Bab 8 Maaf?

6.6K 562 340
                                    

"ABANG minta maaf. Sebab abang, awak jadi macam ni."

Mendayu suara Jazlan memohon maaf. Aku membekukan diri. Tak teringin langsung memandang muka dia. Kalau dia nak menangis biarkan dia menangis sampai banjir hospital ini. Tak kuasa aku nak pujuk dan tenangkan perasaan dia. Hati aku yang terluka ini nak ke dia pujuk?

"Enam bulan abang tunggu awak sedar dari koma. Abang nak minta maaf pada awak. Akhirnya...akhirnya awak sedar juga." Suara Jazlan berubah ceria.

Aku menjeling dengan ekor mata. Jazlan sedang menyapu pipinya yang basah. Pandai juga dia menangis. Aku ingat dia seorang yang tak punya perasaan.

Sepanjang mengenalinya, dia tak pernah tunjuk muka sedih di depan aku. Walaupun ada masalah, wajahnya selalu tenang. Sebab itu aku memilih untuk jadi tulang rusuk kirinya. Dia juga bukan seorang yang panas baran. Tapi tak sangka pula dia hilang pertimbangan dan ceraikan aku malam itu. Hanya kerana hatinya dah dibutakan perempuan lain. Atau...mungkin juga kasihnya bukan untuk aku lagi.

"Tiap-tiap hari abang datang jenguk awak kat hospital. Abang tak pernah berhenti mendoakan awak setiap kali lepas solat. Abang nak awak sedar dan sihat macam dulu..."

"Terima kasih doakan saya." Perlahan suara aku.

Memang patut pun dia mendoakan aku. Sebab dialah aku terlantar enam bulan di atas katil hospital. Itu pun mujur aku tak hilang ingatan. Kalau aku hilang ingatan lagi sadis agaknya hidup aku.

Bila difikirkan, aku lebih rela tak ingat apa-apa. Taklah aku merana asyik terkenangkan apa yang dia dah buat pada aku.

Wajah Jazlan berubah mendengar aku membahasakan diri sebagai saya. Sepanjang mengenali dia, aku tak pernah guna nama lain selain Nara. Sekarang aku dah tak sudi guna nama itu bila bercakap dengan dia. Nara itu aku khaskan untuk insan-insan yang istimewa. Untuk orang-orang yang aku sayangi. Dan Jazlan tak termasuk dalam golongan itu lagi.

"Nara..." Jazlan terhenti. Bibirnya terkumat kamit mahu menyambung namun tiada suara yang terlontar.

"Ada apa awak datang jumpa saya? Kalau semata-mata nak tengok saya sedar, Alhamdulillah....saya dah sedar. Jangan risau saya sihat. Tak ada apa-apa yang cacat pada tubuh saya. Ingatan saya pun masih kuat. Saya masih ingat semua yang berlaku sebelum kemalangan tu." Sempat lagi aku menyindir Jazlan.

Jazlan terkedu. Nafasnya ditarik panjang. Kemudian dia menatap lama muka aku. Susah payah aku dengar dia membuka mulut untuk menyambung bicara.

"Nara....kenapa....kenapa awak tak beritahu abang yang awak mengandung?"

"Kalau saya beritahu, awak akan batalkan perkahwinan awak dengan dia ke?" Tak sanggup aku nak menyebut nama perempuan yang dah rampas Jazlan daripada aku.

Rampas? Tak. Wafa tak rampas Jazlan daripada aku. Istilah rampas itu terjadi bila Wafa mengambil Jazlan secara paksa. Dalam kes ini mereka berdua sama-sama rela. Mereka berselingkuh di belakang aku. Bukan seminggu dua tapi berbulan-bulan lamanya.

Jazlan terkedu dengan serangan aku. Nampak serba salah wajahnya. Dah jelas sekarang, samada aku hamil atau tak, dia memang tak bersedia berpisah dengan Wafa. Entah-entah sekarang pun mereka dah jadi suami isteri. Yalah...dah enam bulan aku koma. Aku tak percaya Jazlan mampu menahan nafsunya. Lebih-lebih lagi jika ada perempuan lain yang menunggu di depan mata.

"Awak dah kahwin dengan dia?" Aku tak sanggup menunggu Jazlan membuka mulut. Terus aku tala dia dengan soalan yang paling penting.

Lambat-lambat Jazlan mengangguk. Dia kelihatan gelisah dan serba tak kena. Matanya tak berani memandang tepat ke mata aku. Nampak sangat dia rasa bersalah.

GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now