Bahagian 3

304 0 0
                                    


Suasana bising di dalam kelas seawal jam 8 pagi benar-benar membingitkanku. Memang sudah menjadi lumrah mereka terutamanya pelajar-pelajar perempuan untuk menganyam ketupat pagi-pagi buta begini. Ini tidak ditambah lagi dengan suara hero yang memekik-mekik macam orang terkena histeria. Naik pening aku dibuatnya. Apatah lagi saat ini, Sherly Amanda masih tidak muncul-muncul biarpun jam sudah pun menghampiri ke pukul 8.15 pagi.

Tidak pernah pula dia lambat ke kuliah sebelum ini. Biasanya, sebelum pelajar-pelajar sampai, dia sudah terpacak rapi di dalam kelas. Dan orang yang kedua awal datang, sudah pasti aku, tiada siapa lagi. Sebabnya cuma satu saja, kerana kalau boleh wajah pertama yang aku mahu lihat di kolej ini adalah wajah Sherly Amanda. Tiada wajah lain selain dia. Tak kisahlah sama ada dia sudah bertunang atau belum.

Nama pun bertunang, bukannya sudah sah menjadi suami isteri. Itu adalah satu petanda bahawa aku masih ada ruang untuk mengambil hatinya biar pun aku tidak tahu bila masanya akan tiba. Namun aku begitu yakin, suatu masa nanti Sherly Amanda akan tunduk juga pada cintaku.

"Amboi, Reyl. Gambar siapa yang kau renung tu sejak tadi. Aku kat sebelah kau pun kau boleh tak sedar." Entah dari mana datangnya suara itu, tiba-tiba sahaja Si Azmer, mangkuk hayun berbelas-belas tingkat ni muncul kat sebelah aku pun aku tak tahu. Dia ni macam mat magic pula.

Aku pantas memasukkan telefon bimbit ke dalam kocek seluar. Risau juga jika Azmer menyedari gambar gadis yang tertera di atas skrin telefonku. Wajah itu memang familiar bagi kami semua kerana dialah pensyarah paling muda di kolej ini dan yang paling penting mempunyai darah kacukan mat salleh.

"Ala kau ni, itu pun nak berahsia dengan aku lagi kan. Cakap ajelah gambar pompuan mana tadi tu. Aku macam pernah nampaklah sebelum ni. Familiar sangat macam muka Cik Rambut Perang," duga Azmer tanpa ragu-ragu lagi.

Hampir terbeliak biji mata aku mendengar tekaan spontan yang keluar dari mulut Azmer. Pandai betul dia mengagak, ya. Dia ni keturunan Ahli Nujum Pak Belalang ke sampai tahu serba-serbi pasal aku. Ish, pelik bin ajaib ibni hairan betul aku tau.

"Ish, diamlah!" Aku segera menekup mulutnya dari terus berkata-kata. Kalau boleh, aku tak ingin rakan-rakan lain mengetahui rahsia peribadi aku ini. Dah terlanjur Azmer tahu, biarlah dia seorang sahaja yang tahu kerana dia kan sahabat karib aku yang paling rapat dengan aku. Jadi, tak salah rasanya kot.

"Jadi, betullah ni?" soalnya lagi dengan suara tersekat-sekat.

Aku hanya mengangguk perlahan, mengiakan pertanyaannya itu. Beberapa minit kemudian, pintu kelas terbuka dan terpacul Sherly Amanda dengan senyuman meleret kepada kami semua. Tatkala pandangannya tepat ke arahku, aku buat-buat tidak nampak. Malulah katakan, tetapi hakikatnya terlebih mahu dan mahu. Macam kucing jantan nampak ikan di hadapan mata. Biarpun malu-malu, akhirnya lenyap juga ikan itu sehingga tinggal tulang saja.

"Maafkan saya semua. Saya terlambat sikit hari ni sebab kereta buat hal masa on the way ke sini. By the way, macam mana dengan assignment yang saya beri tempoh hari. Ada apa-apa masalah tak?" ajunya lembut. Riak wajahnya pagi ini agak berlainan sedikit. Ceria semacam saja seperti ada berita gembira yang dia simpan di dalam hati.

"Saya ada masalah sikit Cik Sherly, tapi bukan pasal assignment." Tiba-tiba tanpa disuruh, Azmer pantas mangangkat tangan sebelum berdiri tegak mengajukan pertanyaan.

