Bab 11

2.9K 67 0
                                    

MASA berlalu begitu pantas. Sedar tak sedar, sudah beberapa bulan berlalu setelah peristiwa Rin kehilangan ahli keluarganya. Kini Rin juga telah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya.

Tetapi, tidak dapat tidak hatinya masih terasa terkilan kerana ayah dan uminya tidak sempat melihat dia menamatkan pengajiannya. Setiap kali mengingati peristiwa kehilangan secara mengejut itu, hatinya diterjah perasaan menyesal.

Benarlah kata orang, kita tak tahu sampai bila orang yang kita sayang itu akan bersama-sama kita. Oleh itu, kita perlu sentiasa menggembirakan dan menghargai mereka. Bukannya jadi macam dia, salah faham sikit terus lancarkan mogok dan lari dari rumah. Dan kini, dia langsung tidak punya peluang untuk memohon maaf daripada ayah dan uminya. Jika dia menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, ayah, umi, Dafi dan Reena tetap takkan kembali.

Rin kembali ke alam realiti apabila terdengar bunyi ketukan pintu berselang-seli dengan suara kakaknya dari luar. Dengan malas, dia bangun dari katil queen yang disediakan Datin Azmah kepadanya.

Sejak tamat pengajiannya, Datin Azmah dan Dato Karim, ibu dan bapa mentua Farah sepakat menyuruhnya tinggal bersama mereka. Walaupun pada mulanya dia menolak namun akhirnya dia akur jua apabila melihat kesungguhan mereka memujuknya.

"Ada apa, kak long?" soal Rin kepada kakaknya yang sedang mendukung Firash sebaik pintu bilik dibuka.

"Ada tetamu datang."

"Ada tetamu? Siapa?" soal Rin pelik.

"Bakal mak mentua Rinlah."

"Hah? Hesy, kak long ni main-mainlah pula."

"Betullah. Mana ada main-main. Mak Cik Suri datang tu."

"Mak Cik Suri?" Rin terlopong. Buat apa Mak Cik Suri datang ke rumah keluarga kakaknya? Takkan nak datang meminangnya lagi kut?

Dengan dahi yang dikerutkan, Rin kembali semula ke dalam biliknya dan menukar pakaian sebelum dia mengikut langkah Farah ke ruang tamu tingkat bawah. Di situ dilihatnya Mak Cik Suri dan suaminya sedang berbual-bual dengan Dato Karim dan Datin Azmah.

"Dah dua bulan lebih arwah tinggalkan kita semua. Saya rasa dah sampai masanya kita tunaikan amanah arwah, Datin, Dato," kata Mak Cik Suri tidak lama selepas Rin menyertai mereka.

"Amanah apa? Maaflah, saya tak tahu besan saya ada tinggalkan amanah apa-apa," kata Dato Karim.

Rin di hadapannya turut mengerutkan dahinya. Amanah apa pula ni? Hesy, Mak Cik Suri ni banyak betul dramanya.

"Amanah untuk nikahkan Amir dengan Airin," beritahu Mak Cik Suri. Sebaik saja mendengarnya, masing-masing saling berpandangan.

"Apa ni, mak cik? Bukan benda ni dah selesai ke? Kan Rin dah cakap Rin tak nak kahwin dengan Amir." Tiba-tiba Rin bersuara lantang. Memang Mak Cik Suri ni tak ada kerja lain agaknya.

"Rin..." Farah menjeling adiknya supaya mengawal diri.

"Umi Rin tangguhkan dulu sebab Rin belum bersedia. Tapi sekarang kan Rin dah habis belajar, jadi boleh teruskan pelan asal, kan?" Lembut bicara Mak Cik Suri.

"Mak cik..." Belum sempat Rin menghabiskan ayat, pahanya ditepuk oleh Farah dan dia diberikan isyarat agar bertenang.

"Sebenarnya saya tak tahu apa-apa pasal ni. Sebab besan kami tak pernah cakap apa-apa pasal ni. Tapi kami serahkan kepada Airin. Kalau setuju, boleh teruskan. Kalau Airin tak setuju, kami tak ada hak nak paksa dia." Dato Karim bersuara.

Rin menghembuskan nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tahu yang Dato Karim takkan memaksanya.

"Saya bukan nak memaksa, tapi ni amanah arwah. Mereka nak sangat bermenantukan Amir. Jadi, apa salahnya kita tunaikan amanah arwah?"

VVIP DihatikuWhere stories live. Discover now