajah.

"Ala, aku tumpang sekejap aje. Tak terjejas pun kau punya katil ni."

"Tak boleh juga. Nanti basi."

Terus tegak badan Rin mendengar alasan Nia itu.

"Basi apa bendanya? Kau ingat ni makanan ke? Huh, kedekut. Aku doa malam esok kau jatuh katil," kata Rin sambil bangun.

"Huh, jahat gila mulut kau. Ada ke patut doa macam tu."

"Habis tu, siapa suruh kau kedekut sangat?" balas Rin. Dengan malas, dia bangun sebelum dihampiri Eiyra.

Tangannya diambil Eiyra dan dibelek-belek.

"Kau ni kenapa?" soal Rin. Pelik juga dengan tingkah Eiyra. Gaya macam kena sampuk hantu aje.

"Cincin mana?"

"Sejak bila aku pakai cincin?" tanya Rin kembali. Kemudian, dia tersedar.

"Kejap, kau tahu pelan Haikal, kan?"

Eiyra menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih bagai kerang busuk.

"Pelan apa ni?" Nia terpinga-pinga. Wajah Rin dan Eiyra dipandang silih berganti.

"Errr... Aku baru aje tahu tadi," jawab Eiyra. Dia masih tersengih.

"Then, why you don't tell me?"

"Haikal suruh aku diamkan dulu. Nanti tak surprise. Jadi, bukan salah akulah, kan?" Eiyra membela diri.

Rin mendengus.

"Kau orang tengah cakap pasal apa ni?" Nia mengulangi soalannya. Sungguh, dia tidak faham dengan apa yang sedang dibualkan oleh Rin dan Eiyra.

VVIP DihatikuWhere stories live. Discover now