Bab 211-Susuk,Gadai Anak

2.2K 27 0
                                    

LAGI sekali saya direndam rasa kecewa. Melihat pada situasi, tidak ada tanda-tanda datuk mahu menyambung ungkapan yang terputus.

Dia bagaikan tidak berselera mahu mencungkil kisah silam datuk dan nenek Nonong. Mungkin datuk terfikir begini: membuka kisah cela dan keburukan orang yang sudah mati, bukanlah kerja terpuji.

Kenapa dalam saat begini, perkara seperti itu harus muncul dalam benak datuk? Timbul pertanyaan dalam diri saya. Nonong nampak resah semacam. Barangkali apa yang berlegar dalam kepala saya, itu jugalah yang bermain dalam otak Nonong.

Soalnya, siapakah diantara kami yang berani bersuara menyuruh datuk menyambung kembali cerita yang tergantung.? Tentulah saya bukan orangnya. Nonong memang berhak kerana apa yang diperkatakan adalah masalah keluarganya yang berpaut erat dengan masalah dirinya.

"'Memanda," lembut sekali suara Nonong. "Aku tahu, kamu mahu tahu ceritanya," ekor mata datuk menjeling ke arah Nonong. Saya telan air liur, diharap kelembutan suara Nonong akan menjentik keghairahan datuk menyambung cerita.

"Memang itulah yang saya harapkan." "Baiklah," datuk memperkemaskan silanya.

"Adakah rahsia yang lebih sulit dari apa yang memanda sebutkan Nonong mendesak.?" "Ada tapi," datuk menarik dan melepaskan nafas. "Kenapa memanda.?"

"Beri masa untuk aku berfikir, dan mengingati nama nenek dan (datuk kamu yang sebenar. Mereka lebih terkenal dengan nama gelaran Pawang Istana' atau Pawang raja' bagi datuk kamu. Nenek kamu pula disebut "Andam diraja" atau tukang andam istana." Tutur datuk dengan tenang.

"Saya ingat memanda," Nonong separuh menjerit. Datuk tersenyum sambil merenung ke arah saya. "Siapa namanya?"

"Datuk saya namanya Alang Basitah," penuh yakin Nonong menjawab. "Nenek kamu pula?" "Raja Anum Dang sari."

"Bagus, kamu masih ingat akar umbi kamu Nonong," Aduh, manisnya senyum gadis lanjut usia yang berat jodoh. Komen saya, dalam hati bila melihat sepasang kelopak bibir Nonong mengukir senyum.

Setelah Nonong berhasil memujuk datuk, saya merasakan ada perubahan yang terjadi secara sepontan dalam dirinya. Datuk bagaikan memperolehi kekuatan untuk meneruskan cerita, tidak merasa cemas atau diganggu sesuatu yang tidak dapat dilihat secara mata kasar.

Kata datuk selanjutnya, Pawang raja dan andam istana terus memberikan perhatian kepada anak gadis mereka. Jika ada majlis bertindik, berkhatan atau pernikahan. Gadis comel diminta memperagakan tarian kepada tetamu undangan. Nama ibu Nonong terus menjadi sebutan di mana-mana.

"Sebagai penari istana yang sedang naik, nama emak kamu jadi sebutan tutur datuk. "Selain dari istana ke mana pula dia pergi, memanda?" "Menyeberang selat Melaka." "Ke mana?" Nonong minta kepastian.

"Di mana ada perayaan raja, ada masanya ke Istana Deli, Riau, Serdang atau Batu Bara. Bila pawang Raja meninggal dunia, kegiatan andam istana mula berkurangan." "Kenapa macam tu, memanda?"

"Sebabnya, tugas pawang dan andam mesti sama iring. Kematian suaminya menyebabkan andam istana mengambil keputusan untuk tinggal di luar kawasan istana. Datang ke istana bila diperlukan."

Sedikit demi sedikit, datuk membuka sejarah lalu pawang raja dan pawang andam istana. Nonong mendengar penuh khusyuk kerana kedua-dua insan yang disebutkan oleh datuk adalah asal usul keturunan Nonong.

Walaupun begitu, Nonong tidak menampakkan rasa bangga atau megah dengan tugas datuk dan neneknya di dalam istana. "Nenek kamu datang ke istana bila diperlukan. Kerana kebolehannya yang luar biasa sebagai tukang andam, kaya dengan pantang larang, kaya dengan petua, dada penuh dengan jampi serapah serta mentera nenek kamu dicari orang istana bila ada anak raja mahu bersanding atau bertindik. Dia di bawa ke istana di Langkat, Indrapura, Batu Bara di Sumatera."

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 16 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now