BAB 2

2.6K 28 0
                                    

SAKIT hati Sarrafia melihat gadis kurang ajar itu berbicara dengan Bonda Ummi. Dia ingat dia bagus sangat. Terima sahajalah kenyataan. Dia ke sini walaupun atas desakan keluarga, tapi tidak patutlah dia memaki hamun Bonda Ummi.

"Kalaulah kau tak bina tempat macam ni, aku tak payah datang sinilah!" katanya lagi.

"Tempat macam ni baik tau untuk semua orang macam kamu ni. Sekurang-kurangnya, tak adalah lagi orang buang bayi," kata Bonda Ummi. Masih lembut suaranya.

"Eii... Aku sakit hati betul bercakap dengan orang tua bodoh macam kau ni. Aku nak keluar, kekasih aku tunggu kat luar. