KEKASIH

14 2 0
                                    

KEKASIH

Perempuan cantik seperti aku mestilah ramai jejaka mahu mengendeng. Sudahlah cantik, terpelajar pula.

Taslim satu satunya jejaka yang aku suka di kolej. Dalam ramai ramai dialah yang memiliki kualiti yang aku impikan dari seorang teman, kekasih, suami dan pernah aku berkhayalan mahukan anak darinya.

Taslim tampan, garang dan tangkas bermain rugby. Ramai perempuan gila padanya. Biasiswa Taslim ditanggung oleh kelab sukan ibu kota. Setelah masuk 4 tahun kami bersama, tidak ada mana mana lelaki yang berani mendekatiku. Di tahun akhir, aku kira semoden mana kami sekalipun aku harus dibawa menemui keluarganya. Sebenarnya sejak tahun pertama bila merasa intim sudah aku khabarkan padanya tentang hajat yang satu itu, tetapi sering ditolak. Aku terlalu cintakan dia sehingga berura ura memujuk ayah agar jangan dimahalkan sangat mahar pernikahan nanti.

Merajuk besar, setelah permohonan yang ke 10 masih ditolak. Aku kira Taslim hanya bermain selamat. Menggunakan aku sebagai patung pujian selama ini.

"Susah sangatkah nak bawa I jumpa famili you? Kenapa? You selama ni main mainkah?"

"Bukan, bukan my dear... famili I susah sikit,"

"Susah apanya? Mereka dah ada pompuan untuk you?"

Begitulah saban kali aku marah dan merajuk, marah dan merajuk lagi.

Taslim tidak mampu lagi menanggung tekanan tersebut agaknya.

Akhirnya dibawa juga pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan. Dari kota kami bertolak ke stesen keretapi Seremban dan akhirnya menuju ke kawasan yang terasa sangat jauh. Tertidur aku jadinya dalam kereta proton buruk yang di sewa. (aku bayar semua termasuk deposit)

Aman, hijau dan sepi bila kami sampai di pekarangan kampung yang pasti akan disukai oleh pencinta alam. Bunyi cangkerik bersahutan walau di siang hari. Rumah kayu dua tingkat keluarganya tidaklah seburuk mana, mungkin dibina oleh ayahnya yang sering diceritakan padaku sebagai sang Tukang Kayu. Rumahnya kukuh dan cantik.

Aku diperkenalkan pada orang tuanya dan seorang adik perempuan. Mereka mempamirkan wajah yang terkejut dan seperti orang tidak suka. Aku tahan dulu, lagipun yang rapat dan dicintai bukanlah mereka. Aku pujuk hati agar bersabar banyak banyak.

Memberi alasan bahawa mereka jarang makan malam, petang selepas Asar aku dan Taslim dijamu hidangan lauk pauk berdaging. Ada puyuh goreng, daging rusa masak lemak dan daging salai cicah air asam. Makanlah Taslim penuh selera, rindukan kampung halaman agaknya.

Keluarganya masih dingin terhadapku, sepatah di tanya sepatah dijawab. Aku meminta Taslim membawa aku ke bahagian air terjun dan sungai yang alirannya kedengaran dari kawasan rumah. Taslim juga di petang itu bagaikan dingin terhadapku. Kuanggap itu hanya perasaan perempuanku yang melampau lampau mahukan perhatian. Dia tetap manis di mataku, aku cintakan dia.

Malam itu aku diarahkan tidur di atas, mereka sekeluarga tidur di bawah. Sebaik sahaja aku naik ke atas, Taslim dan ayahnya menarik tangga kayu yang berselak. Bersopan dan tidak mahu bertanya akan sistem rumah orang, aku ikut sahaja. Ibu Taslim matanya memandang aku tepat dari bawah. Marah agaknya sang ibu, maklumlah hati anak bujangnya sudah aku tawan.

Keletihan akibat perjalanan dan jenuh berfikir membuatkan aku terlelap. Terbangun, jam telefon bimbit tanpa signal menunjukan tepat pukul 3 pagi. Kedengaran ngauman ngauman harimau yang kuat... bunyinya sangat dekat, seolah aku berada di kandang zoo dan tapak permainan sarkis. Aku mendiamkan diri seketika untuk mengamati apa ini mimpi atau nyata.

Dalam samar malam, aku berfikir mahu turun ke bawah sahaja, teringat pula pada tangga yang ditarik tadi. Ngauman bertambah kuat... 4 ekor harimau bagaikan berkeliaran kelihatan. Sesekali mereka dengan mata yang berkerdip kilat melihat aku di atas... ngauman bersahut sahutan siap dengan bunyi cakaran dinding. Kecut perutku Tuhan saja yang tahu. Telefon bimbit aku ketik lagi menghala ke sana sini, kalau ada signal aku mahu menelefon ayah. Akhirnya aku mengetik kamera merakam suasana di bawah... bersahut sahutan bunyi harimau harimau yang bagaikan berang...

Ketakutannya membuatkan aku tidak mampu menahan kencing, dengan dada yang berdegup kencang, aku lap dengan kain yang tercapai, menekup telingaku dengan bantal yang ada... berselawat dan bersyahadah takut kalau tiba tiba badanku disiat siat. Lengan masih kucubit cubit mahu memastikan ia bukan mimpi buruk...

Akhirnya aku terlejepuk tersadai disudut kamar. Keletihan bila tersedar. Perlahan lahan aku merangkak melihat ke bawah. Sunyi sepi, Taslim kelihatan tertidur mengerekot seperti kucing lelap. Tangga nampaknya siap dipasang semula. Penuh cuak aku turun, terkejut lagi bila disapa oleh ibunya...

"Kopi panas ada di dapur...minumlah, semalam tidur selesa?"
Aku angguk bagai orang bodoh.

Taslim aku bangunkan. Menolak tawaran kain batik dan tuala dari ibunya untuk mandi, setelah membasuh muka Taslim aku kejan agar aku dihantar ke stesyen Seremban.

"Ada temujanji penting dengan Nadia untuk projek semester akhir kuliah, maaf I benar benar lupa...," aku pura pura cemas.

Dalam perjalanan aku diam seribu bahasa, sesekali terdengar dengusan Taslim berdebur bagaikan harimau. Aku tidakkan buat sementara waktu, asalkan selamat sampai. Doaku di minda hanya mahu sampai ke stesen.

Taslim tidak kutemui lagi setelah itu. Ada khabar angin bahawa dia mula merapat dengan junior yang baru mendaftar. Kisah ini tidak pernah kuceritakan pada sesiapa.

Hingga hari ini setiap melihat gambar atau mendengar ngauman harimau baik di majalah, lambang lambang, kartun atau filem, ada sejenis gelojak perasaan yang menghantui meskipun kini aku berada jauh di Kota Leeds England.

******

Regina Ibrahim.
04.03.19
Didasari oleh kisah lama yang diceritakan oleh arwah Puan Salmah

CERITA CERITIWhere stories live. Discover now