KOMPILASI 3 CERTOT

52 4 0
                                    

CONGKAK

Riuh rendah bunyi ghairah anak anak menakan di laman marmar depan rumah Kak Asmah. Aku berdiri memanjangkan leher memantau... Kak Asmah yang sedang menyusun piring dan garfu bertanya, "awat? depa dok buat apa?"

Sepintas aku dibawa pulang pada polosnya hidup kami di desa. Kak Asmah yang pakar menggali lubang, cermat menyimpan biji biji getah yang akhirnya berkilat dengan minyak badan kami dan anak anak jiran tiap petang santai di bawah pohon rambutan. Zaman benar benar sudah menelan semuanya.

Sudah ada congkak kayu berukir dan yang plastik.

Terkenang lagi bagaimana Kak Asmah menangis hiba bila ayah membaling semua biji getahnya ke sungai. Marah betul dia masa itu... aku ingat benar akan rungutannya: "mainan orang miskinpun ayah nak marah, kita tak mintapun mainan mahai mahai dari pekan,"

"Hang tu dah anak dara dah... LCE ujung taun, tak pass esok hang nak jadi apa?" ibu menokok dengan mata terjegil bagai meminta agar kami diam, jangan protes!

Kak Asmah mungkin lupa, aku sudah lama melihat gigihnya dia mengorek lubang atas tanah setelah kampung dilanda banjir, merancang regu antara kami dan berani melintasi hutan getah mengutip biji biji sewaktu pulang dan pergi sekolah demi keriangan adik adik.

Orangnya masih gigih. Tabah menggalas tugas sebagai ibu tunggal serta bijak menyusun hal hal keluarga.

"Hidup ni macam main jongkok la Nab... hang cekap pusing, pandai conggak dalam kepala jalanlah hidup... kadang kadang kena cepat meraih peluang... tikam jangan tak tikam...," pernah dia menasihatkan aku ketika Abang Zam berubah hati dulu...

************

KEKASIH

Perempuan cantik seperti aku mestilah ramai jejaka mahu mengendeng. Sudahlah cantik, terpelajar pula.

Taslim satu satunya jejaka yang aku suka di kolej. Dalam ramai ramai dialah yang memiliki kualiti yang aku impikan dari seorang teman, kekasih, suami dan pernah aku berkhayalan mahukan anak darinya.

Taslim tampan, garang dan tangkas bermain rugby. Ramai perempuan gila padanya. Biasiswa Taslim ditanggung oleh kelab sukan ibu kota. Setelah masuk 4 tahun kami bersama, tidak ada mana mana lelaki yang berani mendekatiku. Di tahun akhir, aku kira semoden mana kami sekalipun aku harus dibawa menemui keluarganya. Sebenarnya sejak tahun pertama bila merasa intim sudah aku khabarkan padanya tentang hajat yang satu itu, tetapi sering ditolak. Aku terlalu cintakan dia sehingga berura ura memujuk ayah agar jangan dimahalkan sangat mahar pernikahan nanti.

Merajuk besar, setelah permohonan yang ke 10 masih ditolak. Aku kira Taslim hanya bermain selamat. Menggunakan aku sebagai patung pujian selama ini.

"Susah sangatkah nak bawa I jumpa famili you? Kenapa? You selama ni main mainkah?"

"Bukan, bukan my dear... famili I susah sikit,"

"Susah apanya? Mereka dah ada pompuan untuk you?"

Begitulah saban kali aku marah dan merajuk, marah dan merajuk lagi.

Taslim tidak mampu lagi menanggung tekanan tersebut agaknya.

Akhirnya dibawa juga pulang ke kampung halamannya di Negeri Sembilan. Dari kota kami bertolak ke stesen keretapi Seremban dan akhirnya menuju ke kawasan yang terasa sangat jauh. Tertidur aku jadinya dalam kereta proton buruk yang di sewa. (aku bayar semua termasuk deposit)

Aman, hijau dan sepi bila kami sampai di pekarangan kampung yang pasti akan disukai oleh pencinta alam. Bunyi cangkerik bersahutan walau di siang hari. Rumah kayu dua tingkat keluarganya tidaklah seburuk mana, mungkin dibina oleh ayahnya yang sering diceritakan padaku sebagai sang Tukang Kayu. Rumahnya kukuh dan cantik.

CERITA CERITIWhere stories live. Discover now