Bab 213-Tak Rela Mati Katak

2.2K 31 0
                                    

SELURUH bilik dikuasai bau rambut dan seludang kelapa yang terbakar. Hangit dan melemaskan lubang hidung. Mata kami (saya, Nonong dan Harun) berair dan terasa pedih, terbatuk-batuk. Datuk tidak mengalami sebarang gangguan. Tetap tenang, tidak memperlihatkan sebarang reaksi.

Api terus membakar rambut yang melilit batu gunung, begitu juga dengan seludang kelapa. Perasaan saya benar-benar terganggu. Walupun begitu, ekor mata saya sempat menjeling ke arah Nonong dan Harun. Mereka juga nampak resah semacam.

"Ah!!!...., kata saya terkejut. Bagaimana saya tidak terkejut bila melihat batu gunung menjadi bara merah menyala. Seludang kelapa terus menjadi abu. Berterbangan dalam bilik, macam ada sesuatu yang menghembusnya. "Pelik," suara saya meninggi.

Datuk segera memberi isyarat jari menyuruh diam. Saya patuh dengan arahan itu tetapi, kalbu tetap berperang dengan perasaan cemas dan takut. Betapa tidak, kepulan abu seludang yang berterbangan terus berpusu-pusu ke satu sudut berkumpul di situ dalam bentuk memanjang berukuran satu kaki. Dalam sekelip mata pula bertukar menjadi seperti puntung kayu yang rentung. Hitam legam.

Puntung kayu yang rentung berpusing ligat di situ, macam gasing serta mengeluarkan bunyi yang berdengung. Setelah berpusing lebih kurang lima, putung kayu itu bergerak ke arah pintu lalu melanggar jenang pintu. Pecah bertaburan menjadi seperti percikan bunga api yang halus lalu hilang.

Apa yang berlaku kami ikuti dengan penuh debar. Saya yakin, kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap kami bertiga, datuk tidak akan lepas tangan. "Semuanya pelik dan menakutkan," ujar Harun kepada kakaknya dalam nada suara yang agak perlahan, tetapi dapat di dengar oleh datuk. Seperti yang dilakukan kepada saya, datuk memberi isyarat kepada Harun dan Nonong supaya jangan bercakap. Harun menarik nafas panjang. Agaknya, kecewa dengan arahan datuk.

Dengan perlahan-lahan Harun mengisut ke arah Nonong. Mereka duduk berdekatan, berpegangan tangan. Barangkali kalau terjadi sesuatu yang buruk mereka tidak mahu berpisah, mahu mati bersama. Rela rentung, jadi abu bersama rumah peninggalan orang tua andainya dimamah api.

Tetapi, bagaimana dengan diri ini, apakah harus mati bersama? Saya cuma menemani datuk bagi mengatasi masalah yang ditanggung oleh Nonong. Tentulah tidak wajar saya menanggung akibatnya, mati katak kerana orang lain. Kerana itu, saya mesti bersedia untuk menyelamatkan diri bila keadaan terdesak.

Diri datuk tidak perlu digusarkan. Dia banyak pengalaman, kaya ilmu dunia akhirat. Tidak ada masalah baginya untuk menghadapi apa juga kesulitan dalam situasi sekalipun. Semuanya itu berkocak dalam kotak batin. Saya mula menjeling ke arah pintu bilik. Kalau perlu saya harus merempuh apa saja untuk keluar dari suasana yang tidak menyenangkan itu.

"Harun," gegendang telinga saya didatangi suara Nonong. "Kenapa Kak?," Balas Harun "Apakah kita akan jadi korban penunggu bilik," "Tidak kak." "Paaaaaaaaapppppppppppp „

Telapak tangan kiri datuk menampar lantai dengan sekuat hati. Punggung saya terangkat kerana terkejut. Wajah Nonong dan Harun pucat lesi, macam mayat. Semua biji mata tertumbuk ke arah datuk.

Dia memberi isyarat supaya jangan berkata-kata. Dan kami pun menundukkan kepala, tanda bersedia mematuhi larangannya.

NEGATIF

DI TENGAH-TENGAH situasi yang tidak menentu itu, bermacam-macam yang timbul dalam kepala. Semuanya negatif. "Ah," saya bersuara dalam hati. "Tik tik tik" datuk menjentik lantai.

Saya faham, apa yang terdetik dalam hati sampai ke akal fikiran datuk. Lagi sekali saya menundukkan kepala. Berjanji tidak akan memikirkan sesuatu yang buruk.

Saya yakin datuk menerima ikrar saya, buktinya dia tidak membukakan sepasang kelopak matanya. Rasa tidak selesa kian menjadi-jadi. Badan mula berpeluh dan ruang bilik terasa panas membahang seperti mahu terbakar, panas dan pedih.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 16 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now