Siri 244-Rahsia 3 Manusia terbongkar

1.3K 19 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin

LAMA juga Datuk dan Pak Habib membiarkan kedua-dua lelaki itu dalam keadaan yang tidak menentu. Terhoyong-hayang macam orang mabuk, tidak dapat mengimbangi tubuh untuk berdiri dengan betul.

Salah seorang daripada mereka kerap jatuh dan kerap pula bangun. Dalam saat-saat tertentu mereka bercakap dalam bahasa yang ganjil dan sukar dimengertikan. Bukan dalam bahasa Indonesia, bukan juga dalam Bahasa Melayu.

"Allah huakbar....."

Secara tidak sengaja Pak Habib menyebut ungkapan itu, bila seekor kelawar sedar melintas di depannya. Serentak pula kedua-dua lelaki yang terhoyong-hayang tersungkur di bumi. Datuk yang berada di sisi Pak Habib menggigit ibu jari kiri.

Muka kedua-dua lelaki yang terkapar di bumi terus jadi bahan renungan Pak Habib. Ada keresahan bermain dalam hatinya. Renungan segera dialihkan ke muka datuk buat seketika. Kemudian kembali semula ke muka kedua-dua lelaki yang terlentang, merenung bulan dan bintang di langit.

Tindak-tanduk Pak Habib mengundang rasa cemas dalam diri saya. Sebenarnya, saya tidak mampu bertahan lebih lama lagi, di kawasan hutan dalam suasana malam yang kian mendekati waktu Isyak.

Mungkin si pemandu dan datuk juga berfikir seperti apa yang saya fikir. Dalam melayani perasaan hati, badan terasa dingin akibat hembusan angin malam yang lemah. Nyamuk terus berpesta menyedut darah. Lelaki berdarah dahi terus berdengkur. Tidak tahu apa yang berlaku di sekitarnya.

"Bangun, berdiri."

Suara Pak Habib lantang, bergema menguasai kawasan hutan kelcil. Datuk tersintak, pemandu dan saya terkejut besar. Lebih mengejutkan kedua-dua lelaki yang terbaring terus bangun dan berdiri dalam keadaan yang tiada bernaya.

Tindakan selanjut yang dilakukan oleh Pak Habib di luar jangkaan. Dari garang bertukar lembut, penuh sopan. Kembali pada jati diri sebenar. Tangannya menepuk-nepuk bahu kedua-dua lelaki berkenaan penuh mesra sambil mengucapkan sesuatu.

BAIK

WALAUPUN dilayani dengan baik, kedua-dua lelaki tersebut tidak berani menentang muka Pak Habib. Badan mereka kelihatan seperti menggigil.

"Pandang muka saya," lembut Pak Habib merayu. Rayuan itu tidak diendahkan.

"Kamu berdua, kalau tak salah, pernah bekerja dengan aku?"

Seperti tadi, tidak ada tindak balas dari kedua-dua lelaki tersebut. Mereka buat bodoh, tunduk renung tanah. Pak Habib terus merlegar-legar di depan mereka sambil mengosokgosok kedua-dua belah telapak tangannya.

"Sebaiknya, kamu berdua berterus terang saja dengan aku, kalau kamu berdua tak mahu susah," kata Pak Habib dalam nada menggugut. Datuk senyum, kerana dia tahu itu satu taktik dari Pak Habib.

"Pernah tuan Habib," balas mereka serentak.

Pak Habib segera kenyitkan ekor mata pada datuk yang di sambut dengan senyum pendek.

"Di mana?"

Kedua-dua lelaki itu kembali membisu.

"Di mana?" Ulang Pak Habib keras.

Kedua-dua lelaki terbabit saling berpandangan. Ada kesulitan yang terjadi antara mereka. Siapa yang harus dahulu menerangkan kepada Pak Habib.

Sementara menanti jawapan dari mereka, Pak Habib merenung ke dada langit.

"Di Tanjung Balai, Tuan. Jadi penjaga gedung. Kadang-kadang menemani keluarga Tuan ke Penang," jawab yang bermuka separuh bulat.

"Kamu pula?"

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 3)(COMPLETE)Where stories live. Discover now