FAZIDA AWMO 11

17 0 0
                                    

FAZIDA AWMO 11 - Ketentuan

Fazida Awmo kembali menghitung rezeki. Kerja sebagai jurujual bersyif pagi - petang - malam (belum lagi dikira sesi pening kepala kiraan stok) sudah dua bulan setengah ditinggalkan. Wang tabungan rasanya cukup.

Lakonan 2 babak dalam filem triler misteri walaupun tidak mendapat sambutan, dipuji oleh Razak Kartolo. Wartawan melayu hidung penyek seperti biasa masih memuja Maria Syafiq Anderson. Fazida melalui produksi yang sama ditawarkan watak anak Melayu bohsia untuk sebuah telefilem dan watak gadis kilang terpedaya untuk cerekarama.

Makan malam dengan Razak Kartolo juga sudah dilaksanakan. Perbualan tentang ulangan tema filem Melayu yang itu itu juga, kenapa orang kita tidak memberi sambutan dan sesekali tentang Finas, membawa Fazida rebah atas dada sang sutradara di hotel terpencil di Petaling Jaya.

"Alah Ida manis cara Idalah, kalau filem independent Ida mahu tak?" Razak elak soalan skema perempuan tidak yakin.

"Independent tu macam mana abang?"

Bicara jadi lebih mesra setelah segalanya. Fazida kembali bagaikan orang baharu jadinya. Jejak langkahnya masih di atas angin walaupun di sepanjang jalan tidak ada sesiapa cam akan wajah Melayu protonya.

Razak memang berpegang pada janji. Fazida dihubungi tidak sampai 2 minggu kemudiannya. Diajak keluar lagi untuk sesi singkat dan diperkenalkan pada sutradara baharu, khabarnya jejaka itu sang protege (belajar lagi kosa kata baharu dunia seni nampaknya si Fazida), merupakan anak didik yang menjurus pada filem filem seni. Fazida jadi ghairah lagi... bukan, bukan pada sutradara baharu yang berdermin kemetot itu... tapi pada senaskah skrip tipis untuk dihafal dan diminta bersedia untuk sesi 'reading' sekitar November.

Wataknya? Sebagai anak Tok Batin di Pulau Ketambun, hamil akibat berhubungan dengan lelaki NGO dari kota - watak itu khabarnya sedang ditawarkan pada Cront Qalare dan barisan aktor Malaysia lain yang tersohor. Fazida tak sudah memanjatkan doa. Seminggu sekali ditelefonnya produksi bertanyakan bila... tidak mungkin akan dianiaya.

Sesi reading dipinda ke Disember, Disember menjadi Februari 2020

Lamanya? Apa cerita? Naskah jadi lunyai, dihafal, dibawa tidur.

"Jadi apa pulak tak jadi... hujung Mac ni dah confirm..., kain batik ketang ke dada dan baju T bundle jer...," balas kakak pengurus projek bila Fazida yang resah berpura pura tanya baju apa yang perlu disediakan.

Dia kembali ceria berbunga, "kali ini tiada lagi bayangan si omputih celup tu... "

Pagi 18 Mac 2020 watsapp masuk bertalu talu... Fazida Awmo dilanda bungkam. Bahagianya bagai sengaja direnggut Tuhan. Sutradara kemetot terpaksa melepaskan mereka semua

Celaka!

"Maaf, pada yang ada projek lain bolehlah proceed, produksi kita terpaksa tangguhkan dulu sehingga CORONA reda..., ingat benda ni bukan sehari dua... mungkin makan bulan, mungkin sampai lepas hari raya,"

Fazida Awmo menangis teresak esak hingga bengkak mata.

Dia benar benar bosan melalui semua ini. Tidak keruan. Muatnaik di medsos tiba tiba penuh kisah berebut makanan, kakak kakak dengan resepi mereka dan pesanan tentang COVID19 yang berlarutan. Bebal hatinya tidak siapa yang tahu, sesekali dia kesal memaki sumpah Corona dan susunan Tuhan.

Tidak dapat tidak jari jemarinya sibuk naik turun mencalit calit telefon pintar, berkerut membaca kisah Anju Julie dan rentetan video gaduh bersama artis artisan di IG, tiap satu video diikuti penuh taksub, bosan, kembali terbaring merenung kosong pada siling kamar sewa sambil menghela nafas dia benar benar resah memikirkan nasib dan tuah manusia. Tidak boleh jadi, dia bingkas bangun merenung di jendela... pekan sepi, tidak terdengar bunyi lalu lintas langsung macam filem zombie.

Bila? Bila? Bilaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa...!!! Ahhhhh!!! Dia menjerit tanpa sedar.

"Kau dah kenapa?" Rubiah teman serumah yang terkejut muncul di muka pintu kamar

"Tak... takda apa apa, aku hafal skrip,"

CERITA CERITIWhere stories live. Discover now