Bab 11 Punca Kemalangan

5.8K 487 136
                                    

"NARA ingat lagi kemalangan malam tu?" Auntie Yasmin menggenggam erat tanganku yang terletak di atas riba.

Aku memandang wajah keibuannya lama. Seketika aku mengangguk. Masakan aku boleh lupa? Aku akan ingat peristiwa itu sampai bila-bila. Bukan mudah memori pahit itu mampu dikikis dari kotak ingatanku.

"Orang yang langgar Nara malam tu...." Auntie Yasmin terhenti. Muka Haq dikerlingnya sebelum memandangku semula. Macam tak yakin mahu meneruskan kata-kata.

Dahi aku berkerut. Siapa orang yang telah melanggar aku? Aku mengangkat muka memandang Haq. Wajah lelaki itu macam biasa. Serius. Dia sibuk melayan Dazrin berbual. Aku rasa dia tak dengar apa yang diperkatakan maknya.

"Haq yang...langgar Nara malam tu." Akhirnya terluah bicara itu dari bibir Auntie Yasmin. Serba salah dia menatap mukaku. Rasa bersalah mungkin dengan perbuatan anaknya.

Aku diam tak berkutik. Tak terkejut sangat sebenarnya. Sedikit sebanyak aku dapat mengagak itulah yang ingin diberitahu Auntie Yasmin. Kalau tak, takkanlah dia rajin sangat menziarahi orang yang tak dikenalinya?

Muka Haq aku pandang lagi. Seperti tadi dia masih buat muka selamba. Malah dia boleh tergelak-gelak melayan gurauan anaknya. Macam tak ada rasa bersalah membuat hidup aku porak peranda.

"Maafkan anak auntie ya, Nara. Haq tak berniat nak langgar Nara malam tu. Sebab Haq, anak Nara meninggal...."

"Mama...kenapa mama minta maaf pada dia? Tu memang salah dialah."

Tiba-tiba Haq mencelah. Meninggi nadanya namun masih terkawal. Mungkin menyedari dia sekarang berada di hospital. Jika ada kakitangan hospital mendengarnya, dia juga yang dapat malu.

Aku pun rasa hairan menengok dia. Tadi dia diam. Aku ingat dia tak ambil pusing perbualan maknya dengan aku. Bila maknya buka topik pasal kemalangan itu, dia terus naik angin. Tak faham aku dengan perangai dia. Bukankah dia penyebabnya. Mengapa dia masih menyalahkan aku?

"Haq...apa pun yang terjadi, Haq kena minta maaf pada Nara. Haq yang langgar Nara..."

"Kenapa mesti Haq minta maaf pada dia? Tu memang salah dia. Dahlah tak pakai helmet, bawa motor macam orang gila. Lepas tu keluar simpang tak toleh kiri kanan. Kalau bukan sebab dia, Ika tak mati, mama..."

"Ya Allah, Haq....dah sampai ajal Ika malam tu. Haq kena reda..."

"Haq bukan tak reda tapi Haq tak suka mama minta maaf pada dia. Patut dia yang minta maaf pada kita. Sebab dia, isteri Haq meninggal. Sebab dia juga Daz hampir mati. Mujur Daz selamat. Kalau Daz pun ikut Ika, Haq tak akan sesekali maafkan perempuan ni. Haq akan susahkan hidup dia sampai dia pun mati macam Ika."

Melopong mulut aku. Memandang wajah menyinga dan mata yang merah menyala itu, dada aku seperti dilambung ombak Tsunami. Turun naik dada aku cuba melepaskan sesak. Tiba-tiba aku rasa macam nak terkena asma walaupun sebelum ni aku sihat walafiat. Kepala aku yang sakit terasa bagai ditimpa batu besar.

Patutlah Haq nampak benci sangat kepada aku. Aku yang menyebabkan isterinya mati!

"Kalau ikutkan marah, nak je Haq dakwa dia, mama. Biar puas hati Haq ni bila dia kena sumbat dalam penjara." Haq menyambung sambil merenung marah muka aku.

Kena sumbat dalam penjara? Terasa kering darah aku kerana terlalu terkejut. Aku rasa muka aku pun dah sepucat zombi. Terketar-ketar bibir aku cuba menjawab tapi aku sendiri tak tahu apa yang patut aku cakapkan.

Kata-kata Haq benar belaka. Disebabkan aku, isterinya mati. Jadi, selain penjara, apa lagi hukuman yang layak untuk aku?

"Haq...kenapa terfikir sampai macam tu? Kita datang ke sini sebab nak minta maaf pada Nara bukannya nak cari gaduh. Tak payahlah sampai nak dakwa Nara. Ingat Haq seorang yang menderita hilang isteri? Nara ni lebih lagi. Dahlah kena cerai dengan suami dia. Anak dalam kandungan dia pun meninggal. Haq tahu tak berapa lama Nara tunggu nak dapat anak? Lima tahun, Haq... "

GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now