Bab 15 Pengasuh

5.8K 439 144
                                    


DUA hari mak membantu aku mengemas rumah. Pakaian aku yang masih tersadai di rumah Jazlan dah dihantar bekas suami aku itu. Ketika menghantar beg pakaian, sempat lagi Jazlan memujuk aku supaya kembali kepadanya. Melihat aku bertegas dengan keputusanku, wajahnya muram.

Berkali-kali Jazlan menyatakan kekesalannya dan membuat alasan tersilap langkah. Namun bagi aku, tiada istilah tersilap ketika dia menceraikan aku. Curang itu pilihan dia dan tiada sesiapa yang memaksanya. Sejurus dia melafazkan talak, hati aku koyak rabak dan lukanya berdarah hingga kini. Tak mungkin luka itu dapat diubati sampai bila-bila.

Pagi Isnin. Aku terjaga pukul lima pagi apabila alarm telefon bimbitku berbunyi. Hari ini aku akan ke rumah Haq. Semalam Auntie Yasmin menelefonku dan menyuruh aku menunggu di ruang parkir blok bangunan tempat aku tinggal. Dia akan menjemput dan membawa aku ke rumah anaknya.

Berdebar hatiku untuk ke sana. Takut melihat reaksi Haq. Entah-entah, sejurus nampak muka aku, dia terus 'meletup'. Jangan dia halau aku dari rumah, sudahlah.

Aku turun ke bawah dan menunggu di lobi berdekatan kawasan parkir. Sengaja aku berdiri di situ bagi memudahkan Auntie Yasmin melihatku. Tak perlulah nanti dia menghabiskan masanya untuk menelefon aku. Aku bukannya tahu jenis kereta dia dan apa nombor platnya.

Jika aku bercadang mahu bekerja di rumah Haq, aku kena ada kenderaan sendiri. Mustahil nak mengharapkan Auntie Yasmin menjemputku setiap hari? Atau...larat ke aku nak naik bas atau teksi? Gaji yang aku dapat setiap bulan tak sebanyak mana. Takut nanti gaji habis untuk membayar tambang teksi. Hujung bulan aku nak makan apa?

Aku mula mencongak dalam kepala. Kalau nak beli kereta memang aku tak mampu. Duit simpanan aku tak banyak. Tapi, kalau setakat nak membeli sebuah motosikal terpakai, aku masih mampu. Motosikal itu untuk memudahkan aku bergerak ke mana-mana. Jadi bolehlah aku berjimat.

Selepas ini aku akan mengajak mak ke kedai motosikal. Harap-haraplah mak sudi menemani aku.

Tak sampai sepuluh minit menunggu, kedengaran hon dibunyikan. Aku angkat kepala. Auntie Yasmin sedang melambai dari tingkap kereta yang terbuka. Aku tak membuang masa, pantas melangkah ke keretanya.

Selepas menghantar aku ke rumah Haq, Auntie Yasmin akan bergerak ke pejabatnya. Haq pun akan menghantar Dazrin ke taska sebelum ke hospital. Sebab tu aku kena sampai di rumah Haq sebelum dia pergi kerja. Samada dia bersetuju atau tidak menerima aku bekerja, semuanya akan diputuskan pagi ini.

"Auntie dah beritahu Haq pasal ni." Auntie Yasmin memulakan perbualan sebaik aku duduk selesa di dalam keretanya.

Aku kalihkan pandangan ke arah Auntie Yasmin. Wajah aku berkerut. Memang aku sangat risaukan reaksi Haq nanti.

"Auntie cakap kat Haq, auntie dah dapatkan pengasuh untuk Daz. Tapi auntie tak beritahu dia siapa orangnya."

"Dr Haq setuju ke ambil pengasuh?" Kerutan di dahi aku berlapis. Aku tak percaya Haq benarkan orang lain berada di rumahnya sepanjang ketiadaannya.

"Dia memang dah lama nak ambil maid tapi banyak demandnya. Nak maid warga tempatan yang agak berusia supaya dia rasa selesa dan boleh tinggal sekali dengan dia. Tu yang susahnya. Sekarang ni mana nak cari maid yang dah berusia? Kalau maid warga asing senang dapat."

"Tak terkejut ke Dr Haq nanti bila nampak saya?" Aku nyatakan kerisauanku.

Banyak sebab yang bakal membuat mata Haq terbeliak. Pertama, sebab aku tak menepati syarat pembantu rumah yang dimahukannya. Sebab kedua, dia tak sukakan aku.

Melebar senyuman Auntie Yasmin. "Dah tentu dia terkejut. Biar jelah. Nara jangan risau sangat."

