Bahagian 2

373 1 0
                                    

Malam itu selepas menunaikan solat Fardu Isyak, aku terus memerap di dalam bilik. Terasa malas pula hendak menonton televisyen seperti biasa. Fikiran aku asyik tertumpu pada seraut wajah yang selama ini aku puja-puja dalam diam. Gambar Sherly Amanda itu aku renung berulang-ulang kali. Gambar itu aku sempat ambil semasa bertemu dengan dia kira-kira dua hari yang lalu. Mujurlah dia tidak menyedari perbuatan aku itu.

"Terima kasih Cik Sherly sebab sudi bertemu dengan saya hari ini. Sebenarnya saya ada masalah pasal assignment yang Cik Sherly beri tempoh hari. Saya harap, Cik boleh bantu saya kali ini," ucapku lembut, menerangkan hal yang sebenar kepadanya. Aku tiada pilihan lain selain cara itu untuk bersua muka dengannya.

"Oh, pasal tu. Saya ingatkan pasal apalah yang penting sangat awak nak jumpa saya tadi. Rupa-rupanya pasal assignment aje. Kan saya dah selalu pesan masa kuliah dulu. Kalau ada apa-apa masalah terus bagitahu saya cepat-cepat. Jangan nak pendamkan saja masalah tu. Saya tak nak pelajar-pelajar lain kat kuliah ni kaitkan saya dengan awak pula. Awak fahamkan maksud saya?" soalnya memohon pengertianku.

"Saya faham, Cik Sherly. Lain kali saya janji tak buat lagi."

"Baguslah kalau awak faham. So, tak perlulah saya jelaskan lagi hal remeh macam ni. Saya harap awak ingat sampai bila-bila. Dan lagi satu, untuk pengetahuan awak saya ni dah bertunang dan akan berkahwin tak lama lagi. Saya tak mahu ada pelajar saya yang menaruh hati pada saya secara senyap. Bukan dengan awak saja yang saya ingatkan, tapi kepada semua rakan-rakan lelaki awak yang lain. Tugas saya di kolej ini adalah sebagai pensyarah kepada awak semua. Tidak lebih dan tidak kurang..."

Bicara Sherly Amanda tiba-tiba terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi nyaring menandakan ada satu panggilan dari seseorang. Dia terus menjawab panggilan itu tanpa sempat aku bertanya lebih lanjut. Saat itulah aku berpeluang mengambil gambarnya dalam diam tanpa disedari olehnya. Ada lebih kurang sepuluh gambar yang sempat aku ambil. Semua gambar itu kebanyakkannya sama sahaja posisinya. Aku gembira kerana dapat mengabadikan wajahnya di skrin telefonku seolah-olah dia milikku pula. Kerana panahan cintanya, apa sahaja aku sanggup lakukan demi Sherly Amanda yang tersayang.

Aku mencuri-curi dengar perbualannya untuk mengetahui siapakah gerangan yang menghubunginya petang-petang begini. Riak suaranya kedengaran ceria sahaja seperti menerima panggilan dari orang tersayang. Barangkali, tunangnya.

"Abang kat mana tu? Rindu sangat-sangat kat abang tau. Ayang masih ada di kolej lagi ni. Ada sedikit urusan dengan pelajar. Kenapa abang call ayang ni. Oh, malam ni ayang memang free dan tak ada plan nak pergi mana-mana. Abang nak jumpa dengan ayang ke? Ei bestnya, pukul berapa kita nak jumpa ni?"

Begitulah perbualan yang sempat aku dengar walaupun suaranya tidak berapa jelas. Seboleh-bolehnya aku paksa diri untuk membuka telinga lebar-lebar agar dapat menangkap butir bicaranya dengan orang tersayang. Memang tidak syak lagi sangkaan aku sebentar tadi. Ternyata, tunangnya yang call. Entah perkara apalah yang penting sangat sehingga berjanji untuk bertemu malam ini.

"Siapa yang call tu, Cik Sherly? Ceria saja saya tengok muka Cik." Aku pantas bertanya setelah Sherly Amanda meletakkan telefon bimbit di atas meja. Dahinya berkerut seribu apabila aku bertanyakan hal peribadi seperti itu kepadanya.

"It's not your business, Reyl. Ini urusan peribadi saya. Awak tak ada hak nak masuk campur urusan saya," ucapnya tegas. Aku telan air liur mendengar jawapan Sherly Amanda itu. Salah aku juga kerana sibuk-sibuk jaga tepi kain dia walaupun hari ini dia tidak pakai kain. Hanya mengenakan seluar slack panjang berwarna hitam.

"Maafkan saya." Hanya perkataan itu yang mampu aku ucapkan padanya.

"Ha, pasal assignment tadi tu macam mana? Awak ada apa-apa masalah lagi ke? Saya dah jelaskan semua perkara tentang apa yang awak perlu buat dan lakukan. Saya rasa awak dah faham, kan."

"Oh, pasal tu saya dah faham sekarang selepas Cik Sherly jelaskan secara terperinci dari A sampai Z. Kalau tak, pening juga kepala saya nak buat asiggnment tu. Saya nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kat Cik Sherly kerana sudi bantu saya."

Sememangnya jawapan aku itu jujur, lahir dari hati nurani lelakiku. Kalau ikutkan perancangan, sebenarnya masalah utama aku bukanlah pada assignment yang dia berikan tempoh hari tetapi lebih kepada soal ingin berkenalan dengan lebih dekat lagi dengannya. Kalau aku tak buat macam ini, entah bila masa Sherly Amanda ada masa untuk menghabiskan masa senggangnya dengan aku begini.

"Pasal tu awak tak perlu nak ucapkan terima kasih kat saya. Memang dah jadi tanggungjawab saya sebagai seorang pensyarah di kolej ini. Untuk pengetahuan awak, sebelum ni saya tak pernah jumpa student face to face macam ni tau. Berdua pula tu."

"Ha, betul ke ni?" Aku sedikit terperanjat mendengar pengakuannya.

"Betul, Ryel," jelasnya lembut. Suaranya terasa indah mengetuk pintu hatiku. Alangkah bahagianya hidup aku kalau dia menjadi kekasihku sampai bila-bila.

"Saya harap awak simpan rahsia ini baik-baik. Jangan beritahu kat kawan-kawan yang lain pula. Masak nanti saya nak jawab pertanyaan dia orang. Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi, saya nak minta diri dulu. Saya ada hal malam ni dengan seseorang yang sangat istimewa dalam hidup saya. Saya pergi dulu, ya!"

Sherly Amanda terus berlalu pergi setelah meminta diri untuk pulang. Sudahnya, aku duduk melopong seorang diri di situ memerhatikan gerak-gerinya melangkah pergi meninggalkanku. Apa yang pasti, aku mampu juga tersenyum saat ini kerana dapat mengambil wajahnya untuk diabadikan di dalam telefonku.

Aku segera kembali ke alam realiti apabila jarum jam berdenting sebanyak sepuluh kali. Cepat benar masa berlalu tanpa aku sedar. Esok pagi, aku ada kuliah seawal jam 8 pagi. Apa yang menariknya, kuliah itu merupakan subjek yang aku tunggu-tunggu. Siapa lagi pensyarahnya kalau bukan buah hati pengarang jantung aku iaitu Sherly Amanda. Tidak sabar pula untuk bersua muka dengannya.

Cik Rambut PerangWhere stories live. Discover now