Bab 5 Cerai

6K 466 199
                                    

JAM dah menunjukkan pukul 10.00 malam tapi bayang Jazlan masih belum kelihatan. Hari minggu pun suamiku masih 'bekerja lebih masa'. Tak penat ke balik sampai lewat malam? Bukan ke esok dia bekerja? Kalau ya pun tengah mabuk cinta, mustahil langsung tak fikirkan rumah tangga? Perempuan yang dikejar-kejarkannya itu belum sah jadi isterinya. Aku yang dah lima tahun jadi isterinya ini dibuatnya macam perempuan simpanan. Jenguk cuma sekali sekala. Aku meraup muka. Sedih sangat.

Tepat pukul 10.30 malam, kereta Jazlan masuk ke porch. Aku membuka pintu dan menunggu di situ. Jazlan keluar, menutup pintu kereta dan berjalan mendekatiku. Mukanya kusut. Rambutnya berserabai.

Berkerut mukaku menatap wajahnya. Hai...balik daripada jumpa kekasih, muka dah macam asam paya. Dah dapat pun lampu hijau untuk bernikah satu lagi. Apa lagi masalahnya?

"Lambat abang balik?" Aku tak dapat menahan mulut daripada bertanya.

"Ada hal sikit tadi."

Jazlan langgar sedikit bahu aku untuk masuk ke dalam rumah. Aku berganjak dan membiarkan dia masuk. Pintu aku tutup kemudian berpaling memandangnya. Dia tengah melangkah ke sofa.

"Abang dah makan?"

"Dah." Jazlan pandang aku sekilas kemudian menjatuhkan punggung di atas sofa. Pandangannya dikalih ke kaca televisyen. Dia macam ada masalah. Itu yang dapat aku tafsirkan.

Aku menghela nafas lega. Hari ini aku memang tak masak. Lauk yang aku bawa dari rumah mak tadi dah habis aku makan. Tapi kalau aku masak pun mesti Jazlan tak makan. Nanti dia marah aku lagi dan kata aku suka membazir.

"Awak tak payah sediakan apa-apa. Duduk sini. Abang nak bincang sikit dengan awak." Jazlan tunjuk sofa di sebelahnya. Menyuruh aku duduk.

Aku akur. Langkah aku atur menuju ke sofa. Pun begitu, hatiku berdetak. Memandang wajah Jazlan yang berkerut seribu, hatiku tak tentu arah. Macam ada berita buruk yang mahu disampaikannya. Itulah firasatku. Firasat seorang isteri yang bakal dimadukan.

"Kenapa balik lambat? Abang pergi mana? Sehari suntuk abang keluar." Aku buat-buat ceria. Sempat aku lahirkan kekesalan dengan perangai Jazlan yang tak menghiraukan rumah tangga.

Jazlan senyap. Tangannya naik mengisar rambut. Rambut yang sedia serabai semakin kusut. Kepala diangkat memandang aku.

"Abang jumpa Wafa."

Giliran aku pula terdiam. Aku memang tahu Jazlan bertemu Wafa tapi mengapa hatiku ini masih rasa pedih bila dia berterus terang?

"Abang dah bincang dengan Wafa. Wafa..." Jazlan terhenti di situ.

Aku angkat kepala. Menatap wajah Jazlan yang berserabut, degupan jantungku mengalahkan berlari pecut 100 meter. Laju. Namun aku tak nak bertanya apa-apa. Biarkan dia saja yang meluahkan segalanya. Malam ini aku hanya mahu jadi pendengar.

"Abang...abang dah pujuk Wafa. Tapi Wafa...Wafa masih tak nak bermadu." Habis bercakap Jazlan tunduk memandang lantai. Takut nak tengok reaksi aku.

"Habis apa...apa yang abang nak buat sekarang?" Aku mengetap bibir.

Aku cuba berlagak tenang biarpun dadaku bergoncang macam dilanda gempa bumi. Menanti keputusan Jazlan macam menunggu hukuman bunuh dijatuhkan ke atasku. Gementarnya aku sampai terasa macam nak 'terkucil'.

"Abang...tak sanggup berpisah dengan Wafa. Abang sayangkan dia sangat-sangat." Jazlan mendesah. Tangannya diangkat menutup muka. Tak tahulah apa tujuan dia melindungi wajahnya daripada tatapan mataku.

GERIMIS (Terbit)Onde histórias criam vida. Descubra agora