Bab 10

2.9K 71 0
                                    

HAIKAL membawa Rin pulang ke kolejnya untuk mengambil pakaian. Tanpa Rin duga, Eiyra turut ingin menemaninya pulang. Rin bersyukur. Dia benar-benar perlukan kawan baiknya itu kala ini.

Mereka bertiga kemudiannya tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan, tempat di mana umi Rin berada. Jarum jam sudah hampir ke jam dua petang.

Ketika mereka tiba, kak long dan suaminya sedang menanti mereka di hadapan bilik kecemasan. Rin terus meluru ke arah Farah lalu dipeluk erat. Sekali lagi air matanya mengalir laju.

"Kak long, umi macam mana?" soal Rin.

"Sabar, Rin. Doktor tengah usaha. Sekarang kita doa, bertawakal dan serah semuanya kepada Allah," pujuk Khairul. Hatinya turut hiba dengan keadaan Farah dan Rin.

Farah menggosok-gosok belakang adiknya sebelum dia membawa Rin duduk di atas bangku yang disediakan di situ.

"Ayah, Reena dengan Dafi macam mana?" soal Rin.

"Jenazah dah ada dekat rumah. Mummy dengan daddy abang tengah uruskan."

"Rin balik rumah tengok mereka, ya? Biar kak long kat sini dengan abang tengok umi," kata Farah.

"Tapi..." Rin mula serba-salah. Antara ayah dan uminya, dua-dua sama penting.

"Pergilah, Rin. Tengok ayah dan adik-adik buat kali terakhir. Umi kat sini biar kak long dengan abang yang jaga. Insya-Allah, semua selamat."

"Kak long dengan abang tak nak balik ke?" soal Rin.

"Nak. Tapi kejap lagi. Ustaz Sabri cakap jenazah nak dikebumikan pukul lima, jadi kejap lagi abang dengan kak long balik. Rin balik dulu, ya?"

Rin mengangguk tanda bersetuju.

Dia hanya membiarkan tatkala Khairul mendekati Haikal dan Eiyra, dan berbicara sesuatu kepada mereka. Rin langsung tidak mengendahkan mereka meskipun dia tahu yang dia masih belum memperkenalkan mereka. Dia tiada masa untuk memikirkan semua itu, bahkan apa yang sedang terjadi ini pun masih belum sempat diprosesnya.

Ketika dia sedang melayan perasaan, tiba-tiba pintu bilik pembedahan dibuka dari dalam. Mereka berlima terus menghampiri doktor yang baru keluar dari bilik pembedahan itu.

"Macam mana dengan ibu saya, doktor?" soal Khairul.

"Maafkan kami. Ibu encik tak dapat kami selamatkan..." Hanya ayat itu yang masuk ke pendengaran telinga Rin sebelum tiba-tiba dunianya menjadi kelam. Mujurlah sempat disambut oleh Eiyra yang berdiri di sebelahnya.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumahnya di Kemaman, Rin langsung tidak bersuara. Hanya tangisannya yang kedengaran. Sungguh, dia masih menganggap semua ini bagaikan mimpi.

Semalam dia baru berbual-bual dengan ayah, umi dan Reena. Dia langsung tidak menduga itu adalah perbualan mereka yang terakhir. Hati Rin bertambah pilu apabila mengingatkan bahawa dia tidak sempat bertemu dengan mereka. Bahkan, pertemuan mereka yang terakhir sebelum ini pun adalah sewaktu kehadiran Mak Cik Suri beberapa minggu lepas. Namun, pertemuan itu bukanlah sesuatu yang indah untuk dikenang memandangkan apa yang berlaku adalah pergaduhan antara dia dan ibu bapanya.

Hati Rin bagai disiat-siat apabila mengingatkan betapa dia telah menyakitkan hati umi dan ayahnya selama ini. Betapa dia telah menjadi anak yang derhaka.

BANGLO dua tingkat milik keluarga mereka kembali sunyi setelah tetamu yang datang untuk majlis tahlil sebentar tadi beredar.

Rin menuju ke pondok kecil di halaman rumah lalu dilabuhkan punggungnya di situ. Lama dia melayan perasaan di situ sebelum Nia datang menghampiri.

"Cantik bulan malam ni," kata Nia sebelum duduk di sisi Rin. Matanya dihala ke arah langit, melihat bulan mengambang.

Rin hanya senyum nipis tidak menjawab. Dia tahu Nia sengaja ingin memulakan perbualan dengannya, tidak mahu dia terus dirundum kesedihan.

"Kau sedih lagi ke?" soal Nia, cuba mendalami isi hati sahabatnya. Sejak mengetahui ujian yang menimpa Rin semalam, dia terus ke sini dan menemani Rin. Dia tahu Rin sekarang ini perlukan teman untuk memberikan dia semangat.

Mana tidaknya, dalam sekelip mata Rin kehilangan empat orang sekaligus insan-insan yang disayanginya. Maka, kesedihan keluarga itu makin berganda.

"Tak sedih. Cuma terkilan. Sebab tak sempat jumpa ayah dengan adik-adik aku. Rasa menyesal sangat sebab aku berdegil tak nak balik rumah," kata Rin. Dia menekup muka.

"Kalau aku tahu..."

Nia memeluk Rin. Serentak dengan itu, air mata Rin mengalir laju. Dia menangis di atas bahu Nia sehingga lencun baju sahabatnya itu.

"Rin, aku faham perasaan kau. Tapi kau kena reda. Jangan asyik ber'kalau-kalau'. Kan ustazah dah nasihat dulu, perkataan 'kalau' ni datangnya daripada syaitan. Syaitan tak nak kita reda dengan ketentuan Allah sebab tu dia hasut kita. Sebagai orang Islam, kita kena reda dengan setiap qadak dan qadar-Nya. Kau anggap semua ni ujian daripada Allah, okey?"

Rin menyapu air matanya sebelum mengangkat wajah. Wajah Nia dipandang dengan rasa terharu.

Nia menggenggam tangan sahabatnya itu, cuba menyalurkan kekuatan. "Aku tahu kau kuat. Allah takkan bagi ujian ni kepada kau dengan kak long kau melainkan sebab dia tahu kau orang kuat," nasihat Nia.

Rin mengangguk. "Thanks Nia sebab ada kat sisi aku," ucap Rin penuh ikhlas.

"No biggie. Kita kan sahabat."

VVIP DihatikuWhere stories live. Discover now