Siri 247-Tunggang Harimau lintas Jalan

943 20 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin 

 Walau pun anak saudaranya patuh dengan permintaannya tetapi rasa sangsi jelas tergambar diwajah Pak Habib.

Pada hematnya, orang yang dikuasai emosi, fikirannya boleh berubah bila-bila saja. Boleh melakukan tindakan yang tidak dijangkakan.

"Mana orangnya?" Anak saudara Pak Habib terus mendesak. Secara bersahaja Pak Habib mengangkat tangan, minta anak saudaranya bertenang. Ada keluhan kecewa terluah dari mulut anak saudara Pak Habib.

"Dia ada disini Tajuddin, dia tak ke mana- mana. Orang yang tak sabar selalu hilang pertimbangan, jadi kawan syaitan," Pak Habib menguji hati anak saudaranya, Tajuddin.

"Saya tak hilang pertimbangan. Demi Allah, kalau sudah berjanji saya tetap berpegang pada janji."

"Bagus, kamu amanah," nada suara Pak Habib diiringi keriangan.

Saudara mara Pak Habib yang berada di situ terus duduk dalam kelompok-kelompok kecil, bercakap sesama sendiri. Jalan raya yang terbentang agak jarang dilalui kenderaan. Dingin subuh terus menguasai tubuh manusia yang berada di situ.

Beberapa orang wanita yang berada di situ, mula resah. Sering saja merenung muka Pak Habib dan anak saudaranya Tajuddin. Mereka seolah-olah mengharapkan kedua-dua manusia itu segera mengambil keputusan untuk meninggalkan kawasan yang tidak berapa disenangi.

"Mana orangnya?" Dalam lembut Tajuddin mendesak.

"Iya, aku panggil dia sekarang," Pak Habib senyum lalu berjalan beberapa langkah, meninggalkan anak saudaranya menuju ke kawsan tempat saya dan datuk bersembunyi.

Kaum kerabatnya yang duduk segera bangun. Mereka tumpukan perhatian ke arah Pak Habib yang berdiri menghadapi pohon- pohon renik nan rimbun.

Dalam nada suara yang tidak berapa keras, Pak Habib melaungkan nama datuk beberapa kali. Ketika datuk bangun mahu keluar dari tempat persembunyian tangannya segera saya pegang.

"Jangan keluar tuk ini merbahaya."

"Tak mengapa, sahabat saya tak akan mengkhianati saya."

"Kita boleh percaya dengan Pak Habib, tapi bagaimana dengan orang lain?"

"Ah kamu, jangan fikir macam-macam. Itu urusan aku."

TERJATUH

DATUK segera menolak saya hing ga terjatuh.

Tanpa membuang masa Datuk terus melangkah keluar meninggalkan tempat persembunyian. Saya tergesa-gesa mengikut nya. Dalam masa kelam-kabut itu, sempat juga saya melihat jam di tangan. Sudah pukul dua pagi.

Sebaik saja keluar dari tempat persembunyian, dalam sekelip mata saja saya dan datuk dikelilingi oleh anak buah Pak Habib. Wajah mereka kelihatan bengis semacam. Rasa cemas masih dapat dikawal kerana Pak Habib masih berada di sisi saya dan datuk.

Tetapi, suara-suara sumbang yang menyakitkan hati menyindir dan mengejek saya dan datuk tetap hadir dalam lubang telinga kami.

KARISMA

Sebagai seorang yang memiliki karisma tersendiri, Pak Habib bertindak dengan bijak mengawal keadaan. Dia minta anak buahnya menghormati saya dan datuk sebagai tetamu. Jika ada yang main kasar, dia sendiri akan bertindak.

Dengan wajah yang bersahaja serta tekanan suara yang seirama, Pak Habib memberitahu anak buahnya, siapa sebenarnya kami berdua (Datuk dan saya). Pak Habib juga memberitahu mereka, bagaimana detik perkenalan antaranya dengan Datuk terjalin.

Semuanya Pak Habib terangkan satu persatu dengan terang. Selesai saja penjelasan diberi, Pak Habib memberikan peluang pada mereka untuk mengemukakan apa saja pertanyaan atau kemusykilan pada Datuk. Sungguh diluar dugaan, kesempatan itu tidak dipersia-siakan oleh anak buah Pak Habib.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 3)(COMPLETE)Where stories live. Discover now