Bahagian 7

195 0 0
                                    


Azmer begitu tekun mendengar aku bercerita dari Aliff sehingga Ya. Mungkin dia agak terperanjat apabila Sherly Amanda menawarkan diri untuk bermain bowling bersama jika ada masa terluang. Yalah, Sherly Amanda itu kan tunangan orang. Mana mungkin dia sanggup mengambil risiko untuk bertemu dengan kami berdua di tempat public seperti itu. Kalau nampak dek tunang kasanova alias bapa naga tu, tak pasal-pasal keluar api dari mulut lelaki berlagak kacak itu. Habis rentung nanti kami berdua.

"Ish, betul ke ni Reyl. Dah gila ke Cik Sherly ni nak ajak kita main bowling sama-sama. Dahlah ada tunang, lepas tu nak ajak kita pula. Macam seram saja wei nak terima tawaran dia tu. Cuba kau fikir masak-masak dulu, Reyl. Jangan sampai tersilap langkah. Merana badan nanti."

Berkali-kali Azmer mengingatkan aku tentang hal yang satu itu. Aku akui segala kata-katanya memang benar. Takut juga kalau tingkah kami dihidu dari jauh oleh tunang Sherly Amanda. Orang kaya macam dia, sudah pasti banyak duit nak upah mana-mana spy untuk mengintip gerak-geri kekasih hati.

"Erm, betul juga kan kau cakap tu. Aku pun fikir macam tu juga. Sayang betulkan sebab dia dah bertunang. Kalau masih solo macam aku ni, dah lama aku masuk meminang. Senang cerita."

"Amboi, tak menyempat-nyempat kau ni, ya. Macamlah dah sedia sangat nak galas tanggungjawab jadi suami orang," sindir Azmer tajam.

"Sebab dah sedialah aku cakap. Lagipun umur aku dah 27 tahun tahu tak. Dah terlalu matang untuk berumahtangga. Cuma masalahnya sekarang, dia dah berpunya. Susah sikitlah." Aku melepaskan keluhan berat apabila memikirkan kewajaran tindakan aku itu. Tidak mungkin aku dapat memperisterikan seorang gadis yang sudah bertunang dengan lelaki lain.

"Tahu pun, kau. Aku ingat kau dah buta mata hati kerana panahan cinta berapi dari Cik Rambut Perang kita tu. Apa pun jadi, kau kena timbang halus-halus dulu tawaran Cik Sherly tu untuk kebaikan kau orang berdua. Hidup kita dalam dunia ni ada adat dan peraturan. Kau pun dah cukup matang untuk menilai ini semua. Jangan tersilap mengatur gerak, nanti sumbang langkah kau kemudian hari."

Azmer begitu ikhlas menasihati dan aku tahu benar kejujuran yang terbit dari hati lelakinya. Sebagai seorang kawan baik, dia memang selalu memberi peringatan berguna buat diri ini. Aku kena berfikir sepuluh kali sebelum menerima tawaran Sherly Amanda. Status tunang orang yang dipegangnya itu seakan-akan telah membataskan pergaulan kami berdua kerana hatinya sudah terpateri dengan satu nama iaitu tunang kesayangannya itu.

***********

Petang itu aku berkunjung ke City Square untuk membeli barang-barang keperluan diri. Aku hanya menaiki motosikal Honda kerana hanya ini sahajalah harta yang aku miliki. Nak beli kereta mewah masih belum mampu kerana aku belum bekerja. Niat di hati tadi nak ajak Azmer tetapi mangkuk hayun berbelas-belas tingkat tu ada temujanji pula dengan buah hati tersayang. Siapa lagi kalau bukan Si Maisarah.

Orangnya kecil molek dan nampak sesuai dengan Azmer bagai pinang dibelah dua. Bertuahlah Azmer kerana memiliki seorang gadis yang cantik dah tahu menjaga kehormatan diri. Maisarah merupakan seorang gadis bertudung labuh dan selalu memakai pakaian sopan serta sedap mata memandang. Setiap kali memandang wajah Maisarah, memang tenang sangat kerana keayuannya sebagai seorang gadis melayu benar-benar terserlah. Kalaulah Sherly Amanda pun memakai tudung seperti dia, sudah pasti jauh lebih ayu dan sopan.

Sejak kebelakangan ini, nama itu sering meniti di bibir saban hari. Tiap kali bangun tidur, nama itu juga yang aku sebut sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Teruk benar penyakit angau aku ini. Berlarutan pula sampai ke saat ini tatkala mengingati wajah mulus itu. Sebaik tiba di City Square aku terus mendapatkan barang-barang yang aku sudah rancang sejak berada di rumah lagi. Semuanya sudah terakam kukuh di fikiran, tinggal ambil sahaja.