"Kalau bukan pasal assignment, pasal apa pula tu? Saya tak berapa fahamlah." Sherly Amanda buat muka pelik mendengar masalah Azmer.

"Ini ada kena mengena dengan soal hati dan perasaan Cik Sherly. Susah juga saya nak terangkan. Sebenarnya, ada seorang kawan saya ni dah jatuh cinta kat awek ni tapi dia malu nak berterus-terang tentang perasaan cinta dia. Saya nak minta pendapat Cik Sherly, macam mana nak bantu kawan saya ni supaya tak malu dan berani untuk meluahkan perasaan dia kat awek tu?"

Kali ini, pertanyaan Azmer benar-benar aku tidak duga. Merah padam muka aku dibuatnya. Ish, kenapalah mulut dia ni laser sangat bertanyakan hal peribadi yang tiada kaitan langsung dengan pelajaran.

"Awak ni dah merepek ke, Azmer. Yang saya tanya tadi pasal assignment bukannya hal peribadi kawan awak. Tugas saya kat kolej ni sebagai pensyarah dan bukan penasihat cinta, ya. Tapi, saya nak tahu juga siapa agaknya kawan awak tu? Dia belajar kat kolej ni juga ke?" tanya Sherly Amanda tenang. Senyumannya kian melebar apabila beralih memandang wajahku. Alamak, masak aku lepas ni kalau dia tahu.

Azmer kelihatan teragak-agak hendak menjawab. Doa aku di dalam hati cuma satu. Janganlah dia buat perkara yang bukan-bukan. Mahu seumur hidup aku menanggung malu nanti. Dalam diam, aku hantar telepati jiwa secara perlahan-lahan kepada Azmer.

'Mer, kau dengar isi hati aku ni baik-baik. Jangan nak buat malu kat sini, ya. Aku mohon sangat-sangat kat kau. Demi maruah aku, kau jangan beritahu dia. Kalau kau kawan baik aku, kau dengar cakap aku. Kalau kau setuju, angguk kepala sekarang.'

Secepat kilat, isyarat itu pantas dicerna oleh Azmer. Dia segera menganggukkan kepala lantas tersenyum-senyum memandangku. Yes, mujurlah telepati aku ini berkesan.

"Yang awak terangguk-angguk macam burung belatuk ni kenapa? Dah lama tak patuk kayu ke?" Sherly Amanda ketawa kecil apabila melihat kerenah Azmer yang dilihatnya sedikit lucu di matanya. Ayu sungguh saat dia tertawa sehingga kelihatan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Angau betul aku dibuatnya.

"Bukan, maksud saya kawan baik saya tu tak ada kat sini. Dia ada kat kampung, nun jauh kat Pengerang sana. Dia cuma minta pendapat saya sebagai seorang sahabat. Itu aje."

Pandai benar Azmer memutarbelitkan fakta. Sherly Amanda cepat sahaja percaya dan terus menuju ke mejanya untuk memulakan pembelajaran.

"Oh ya, sebelum tu saya nak awak pesan kat kawan awak tu ya, Azmer. Lain kali, kalau suka kat seseorang gadis tu jangan malu dan segan untuk menyuarakan isi hati. Bak kata orang, belum cuba belum tahu. Dan lagi satu, sebagai seorang lelaki sepatutnya dia cekal menerima apa sahaja jawapan yang diberikan nanti. Bukannya menyerah dahulu sebelum bertindak. Ingat, tanpa keberanian mimpi itu tidak akan bermakna."

Usai berkata-kata, Sherly Amanda terus mengajar seperti biasa. Senyuman manis tidak lekang terukir di bibir ranumnya. Puas aku mentafsir segala kata-katanya sebentar tadi. Walaupun kata-kata itu tidak dimaksudkan kepada aku, namun perasaan aku cepat terusik dengan nasihat ikhlasnya itu. 

Kalaulah dia tahu, aku yang sedang dilamun cinta padanya saat ini, tidak dapat aku bayangkan bagaimana reaksinya nanti. Sudahnya, aku tekun menumpukan seluruh perhatian pada ajarannya pagi itu. Bersemangat saja aku bagaikan berada di kayangan. Hati aku sudah mula tumbuh kelopak-kelopak cinta. Ah, indahnya cinta ini walaupun tidak bersambut.

Cik Rambut PerangWhere stories live. Discover now