Bahagian 1

753 3 1
                                    


PETANG itu benar-benar mendamaikan jiwa aku. Terasa segar tubuh ini selepas menjalani latihan ragbi sebentar tadi. Aku berkira-kira untuk pulang sahaja ke rumah memandangkan hari sudah hampir ke senja. Ketika aku sedang berjalan bersama kawan-kawan yang lain, dari jauh aku sudah nampak kelibat dia sedang duduk sendirian di tepi padang. Apa agaknya yang dia buat petang-petang begini?

Rasanya hampir setiap hari aku lihat dia, begitu jugalah tingkahnya. Suka sangat duduk sendirian tanpa teman di sisi. Dia itu sebenarnya siapa? Sebetulnya, dia itu merupakan tutor aku. Nama dia, Sherly Amanda. Usianya lebih muda dari aku sebab aku ini adalah pelajar yang mengulang semester. Sebabnya bukan kerana aku kurang pandai dan cerdik, tetapi aku ini terlalu fokus pada aktiviti sukan sehingga mengabaikan pelajaran.

Aku memang cam benar wajahnya kerana hanya dia satu-satunya anak mat salleh celup di kampus aku belajar ini. Dari jauh lagi aku sudah nampak dia duduk di situ, mungkin melepaskan lelah selepas menamatkan sesi latihan bola jaring bersama pelajarnya. Wajahnya tenang sahaja. Setenang perasaan aku saat menatap lembut wajahnya. Terasa damai tika memerhatikan gerak gerinya dari jauh. Dia sekadar membiarkan angin petang mengelus rambutnya yang panjang berikal mayang itu. Kecantikannya benar-benar terserlah.

Rasanya dia terlalu misteri. Dengan pensyarah dan tutor lain juga aku lihat dia kurang berbual mesra. Dia lebih banyak mendiamkan diri dari berkata-kata. Pernah sekali aku lihat dia dikulikan oleh pensyarah lain. Apa yang mampu dia buat ketika itu hanyalah mengesat hujung matanya seakan melepaskan perasaan yang terpendam di hati. Sukar benar untuk aku menduga riak hatinya itu.

Aku masih terpaku lama di belakangnya. Betul-betul hampir jarak aku dengan tubuh kecilnya. Rambut dia memang cantik. Warna rambutnya ada sedikit hitam seperti kebanyakan gadis melayu di Malaysia. Tetapi, warna yang terlalu ketara adalah warna perang sehinggakan ramai yang menggelarkannya, Cik Rambut Perang. Pernah juga pelajar-pelajar lain bertanyakan hal itu kepadanya, tetapi dia hanya tersenyum sahaja. Alahai, manis sungguh senyumanmu, Sherly Amanda.

"Cik Sherly, kenapa rambut Cik Sherly perang, ya? Cik warnakan ke?" soal Azmer, kawan baik aku. Sebenarnya, soalan itu aku yang pandai-pandai suruh tanya. Nak tanya sendiri, malu wei.

Aku tengok Sherly Amanda hanya terdiam sejenak sambil memandang ke arah kami berdua. Baru sahaja dia hendak menulis di papan kenyataan, terus terhenti apabila diajukan soalan begitu.

"Kenapa, ya?" tanya dia kembali.

Azmer tepuk dahi beberapa kali. Aku seperti biasalah, senyum sahaja. Hanya itu modal yang aku ada ketika berdepan dengannya.

"Cik ni memang anak mat salleh betul ke?" tanya pelajar yang lain pula. Kali ini perempuan. Namanya, Esha. Sebenarnya budak Esha ni dah lama sukakan aku. Tapi, aku sengaja buat-buat tidak faham dan memang tidak akan faham pun. Akhirnya dia mengalah dan tak berani ganggu hidup aku lagi.

"Saya anak mak dan ayah sayalah." Dia beri jawapan tergantung dan tidak pasal-pasal, si Esha tu kena bahan dengan rakan-rakan lain. Sudahnya, Sherly terus mengajar seperti biasa.

Dalam hati aku ini, hanya satu sahaja yang aku nak tahu. Siapakah dia sebenarnya? Dia memang misteri dan pelik. Terlalu banyak persoalan yang bermain di minda macam lagu Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latiff tu. Haha.

"Reyl."

