Bab 5

15 8 0
                                    

Seperti biasa, pada setiap malam, di saat semua orang sudah tidur dan hanya aku saja yang terjaga, kala itu aku mula berfikir tentang peritnya hidup yang aku jalani. Aku hanya pandang sayu wajah nenek dan Yan yang sedang nyenyak tidur. Aku dan nenek tidur bersama di tikar di sudut tepi tingkap itu. Yan pula tidur di kerusi rotan yang berada di sebelah pintu keluar.

Aku mengalihkan badanku membelakangkan mereka berdua. Hanya menghadap dinding yang diperbuat daripada papan yang disusun rapi itu. Perlahan, rasa sesak di dada mula menghentak-hentak kuat. Sakit sangat. Aku sendiri tak tahu bagaimana mahu jelaskan. Tapi yang pasti, aku dah penat pura-pura gembira depan semua orang. Aku dah penat pura-pura tertawa dan mengukir senyuman palsu. Aku penat. Aku lelah.

Namun, hanya itu saja cara tersisa untukku agar tiada siapa tahu tentang betapa hancurnya jiwa aku. Aku tak nak orang tahu aku sedih dan aku tak ingin pun untuk meluahkan pada sesiapa. Aku tak nak orang merasa simpati akan keadaan aku kerana aku tak perlukan semua itu. Aku tak mahu pun orang tahu tentang betapa remuknya perasaan aku, kerana ada di kalangan mereka akan gembira melihat kejatuhan diriku. Jadi untuk itu, aku tak ingin orang melihat betapa lemahnya aku.

Tapi aku tak sanggup pendam semuanya. Aku dah tak tahan dengan rasa yang menikam-nikam di dalam dada. Aku dah jemu dengan bisikan-bisikan yang hampir setiap malam menemani sekeping jiwaku. Dan mataku sudah lelah mengalirkan air mata yang hampir setiap malam menghujani pipiku.

Perlahan, ingatanku terbawa pada kenangan masa di duniaku. Aku mula teringat, akan tegangnya hubungan ibu dan ayahku. Aku juga teringat tentang susahnya kehidupan kami. Kenapa hidup aku tak boleh bahagia seperti orang lain? Kenapa hidup aku harus selalu merasa sepi dan terpuruk di dalam kesendirian.

Aku mahu bercerita tentangnya. Tapi tiada siapa yang akan sudi dengarkan. Aku mahu luahkannya, kalau saja ada yang mahu mendengar, mereka tak mungkin akan mengerti. Dan pasti, pasti mereka akan menganggap aku sengaja mengemis perhatian. Mengemis perhatian? Ya! Itu yang sedang aku lakukan kerana ada masanya aku perlu perhatian. Aku dahagakan perhatian! Aku mahu akan ada seseorang bertanyakan kepadaku apa yang terbuku di dasar hatiku. Tapi tiada siapa pernah peduli. Sebab? Sebab ini masalah aku dan aku yang menderitainya. Mereka tidak perlu runsing memikirkan tentangku kerana aku tidak berharga di mata mereka, bahkan aku bukan siapa-siapa pada mereka. Jadi wajarlah kalau tiada siapa peduli tentang aku.

Air mataku terus mengalir. Namun tangisku aku cuba kawal serapi mungkin. Aku tak mahu nenek dan Yan terjaga kerana esak tangisku.

Aku teringat akan betapa seksanya aku hidup dengan ibu dan ayah yang saling tidak bercakap antara satu sama lain. Sampai sekarang. Hubungan mereka makin renggang. Bayangkan, disaat waktu makan, keduanya hanya diam tak bersuara dan memasang muka tegang. Aku? Aku pula hanya duduk di situ diam dan menikmati makananku sedangkan betapa hancurnya perasaanku saat itu. Kedua-duanya ego. Kedua-duanya sama enggan mengalah.

Jujur. Aku pernah berharap aku tidak memiliki ibu bapa. Aku tahu. Pasti korang akan ingat aku ni tak reti bersyukur dengan apa yang aku miliki. Ya. Memang ramai di luar sana memerlukan kasih sayang ibu bapa. Memang ramai di luar sana begitu ingin memiliki ibu bapa dan merasa belaian ibu bapa.

Tapi, kalau ibu bapa kau selalu tak sejalan? Selalu bergaduh tentang hal-hal kecil yang tak berapa berfaedah? Dan hidup kau... perasaan kau terabai. Hati kau meronta-ronta mahukan kedamaian. Kau terlalu ingin bersuara pada mereka, katakan pada mereka bahawa kau tak ingin melihat mereka begitu. Tetapi... tetapi semua kata-kata itu hanya terluah di dalam hati. Kau tak mampu berkata apa pun. Kau hanya mampu diam dan berlagak seolah kau tak kesah akan hal itu.

Kalau saja aku tak pernah dilahirkan...

"Chika.." suara nenek membuatkan aku segera mengesat air mataku.

MimpiWhere stories live. Discover now