Selepas itu, aku singgah sekejap ke toilet kerana perutku tiba-tiba sahaja meragam. Mujurlah saat itu tidak berapa ramai orang. Lega benar perut aku setelah 'hajat' itu berjaya dilepaskan. Memang nikmat, tak terkata di bibir. Aku membasuh muka dahulu sebelum keluar. Di pertengahan jalan, aku terserempak dengan pasangan kekasih yang agak mesra berpimpin tangan. Wajah lelaki itu terlalu familiar di mata aku seakan-akan kami pernah bertemu sebelum ini.

Tapi, aku sudah lupa di mana kami bertemu suatu masa dahulu. Untuk memuaskan hati, aku berpatah balik semula dan mengekori pasangan kekasih itu. Aku harus berhati-hati supaya mereka tidak menyedari tingkahku. Setiba di Starbuck Coffee, pasangan itu berhenti di situ untuk menikmati minuman bersama. Saat itulah baru aku perasan yang lelaki inilah yang aku temui kira-kira seminggu yang lalu. Saat itu, dia sedang berada di Plaza Angsana. Ya, betul sangkaan aku sekarang.

Aku cuba mengamati semula wajahnya dari jauh. Walaupun tidak berapa jelas, tetapi aku agak yakin dialah orangnya. Wajah itulah yang kelihatan tidak puas hati saat tewas di tangan tunang sendiri. Ya, dialah tunang Sherly Amanda itu. Aku tidak salah orang lagi. Oh, rupa-rupanya ini kerja dia. Dah bertunang tapi masih ada skandal kat luar. Jaga kau bapa naga! Siap! Memang dasar playboy betul. Siap berpimpin tangan macam suami isteri, tak mungkin pula adik dia atau pun sepupu pula.

Aku pantas mengatur gerak menuju ke Starbuck Coffee itu untuk mencari maklumat tentang lelaki itu. Secara jujurnya, aku tidak rela jika dia mempermainkan perasaan Sherly Amanda. Aku tidak sanggup melihat gadis itu dipermainkan sebegitu rupa. Aku cuba memasang telinga, menangkap butir bicara antara pasangan merpati dua sejoli itu. Mereka berdua bukan perasan sangat muka aku kerana tengah mabuk kepayang dengan cinta. Bagi mereka, dunia ini milik mereka berdua sahaja.

"B, bila you nak masuk meminang I ni. You cakap hujung bulan ni. Betul tak, sayang?" aju si gadis agak manja sambil melentokkan kepala di bahu jejaka.

"Ya. I kan dah janji kat you sayang. Takkan I nak tipu pula." Lelaki itu juga kelihatan serius dengan ucapannya tanpa berselindung.

Peluang keemasan itulah yang aku dapat rebut saat-saat begini. Aku segera mengambil telefon bimbit dan merakam aksi-aksi mesra mereka berdua tanpa disedari oleh sesiapa. Tempat aku duduk ini sebenarnya terletak di bahagian hujung dan terlindung dari pandangan orang. Jadi, segala tingkah aku tidak mungkin dicam oleh mereka yang terang-terang sedang leka berbual.

"Habis tu, perempuan mat salleh celup tu pulak macam mana, B? You jangan ingat I tak tahu pasal hubungan akrab you berdua. I dengar you dah bertunang dengan dia kan. Lebih baik you terus-terang dengan I sebelum apa-apa perkara buruk berlaku kemudian hari." Gadis itu seperti mengugut sambil menarik muka masam.

"Ala you ni, percaya sangat cakap orang luar berbanding I. You tak payah risaulah, sayang. Memang I dengan dia dah bertunang, tapi bukan I nak jadikan dia isteri I yang sah. I masih waras berfikir. Setakat gadis murah macam dia tu tak ada apa-apa makna bagi I. Setakat jadi teman tidur I pun itu dah kira bagus tau. You sabarlah sikit. Lepas hajat I termakbul nanti, I berambuslah terus. Hahaa."

Tawa lelaki itu kedengaran nyaring menghiasi dua ulas bibirnya. Ternyata kenyataannya itu benar-benar tidak aku duga. Senang benar dia meletakkan diri Sherly Amanda serendah itu. Memang dasar lelaki tidak ada hati dan perasaan. Berbuku rasanya apabila dia ingin mengambil kesempatan pada diri gadis yang aku amat sayangi. Jangan harap kau boleh menang jantan keparat.

Walau bagaimanapun, aku tetap bersyukur kepada Allah kerana dipertemukan dengan lelaki itu petang ini. Sekurang-kurangnya aku tahu kejujuran dia pada Sherly Amanda. Gadis itu perlu tahu dan buka mata dengan hakikat ini. Sama ada dia mahu percaya atau tidak, itu terpulang. Apa yang penting sekarang, aku mahu dia tahu lelaki itu tidak sesuai menjadi suaminya kelak. Langsung tidak kena dengan gadis sebaik Sherly Amanda.

Cik Rambut PerangWhere stories live. Discover now