Bab 19 Lurus Bendul

5.8K 530 177
                                    

SELEPAS bersolat subuh aku segera bersiap. Aku bangun pukul 5.00 pagi tadi untuk memasak nasi dan sedikit lauk buat bekalan ke rumah Haq. Selagi Haq tak izinkan aku menjamah makanan yang aku masak di rumahnya, selagi itulah aku akan bawa bekal.

Tapi, ada baiknya aku masak awal. Balik kerja nanti badan dah letih. Kalau badan letih aku tak larat mahu 'bergaduh' dengan periuk dan kuali di dapur.

Nampak gayanya, aku kena cari kerja lain. Aku tak larat bangun awal setiap pagi kemudian mengejar bas ke rumah Haq. Tapi, kerja apa yang aku nak cari? Kalau boleh aku tak nak bekerja di kilang. Bukan menyombong tapi aku mahu mencuba sesuatu yang baharu dalam hidupku.

Aku sukakan fesyen. Bila tengok orang pakai baju cantik, aku pun teringin nak pakai. Tapi, apabila dah bergelar isteri, peluang untuk aku mengecapi semua itu tersekat kerana Jazlan tak mengizinkan aku bergaya berlebihan. Duit untuk membeli pakaian baharu sangat terhad kerana aku tak bekerja. Ada tak ada, aku kena tunggu Hari Raya atau apa-apa acara penting barulah Jazlan belikan aku baju baharu. Sadiskan hidup aku?

Dah hidup sendirian ini aku bertekad nak belajar menjahit. Bila dah mahir nanti, aku akan ambil upah menjahit dan jika ada rezeki aku akan buka sebuah kedai jahit. Dahulu aku pernah suarakan cita-citaku pada Jazlan tapi dia hanya gelakkan aku.

Kata Jazlan, orang macam aku hanya layak jadi suri rumah. Sekarang aku nak buktikan kepada Jazlan yang orang macam aku juga mampu menggapai bintang di langit. Mudah-mudahan impianku tercapai.

Matahari belum terbit tapi aku dah terpacak di pondok menunggu bas berdekatan rumahku. Mujur ada juga orang yang senasib dengan aku, terpaksa mengejar bas demi sesuap nasi. Jadi, taklah aku rasa takut sangat.

Aku tiba di rumah Haq, 45 minit kemudian. Aku terus masuk ke dalam rumah kerana pintu pagar dah dibuka siap-siap. Haq sedia menunggu di ruang tamu. Terjegil matanya melihat aku muncul di muka pintu.

"Lain kali cuba datang awal sikit. Awak tahu sekarang dah pukul berapa?" Dia merungut dengan muka masam. Mana pernah muka dia manis bila bercakap dengan aku?

"Saya minta maaf, doktor. Bas sampai lewat." Aku cuba mempertahankan diri walaupun tahu dia tak akan menerima alasan aku.

"Lain kali ambil teksi atau grab. Atau...kalau tak mampu ambil teksi, awak keluar awal. Take the first bus yang pergi ke sini." Haq menyenaraikan apa yang perlu dilakukan untuk tiba di rumahnya lebih awal.

Ambil bas pertama ke rumah dia? Dahi aku berkerut. Setahu aku, bas pertama ke rumah dia pukul 4.30 pagi. Awal sangat tu. Tak sanggup aku nak keluar seawal itu. Macam mana dengan keselamatanku? Kalau aku kena culik nanti, mahu ke dia bertanggung jawab?

"Bila awak lambat, saya pun akan pergi kerja lambat." Tak habis-habis Haq merungut.

"Saya tahu. Saya minta maaf, doktor. Esok saya akan cuba datang awal." Aku menjawab sambil tunduk.

"Huh..." Dia merengus kemudian bangun dari sofa. Langkahnya diatur ke kabinet di tepi tangga, mengambil beg bimbit dan kunci keretanya.

"Daz mana?" Bila tak melihat Dazrin di tingkat bawah, aku memberanikan diri untuk bertanya.

"Tidur lagi. Saya sengaja tak kejutkan Daz. Bila dia bangun nanti awak tolong mandikan dia dan siapkan breakfast. Lepas tu kemas bilik dia." Itu arahan pertama untukku hari ini.

Walaupun dia tak pandang, aku mengangguk juga. Tak perlu diberitahu, aku memahami bidang tugas aku. Semalam aku dah lakukan seperti yang diarahkannya.

"Lepas tu saya nak awak masak. Masaklah apa-apa asalkan makanan tu tak pedas dan Daz boleh makan." Haq mengarah lagi.

GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now