Bab 4

16 5 2
                                    

Aku melihat seorang gadis yang hanya duduk memerhati pasangan suami isteri itu saling memaki hamun sesama diri. Aku lihat juga air mata yang mengalir dari tubir mata gadis itu. Dan dia kemudiannya masuk ke dalam biliknya meninggalkan pasangan suami isteri itu di ruang tamu.

Aku lihat juga gadis itu menangis di dalam biliknya. Sakit. Aku dapat rasakan sakitnya perasaan dia kala itu. Aku tahu hancurnya perasaan dia kala itu bagaimana. Dia sepi. Dia sedih. Dia sunyi. Dia tak gembira. Malah dia juga merasa sakit. Lelah. Lelah dengan kehidupannya.

Aku tahu apa yang dia rasa... kerana gadis itu adalah aku. Aku yang tak pernah lagi tertawa atau tersenyum setelah kebahagiaan di dalam hidupku berlalu pergi.

"Kau pernah rasa apa yang aku rasa sekarang dan sekarang kau lari dari masalah kau sendiri? Lari dari kenyataan kau?!" Tiba-tiba gadis itu memandangku dan terus dimakinya aku.

Aku terkedu.

"Sampai bila kau nak lari? Sedarlah! Kau tak kan dapat lagi merasa gembira! Tak kan lagi, Chika. Tak kan! Sebab kau dilahirkan untuk merasa sakit. Dan kau perlu tahu... kau tak kan mampu tersenyum lagi seperti mana kau tersenyum sekarang," dia berkata lagi padaku.

Aku menggeleng. Perlahan air mataku gugur membasahi pipi.

"Aku tak nak hidup macam ni..." ayat itu meniti di bibirku. Terketar-ketar seluruh tubuhku.

"Tak nak hidup macam ni? Bagaimana kalau aku katakan... yang hidup kau memang ditakdirkan begini?" Sinisnya lagi.

"Diam! Aku tak nak dengar kau cakap apa-apa! Aku dah puas menangis dan aku dah puas meratapi hidup aku. Cukuplah..." akhirnya aku terduduk.

"Aku adalah kau, Chika. Dan kau adalah aku. Kita berdua sama saja. Apa yang kau rasa, turut dirasakan aku. Kau sakit? Aku juga sakit. Aku... sama macam kau... kita berdua tak kan bahagia Chika. Kita hanya mampu melihat orang di sekeliling kita gembira dan tertawa, kita juga boleh pura-pura tertawa seperti mereka. Dan bila malam tiba, di dalam gelapnya bilik, kita akan menangis bersama. Menangisi kehidupan kita..." ujarnya kepadaku.

Aku menggeleng laju. Tidak. Aku tidak mahu begitu... tolong aku...

"Chika..."

"Chika?"

Aku menepis tangan yang singgah di bahuku.

"Chika, kenapa?" Suara Yan membuat aku sedar semula.

Aku lihat Yan memandangku dengan seribu tanda tanya di wajahnya.

Dan aku? Aku masih menangis.

"Kau kenapa ni?" Soal Yan lagi..

Aku memandang Yan dan tangisanku tak mahu berhenti.

"Chika... kenapa ni?" Yan memandang tepat ke dalam anak mataku.

Aku tidak berkata apa. Aku hanya mampu menangis dan terus menangis. Sakit. Sedih. Semuanya bercampur baur dan kalau aku jelaskan pun, dia tak akan mengerti. Kalau aku bercerita, dia tetap tidak akan memahami.

Yan menarik aku ke dalam dakapannya.Dia sedikit ragu-ragu untuk berbuat begitu, namun akhirnya, dia hanya membiarkan aku menangis di bahunya. Buat seketika dia diam tak bersuara.

Aku? Aku hanya mampu menangis. Menangis di bahu Yan.

"Aku mungkin tak dapat bantu kau, tapi aku boleh dengar masalah kau. Kalau kau nak, kau boleh luah kat aku. Aku dengar," lembut tutur kata Yan padaku.

Itu... itulah ayat yang aku harap selama ini akan diucapkan kepadaku. Tapi selama ini, aku hanya mampu memendam semuanya di dalam hati. Membiarkan kesedihan itu bersemadi di dalam jiwaku.

MimpiWhere stories live. Discover now