"Saya memang risau, auntie. Dr Haq tak sukakan saya." Senyuman aku pula sepahit hempedu.

"Haq bukan tak sukakan Nara. Dia cuma belum dapat terima peristiwa pahit yang berlaku dalam hidup dia. Biar jelah. Lama-lama nanti dia okey. Yang penting sekarang, Daz sukakan Nara. Itu yang auntie buat keputusan ambil Nara kerja kat rumah Haq. Auntie tak nak sebarang orang jaga Daz. Auntie percayakan Nara je." Auntie Yasmin cuba meredakan gelombang resah di jiwa aku dengan bicara lembutnya.

Aku berjeda. Terharu apabila Auntie Yasmin meletakkan sepenuh kepercayaannya kepadaku untuk menjaga Dazrin.

"Macam mana kalau Dr Haq tak terima saya kerja kat rumah dia?" Pandangan aku kalihkan ke wajah Auntie Yasmin.

"Insya-Allah Haq akan terima Nara. Auntie akan pujuk dia nanti."

Aku biarkan perbualan kami tamat di situ. Biarpun gementar untuk berhadapan dengan Haq, aku tak berani meletakkan harapan terlalu tinggi. Aku tak kisah sangat jika dia enggan mengambil aku bekerja di rumahnya. Dah bukan rezeki aku menjadi pengasuh Dazrin. Aku boleh cari kerja lain yang lebih sesuai. Bukan ke rezeki ALLAH ini luas?

Tak sampai setengah jam perjalanan, kereta Auntie Yasmin berhenti di depan sebuah rumah teres dua tingkat. Sebuah kereta berwarna putih terparkir di dalam porch.

"Inilah rumah Haq. Nasib baik kita sampai cepat. Auntie risau je tadi. Takut dia dah pergi kerja." Auntie Yasmin memandang aku sekilas kemudian kelam kabut menukar gear D ke P dan mematikan enjin kereta.

Aku diam. Patutlah tadi aku dengar dia mengeluh bila sesekali tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Mungkin dia bimbang tak dapat menemukan aku dengan Haq.

"Jom, Nara." Auntie Yasmin mengajak aku keluar dari kereta.

Lambat-lambat aku mengangkat beg sandang dan membuka pintu kereta. Auntie Yasmin dah siap menunggu di tepi pagar. Sejurus pintu kereta ditutup, pintu depan rumah terbuka. Dazrin keluar dan berlari ke pintu pagar.

"Tok ma!" Ceria suara Dazrin memanggil neneknya. Tangannya menggoncang pintu pagar. Cuba membukanya namun pintu itu bermangga.

"Daz! Babah mana?" Auntie Yasmin bertanya.

"Babah kat dapur. Tengah breakfast." Petah Dazrin menjawab. Sejenak matanya terpaku di muka aku. Wajah comelnya nampak terkejut. Berkerut dahinya memandangku namun dia tak berkata apa-apa.

"Daz panggil babah." Auntie Yasmin mengarah cucunya.

"Okey...tok ma." Dazrin melarikan matanya dari wajahku. Selepas itu dia berlari pantas masuk ke dalam rumah.

Hati aku berdebar menunggu Haq muncul. Auntie Yasmin tersenyum memandang aku yang berdiri di sisinya. Dia tahu aku tengah menggelabah lantas tangan kanannya mengait tangan kiriku.

"Nara okey?"

Aku mengangguk perlahan. Mustahil nak beritahu yang hati aku tengah galau? Nanti Auntie Yasmin risau.

Beberapa detik menanti, barulah Haq muncul di muka pintu. Bulat matanya memandang Auntie Yasmin. Bila matanya berkalih ke muka aku, dahinya berkerut. Namun, langkahnya tetap diatur penuh yakin. Mangga pintu pagar dibuka dengan kunci di tangannya.

"Ada apa mama datang pagi-pagi ni?" Sebaik pintu pagar terbuka, Haq mengajukan pertanyaan. Keningnya terjongket. Dia cuma menjeling sipi muka aku.

Auntie Yasmin tak menjawab. Tangan kanan aku dihelanya menuju ke pintu depan. Tangan kirinya pula memaut lengan Dazrin. Mata Haq yang menatapnya penuh rasa hairan tak dipedulikan. Laju dia menarik tangan aku menuju ke sofa.

Aku tak berkata apa-apa. Menanti apa yang bakal terjadi bersama debaran di hati yang tak kunjung reda. 


GERIMIS (Terbit)Where stories live. Discover now