Aku tersentak apabila ada seseorang yang menepuk kuat bahu aku dari belakang. Memang kuat. Mahunya patah tangan aku dibuatnya dan apabila aku kalih wajah, aku tengok Azmer sudah tersengih-sengih di belakang.

"Kau intai Sherly, ya?" Azmer melebarkan sengihannya.

"Er kau ni. Kalau ya pun nak tepuk bahu aku, janganlah kuat sangat. Kalau patah, kau nak jawab ke," bebelku, cuba mencari helah dari menjawab pertanyaan Azmer yang berbaur curiga itu.

"Eleh kau ni. Nak marah-marah konon. Padahal, kau marah aku sebab aku kacau kau usha Cik Sherly, kan. Mengaku sajalah," ejek Azmer lagi.

Aku malas nak berdalih lagi. Lebih baik aku angguk sahaja. Nanti bertambah panjang lebar pula soalan dia tu. Berderet-deret macam kereta api.

"Kau suka dia, ek?" tebak Azmer lagi. Kali ini aku mengangguk lagi untuk kali kedua. Dah macam burung belatuk kepala aku mengiakan pertanyaan Azmer.

"Eh, sungguh ke ni?" Azmer buat muka pelik. Aku lagilah bertambah pelik. Dia tanya aku dah jawab. Tapi, dia masih bertanya lagi soalan yang benar-benar aku tak faham. Terlalu banyak soalan, sedangkan jawapan yang aku ada hanya satu iaitu anggukan sahaja.

"Kau ni, kenapa?" Suara aku dah mula meninggi kala ini.

"Salah ke kalau aku suka Cik Rambut Perang tu?"

Azmer garu kepala beberapa kali dan buat muka 'blur.' "Er, tak adalah salah kalau dia bukan tutor kita dan kita bukannya pelajar dia. Yang tak kena tu sebab dia pensyarah kita. Takkan benda macam tu pun kau tak boleh fikir sendiri, Reyl."

"Dah tu, lagi mahu tanya ke? Sah-sahlah aku tak ada apa-apa perasaan kat dia."

"Er, awak cakap pasal saya, ke?" Tiba-tiba kami berdua dikejutkan dengan satu suara halus yang cukup aku kenal. Suara siapa lagi kalau bukan suara Sherly, gadis yang ku puja itu. Alamak!

Kali ini kami berdua melopong. Tidak sedar bila masa dia menghampiri kami. Aku angkat kening setanding The Rock pada Azmer. Yang kelabu asap ni pula buat-buat tak tahu sambil jungkit bahu. Nak saja aku ketuk kepala dia biar bengkak satu kepala. Ish, kenapalah Azmer ni bengap betul. Langsung tak boleh pakai masa emergency macam ni.

"Er..tak adalah Cik Rambut Perr..." 

Belum sempat Azmer menyudahkan ayatnya, aku dah siku bahu dia. Sebelum ini, Sherly Amanda tak pernah tahu yang kami gelar dia Cik Rambut Perang. Tetapi hari ini mesti dia dah dapat agak. Memanglah si Azmer ni mulut dia licin. Asyik tergelincir saja. Ish, sengal betul.

"Tak mengapa. Saya dah lama tahu, awak panggil saya Cik Rambut Perang, Zayrel," ucapnya tenang dan mata itu tepat memandang mataku.

Hari ini dan untuk saat ini, baru aku perasan anak mata dia berwarna hazel cerah. Memang macam mata anak patung barbie. Kalau adik bongsu aku dapat ni, memang dia dah peluk tak lepas sampai tertidur. Tapi, kalau aku yang dapat apa aku nak buat, ya? Nak peluk juga ke? Itu pun kalau aku dapat peluk orangnya. Jangan bayang-bayang dia saja sudahlah. Merana badan aku nanti.

Eh, apa yang aku fikir bukan-bukan ni? Panahan anak mata Sherly Amanda buat pertama kalinya menusuk tepat ke tangkai hati aku. Nampak suram sahaja biarpun penuh bercahaya dan tanpa sedar, aku pahut bahu Azmer. Kedua-dua lutut aku terasa longgar, bibir aku terasa kaku, lidah ini pula kelu seribu bahasa, degupan jantung pula tak perlu ditanyakan lagi. Dag, dig, dug! Hanya aku yang dapat menjawabnya.


Cik Rambut PerangWhere stories live. Discover now