Bab 13 Rumah Baru

5.8K 467 277
                                    

AKU keluar dari hospital pada hari berikutnya. Ayah dan mak menjemput aku dan terus membawa aku ke sebuah kawasan perumahan. Aku mendongak memandang bangunan flat 20 tingkat di depanku. Kecut perut aku melihat ketinggiannya.

"Rumah Nara kat tingkat tiga. Kalau lif rosak, tak penat Nara nak naik tangga." Mak menjelaskan sebelum sempat aku bertanya apa-apa.

"Alhamdulillah, mak. Terima kasih carikan rumah untuk Nara."

Aku rasa sangat bersyukur. Tanpa pertolongan mak, sukar untuk aku meneruskan hidup. Namun aku tahu aku kena belajar berdikari. Sampai bila aku nak mengharapkan bantuan daripada mentuaku?

"Ni aje yang dapat mak carikan untuk Nara. Rumah ni ada dua bilik. Mak rasa Nara akan selesa tinggal kat sini. " Mak cuba menyedapkan hatiku.

"Nara tak kisah tinggal mana-mana, mak. Ni pun Nara dah bersyukur sangat ada tempat tinggal."

Dengan duit simpanan yang tak seberapa, hanya rumah flat yang aku termampu. Untuk kelangsungan hidup selepas ini aku memang kena cari kerja.

Terkejut aku melihat Jazlan berdiri di tepi bangunan sejurus kereta ayah membelok ke kawasan parkir. Kenapa dia datang? Menyampah aku nak menghadap muka dia. Tak boleh ke dia pergi jauh daripada hidup aku?

Sebaik ayah memberhentikan keretanya, Jazlan melangkah ke arah kami. Pintu kereta tempat aku duduk, Jazlan buka dari luar. Aku langsung tak memandang muka dia. Baru sekarang dia nak tunjuk romantik dengan aku. Ketika aku jadi isterinya dahulu, mana pernah dia buat semua itu?

Sempat aku memandang kawasan parkir. Tak nampak muka Wafa. Tak datang sekali ke dengan suami kesayangan dia? Karang cemburu pula melihat suami dia beri perhatian lebih kepada aku. Jadi masalah pula untuk aku mempertahankan diri daripada serangan perempuan itu.

"Alhamdulillah...awak dah keluar hospital." Itu ayat pertama yang keluar dari bibir Jazlan.

Dia cuba membantu aku keluar dari kereta dengan memegang tanganku tapi cepat-cepat aku menepis dengan beg tangan. Dia tak sedar ke yang status aku dah berubah? Aku sekarang dah jadi bekas isteri bukan isterinya lagi.

"Jaz dah angkat barang-barang Nara bawa ke sini?" Mak mencerlungkan mata ke arah Jazlan. Perlakuan Jazlan ketara di mata mak. Mak duduk di sebelah aku. Tentulah dia nampak apa yang berlaku.

"Jaz dah angkat petang semalam." Jazlan menjawab dengan pandangannya masih tak berganjak dari mukaku.

"Dah angkut semua sekali?" Mak tak puas hati.

"Err...tak. Adalah sikit-sikit yang masih tinggal." Jazlan terus melarikan pandangannya dari muka aku tapi sempat juga aku tengok reaksi di wajahnya tadi. Macam ada yang tak kena. Atau itu hanya firasatku?

Cuak juga memikirkan masih ada barang-barang aku yang berada di rumah Jazlan. Kenapa Jazlan tak angkut semuanya sekali? Bukannya banyak pun harta aku. Hanya pakaian dan beberapa buah peralatan elektrik dan perabot yang aku beli semasa bekerja dahulu. Ke dia nak jadikan semua tu hak milik dia?

"Tak payah tinggalkan. Angkut semuanya sekali." Mak berpesan kepada anak lelaki sulungnya.

"Jaz...cuma tinggalkan baju Nara. Tapi taklah semua. Manalah tahu kalau...kalau...Nara nak tinggal balik kat sana, tak payahlah Jaz angkut semula nanti." Serba salah Jazlan memandang muka aku.

Aku memahami maksud ayatnya itu walaupun diucapkan secara berlapik. Aku menjeling tajam ke arah Jazlan. Masih ada hati nak ajak aku kembali kepada dia? Jangan harap!

"Dah...tak payah nak berharap Nara balik semula pada Jaz. Mak nak Jaz bawa baju-baju Nara tu hari ni. Karang kalau Nara dah mula kerja, susah pula dia tak ada baju nak pakai." Mak pun memahami niat hati anaknya. Cepat mak membidas balik.

"Nara nak kerja? Kat mana?"

Jazlan macam tak puas hati. Pelik sangat ke dengar aku nak bekerja? Macamlah aku tak layak memegang duit sendiri.

"Memanglah Nara kena kerja. Habis macam mana dia nak tanggung hidup dia kalau tak kerja? Nak suruh Nara makan pasir? Dulu ada laki boleh tanggung makan minum dia. Sekarang ni laki dia nak tanggung perempuan lain pula. Jadi...nak tak nak terpaksalah Nara kerja." Menyempat lagi mak bahasakan Jazlan.

Terkulat-kulat muka Jazlan mendengar sindiran mak. Aku pula rasa nak tergelak tapi aku tahankan sahaja. Hah...terkena dia sebiji. Rasakan!

"Dah...pergi balik rumah. Tak payah menyibuk ikut mak dan ayah hantar Nara ke rumah dia. Tu...bini baru kesayangan Jaz dah tunggu kat rumah. Mesti dia dah masak sedap-sedap untuk Jaz." Mak menyindir Jazlan lagi.

Muka Jazlan berubah merah padam. Tak pastilah samada malu atau bengang disindir mak. Muka aku dipandangnya lama sebelum melangkah ke keretanya. Tatapannya sayu. Macam orang yang kehilangan.

Tak kuasa aku nak membalas renungan sayunya. Hidup aku ni jika diikutkan lebih merana daripada dia. Aku kehilangan suami, anak, ibu dan abah sekali gus. Aku dah tak ada siapa-siapa. Tapi...siapalah aku untuk menidakkan ketentuan Ilahi? Mesti ada sesuatu yang lebih baik menunggu aku kemudian hari. Itu yang selalu aku yakini dan sematkan di hati aku ini.

"Jom, Nara. Mak tunjukkan rumah Nara. Lepas tu mak tolong Nara kemas apa-apa yang patut." Mak menarik tangan aku menuju ke lif.

Aku menurut. Lega hati aku melihat kereta Jazlan bergerak meninggalkan kami. Tak adalah orang nak mengganggu ketenteraman aku lagi.

"Abang boleh belikan makanan tak? Saya nak tolong Nara kemas barang. Tak sempat nak masak hari ni." Pandangan mak beralih ke muka ayah mentuaku.

"Okey." Ayah yang sejak tadi membisu masuk semula ke dalam kereta.

Ayah mentuaku ini memang agak pendiam orangnya. Tapi...dalam pendiam tu sempat lagi mencari yang lain. Agaknya Jazlan terikut-ikut perangai ayahnya yang suka pasang spare tyre. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? 


GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now