Bab 217-Mayat Berbau Wangi

2.8K 31 9
                                    

PARA jemaah bagaikan terpukau. Semuanya menjegilkan biji mata. Datuk pun menerpa ke arah lelaki berbaju cekak musang yang sedang membongkok. Kedua-dua belah tangannya menekan perut. Songkok dipakai, jatuh ke lantai.

Perlahan-lahan datuk mengurut bahagian belakangnya. Lelaki itu sedawa panjang, dan secara beransur-ansur menegakkan tubuhnya. Dia dapat berdiri dengan betul. Tidak terdengar sebarang komen dari para jemaah. Semuanya membisu.

"Saya datang ke sini dengan satu niat." Lelaki berbaju cekak musang, tidak dapat meneruskan kata-kata. Kelihatan dia sulit menarik dan melepaskan nafas. Daun telinganya yang segar nampak seakan-akan layu. Wajahnya pucat. "Ceritakan niat kamu," desak si ulama berbadan kecil.

"Sayakemari mahu bertaubat, mahu minta bimbingan dari Tuk guru. Saya mahu bertaubat, "aaaaddddduuuuhhhh..."

Lagi sekali lelaki berbaju cekak musang membongkok sambil menekan-nekan bahagian perut.

Terhoyong-hayang ke kiri, ke kanan, macam orang mabuk laut. Tidak dapat mengimbangi badannya. "Allahh....." Cukup kuat suara lelaki berbaju cekak musang. Dia menjadi bertambah lemah, sebelum sekujur tubuhnya rebah di lantai, dengan bantuan si ulama berbadan kecil datuk berjaya memangku tubuh lelaki berbaju cekak musang.

Tubuh lelaki itu segera dibaringkan di ruang tengah masjid. Setiap sendi dijamah dan diurut oleh datuk. Mulut si ulama berbadan kecil kelihatan bergerak-gerak. Mungkin membaca ayat-ayat suci, fikir saya. Apa yang pasti, keresahan dan kebimbangan tetap terpamir di setiap wajah para jemaah. Semuanya cemas semacam.

"Keadaannya berat." Bisik Harun ke telinga saya. "Iya, macam menanggung sakit yang teruk," balas saya lemah. Orang di kanan yang mendengar kata-kata saya anggukkan kepala, seolah-olah setuju dengan komen yang saya luah. Dan perhatian kembali tertumpu ke arah lelaki berbaju cekak musang yang terlentang di tengah ruang.

Dada di sebalik bajunya nampak berombak, turun naik mengikut tekanan nafas yang tersangkutsangkut, muka yang pucat mula ditumbuhi bintit-bintit peluh halus, bagaikan menahan rasa sakit yang amat sangat. Datuk menggunakan segala kepandaiannya untuk mengurangkan derita lelaki berbaju cekak musang, begitu juga dengan si ulama berbadan kecil.

Apa yang menariknya, anak muda empat puluhan yang menemaninya seperti tenggelam punca. Tidak tahu berbuat sesuatu, barangkali dia sendiri tidak tahu perkara semacam itu akan terjadi. "Tuk guru, saya mahu bertaubat, saya menyesal dengan apa yang saya buat, lepas bertaubat di masjid ini sayamahu ke Mekah," ujar lelaki yang terlentang tercunggap-cunggap dan terputusputus.

"Kalau Tuk Guru tak percaya, tanya pada anak saudara saya, wang ke Mekah sudah saya sediakan," sambungnya sambil sepasang mata merenung sayu ke arah anak muda empat puluhan yang anggukkan kepala, mengiakan kata-kata yang dituturkan oleh lelaki itu. "Bersabar dan bertenanglah," datuk memujuk.

"Sabar, sabar. Allah suka dan kasih pada orang yang mahu bertaubat dan mengaku atas kesalahan yang dilakukan," tutur si ulama berbadan kecil dalam nada suara yang lembut.

PAYAH

DALAM keadaan yang payah itu, lelaki berbaju cekak musang mengerak-gerakan tangan kanannya mencari tangan si ulama "Saya sudah menunaikan hajatnya," anak muda empat puluhan bersuara. Wajahnya nampak sedih sekali. Si ulama berbadan kecil meluruskan badan lelaki berbaju cekak musang yang sudah menjadi mayat. Membetulkan letak kedua belah tangannya ke dada seperti orang qiam.

"Marilah kita berdoa semoga taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya, dia insan berhati mulia, hamba Allah yang berjiwa lohor. Dia mati dalam usahanya bertaubat dan menyerahkan diri pada Allah," kata ulama berbadan kecil sambil menatap wajah lelaki tersebut.

PERCAYA

SEMUA para jemaah seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku di depan mata. Begitu pantas dan tidak masuk di akal, semuanya bagaikan mimpi. Datuk termenung merenung lantai. Anak muda empat puluhan yang menemani allahyarham, tidak bersuara, dia juga seperti terkejut.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 16 )(COMPLETE)Dove le storie prendono vita. Scoprilo ora