Bab 214-Dendam Dukun Banten

2.1K 31 0
                                    

"KITA bertemu juga." Suara orang itu bergema untuk kali yang kedua. Tidak ada tindak balas dari datuk. "Kamu mahu merebut milik Dang Intan Mahani atau Ani Cantik," datang lagi suara dari orang berwajah putih kapas. Perlahan-lahan kain hijau yang membalut sebahagian daripada wajahnya dijatuhkan ke lantai. Semuanya dihadapi oleh datuk dengan tenang dan tabah.

Orang berwajah putih kapas, cuba melangkah mendekati datuk. Dua tapak datuk undur ke belakang. Orang itu maju lagi, datuk mengelak. Kali ini empat tapak ke belakang. Dengan hati-hati datuk angkat tangan kiri separas bahu, kemudian memusingkan tubuhnya dengan pantas sebanyak tiga kali berturut-turut hingga tercipta sempadan pemisah yang ditandai dengan garisan hitam di lantai.

Sebelum tangan kiri kembali kepada kedudukan asal (lurus ke bawah) tangan kanan diangkat lalu didakapkan ke dada dengan tiga jari menekan tulang selangka. Tiga kali nafas ditarik dan dilepaskan barulah tangan kiri dibawa ke dada menindih tangan kanan yang tersedia di dada.

"Pulangkan segala-galanya kepada yang berhak," datuk bersuara. "Maksud kamu?" Tanya orang berwajah kapas. "Ani Cantik mengambil hak anaknya untuk kepentingan dirinya."

"Humm " terdengar keluhan. Suasana berikutnya, menjadi sepi. Orang berwajah putih kapas masih berdiri di tempat. Datuk tetap berada dalam lingkaran garisan. Saya Nonong dan Harun tetap macam tadi, masih bertindih dan berhimpit dekat tiang. "Kita jalinkan persahabatan."

Orang berwajah putih kapas, maju setapak sambil menghulurkan telapak tangan untuk bersalam. Malangnya, tangan yang dihulurkan tidak dapat melepasi garisan di lantai. "Ertinya, kita tidak boleh bersahabat," orang berwajah putih kapas bersuara penuh kesal. Terbayang kekecewaan yang amat sangat di wajahnya.

"Begitulah kira-kiranya," balas datuk. Orang berwajah putih tunduk merenung lantai. "Pulangkan hak anak Ani Cantik," rayu datuk. "Iya, apa yang kamu lihat dan temui dalam bilik ini, setelah aku pergi. Itulah haknya dan selanjutnya terpulanglah kepada kamu mengendalikannya," suara itu bergema dan bergaung dalam bilik. "Aku faham," kata datuk lantang.

Tanpa banyak cakap orang berwajah seputih kapas itu, perlahan-lahan memusingkan tubuhnya. Setiap liku dan sudut bilik ada dalam anak matanya. Saya jadi cemas semacam, lambat laun renungannya akan tertacap ke wajah saya. "Sial," kutuk saya dalam hati.

Bagaikan ada kuasa ghaib memusingkan tubuh dan wajah orang seputih kapas ke arah saya. Renungannya cukup tajam, penuh benci dan dendam. Berkali-kali giginya dilagakan, bergemeretap bunyinya. "Hummmm " dengusnya.

Dan renungannya segera berubah kepada Nonong. Kemarahan dan geram yang terpamer segera digantikan dengan rasa simpati dan renungan yang penuh kesayuan. Dia menundukkan muka, merenung lantai untuk waktu yang agak lama. Kedua-dua belah bahunya bergegar lalu diikuti dengan suara tangisan berserta sedu yang memanjang. Tanpa di duga dia menghentakkan kaki kirinya ke lantai sambil meluahkan kata-kata yang kurang jelas maksudnya.

Dalam sekelip mata batang tubuhnya menghilang, tempat manusia aneh itu berdiri kelihatan kepulan asap yang naik memanjang menuju siling bilik.

GHAIB

SEBELUM kepulan asap itu ghaib, berlaku lagi sekali ledakan yang amat kuat bersama pancaran kilat. Di luar deru ribut yang amat hebat. Rumah teras bergegar, lantai bergerak dan kami terumbang-ambing. Datuk yang tadi berada tidak jauh dari kami bertiga, kini terpisah jauh nampak samar-samar. Saya cuba bersuara memanggil namanya. Seperti tadi suara saya tidak keluar tersekat di kerongkong.

Dalam keadaan yang tidak menentu, semua yang dibuat serba tidak kena. Kotak fikiran seperti kosong melopong. Tidak tahu dengan suasana yang dihadapi, sama ada waktu siang atau malam. Malah di mana berada pun tidak tahu. "Huusss " saya menghembuskan nafas. Dan hati saya bagaikan memberitahu, bahawa kami berada di satu dunia yang terasing. Aneh, gegendang telinga terus diasak dengan bunyi deru air dari gunung. Badan bagaikan dilambung ombak ke sana ke mari. Tiba-tiba, adan dipukul oleh gelombang besar setinggi pokok kelapa dara. Sekujur tubuh diarak ombak lalu dihempaskan kepada objek yang keras.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 16 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now