Siri 249-Pemuda Rambut panjang

894 19 0
                                    

  Sambungan Siri² Bercakap Dengan Jin 

 Dalam pertemuan di ruang tamu itu, datuk menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah semenanjung pada Pak Habib. Buat seketika, Pak Habib atau Syed Hamid Al-Hadad, tidak memberikan sebarang komentar. Dia tenang dan kelihatan bersahaja.

"Tak boleh tunggu, dua tiga hari lagi?"

Satu pertanyaan dari Pak Habib yang saya kira cukup berat untuk dijawab oleh datuk.

Angin yang masuk menerusi jendela memberikan kesegaran pada saya. Mungkin juga untuk datuk dan Pak Habib. Terdengar kokok ayam dan kicau murai dihujung ranting.

"Rasanya tak perlu," jawab datuk.

"Maksud sahabat?"

Anak mata Pak Habib menyorot wajah datuk. Saya lihat datuk terpampan. Ekor mata kanannya mengecil, mencari alasan untuk membalas pertanyaan Pak Habib. Hampir sepuluh saat suasana di ruang tamu terasa sepi.

"Saya rasa semuanya sudah selesai. Hajat sahabat sudah saya tunaikan. Orang bertiga sudah balik, sudah bekerja dengan sahabat, malahan tekun belajar agama. Jadi apa perlunya saya di sini," tutur datuk tenang.

"Kalau, saya katakan, saya memerlukan khidmat sahabat bagaimana?" Pak Habib senyum.

"Ini yang sulitnya," datuk mengeluh.

"Tak sulit, asalkan sahabat mahu ikut cakap saya,"

"Itu paksaan secara terhormat namanya," sanggah datuk.

Dua sahabat itu ketawa terkikih. Masing-masing bertindak bijak untuk 'memerangkap' antara satu sama lain secara diplomasi. Saya tersenyum. Angin terus masuk ke ruang tamu. Sayup-sayup terdengar bunyi lesung orang menumbuk padi.

"Begini saja, saya mahu berterus terang dengan sahabat. Ikut saya ke Jawa,"

"Haaa.......," mulut datuk melopong.

"Tak susahkan diri sahabat, mungkin menguntungkan,' nada suara Pak Habib lembut. Mulut datuk yang terlopong kembali bertaut. Tetapi, sepasang keningnya yang berbulu lebat, kelihatan seakan-akan terangkat seketika. Macam ada sesuatu yang bermain dalam kepalanya.

DOA

Hati kecil saya terus berbunga dengan doa. Semuga datuk akan memenuhi permintaan Pak Habib. Kembara di bumi rumpun Melayu atau lebih tepatnya seluruh Nusantara memang menjadi minat saya. Bukankah rumpun Melayu itu besar dan luas, budaya adatnya tidak jauh berbeza. Saya membina angan-angan dalam kepala.

"Jawa tu luas sahabat, tempat sebenarnya di mana?" datuk angkat kepala. Tentang biji mata Pak Habib.

"Tanah Abang," suara Pak Habib yakin.

"Tanah Abang," ulang datuk sedikit sangsi.

"Iya, Tanah Abang, Jakarta."

"Hummmm?" keluh datuk.

"Bagaimana? Jadi." Pak Habib minta kepastian.

Tiada jawapan pasti dari datuk, saya mula resah sendirian. Harapan untuk melihat tempat pendekar si Pitung menjadi samar.

"Bagaimana kalau lain kali saja sahabat?"

"Lain kali tu, boleh jadi tak pergi langsung. Bila sahabat balik ke tanah semenanjung. Entah bila pula kemari. Barangkali boleh jadi tak datang langsung," Pak Habib menggaru hujung kening.

"Susah, saya benar-benar susah," datuk mengeluh.

"Apa yang sahabat susahkan."

"Saya dah berjanji dengan kapten kapal dagang yang mahu ke Pulau Pinang tengahari esok. Orang yang menguruskan hal ini, Tajuddin anak saudara sahabat. Berat rasa hati nak membatalkannya," wajah datuk nampak sugul.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Sambungan 3)(COMPLETE)Where stories live. Discover now