Bab 216-Raja Susuk Mati Di Masjid

2.3K 29 0
                                    

SUASANA dalam Masjid Raya terasa damai. Di luar bunyi hon kereta masih galak, begitu juga dengan bunyi loceng dan hon motosikal saling tingkah meningkah mengusik gegendang telinga. Cuaca beransur cerah. Datuk kelihatan cukup berminat untuk mengikuti ceramah yang disampaikanoleh ulama berbadan kecil itu.

Secara jujur si ulama berbadan kecil itu mengaku tidak tahu bagaimana budaya susuk menguasai Kepulauan Melayu. Dia juga tidak menolak kemungkinan pengamal susuk kurang pengetahuan agama. Tidak tahu yang perbuatan mereka salah dan dilarang.

Boleh jadi juga mereka tidak tetap iman, sering berubah-ubah dan ragu-ragu. Dan bukan mustahil mereka yang tahu perbuatan itu salah, sengaja buat tidak tahu kerana wang atau mahu hidup senang atau mengambil kesempatan dari orang yang sememangnya jahil. Ertinya, mempergunakan atau memperalatkan kelemahan, kebodohan orang lain untuk kepentingan diri sendiri.

"Perbuatan begini, bukanlah perbuatan terpuji. Agama tidak mengalakkannya dan orang-orang yang nipis sanggup melakukannya," tutur ulama berbadan kecil dengan wajah serius. Datuk dan para jemaah nampak mengangguk kepala, setuju dengan apa yang diluahkan oleh si ulama tersebut.

Ulama berbadan kecil terus menyebut, bahawa orang yang tidak tetap pegangan keimanannya dianggap sebagai ladang yang subur bagi syaitan untuk menabur benih kesesatan. Bila seseorang mengalami putus asa, tidak percaya pada diri, mungkin disebabkan putus tunang, susah mendapat jodoh, kerjaya terhalang atau merasai dirinya dikhianati kawan sekerja dan sebagainya. Masaitulah iblis menjalankan peranannya.

"Iblis melakukan peranannya sebagai penggoda anak Adam, sesuai dengan janjinya di depan Allah, bahawa syaitan akan menggoda umat manusia hingga hari kiamat. Jampi jampi sihir ajaran syaitan. Ilmu syaitan (sihir) sudah wujud sejak zaman para nabi lagi. Contohnya, zaman nabi Musa alaihi salam. Jadi dalam hal ini yang salah? Manusia itu sendiri atau iblis?."

Saya lihat wajah para jemaah nampak serius. Ada yang tunduk dan ada yang menarik dan melepaskan nafas resah. Ulama bertubuh kecil terus menatap wajah para jemaah satu demi satu, termasuk wajah saya dan Harun.

"Jawab pertanyaan saya?" Ulang si ulama dalam nada suara yang tinggi. "Syaitan salah tuk guru," sahut seorang jemaah yang berada di bucu masjid. Si ulama berbadan kecil gelengkan kepala.

"Manusia yang salah," sahut jemaah di belakang saya. Si ulama segera anggukkan kepala. "Betul, syaitan itu kerjanya. Manusia pula harus mempertahankan diri dengan iman. Kalau tak tahu hal-hal agama manusia di suruh belajar dan berfikir. Tahu membezakan yang buruk dengan yang baik. Itulah sebabnya manusia dikurniakan akal fikiran."

Macam tadi juga, para jemaah terpaku. Akur dengan penjelasan yang diluahkan oleh si ulama.

TARIK

DENGAN wajah yang bersahaja bersama nada suara lembut tetapi bertenaga, si ulama berbadan kecil terus menyebut yang sihir itu boleh mengubah perkara yang tidak menjadi wajar atau terlihat wajar dari penglihatan orang yang tidak tetap hati atau sentiasa berada dalam keraguan, goyang imannya.

Sesungguhnya daya tarik atau kecantikan lahiriah tidak begitu diutamakan, apa yang diutamakan ialah kecantikan batiniah. Bila batin cantik kerana iman, maka rupa buruk dan kulit yang hitam akan memancarkan cahaya wajah yang cantik dan menarik.

"Ingin saya mengingatkan kepada mereka yang mengamalkan susuk, segeralah bertaubat. Macam saya katakan tadi, kecantikan itu bukan terpancar dari lahiriah tetapi dari batiniah. Jika batiniahnya cantik, sudah pasti lahiriahnya cantik. Soalnya sekarang, bagaimana mahu cantik lahir batin," sepasang anak mata hitam si ulama tertumbuk ke arah wajah para jemaah. Tiada seorang pun yang berani memberikan pendapat. Semuanya membatu.

"Mudah saja," kata si ulama. "Bagaimana caranya Tuk Guru?" Dengan mendadak saja seorang jemaah memberanikan diri bertanya. Duduk paling hujung, dekat dinding tidak jauh dari pintu. Semua biji mata para jemaah merenung ke arahnya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 16 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now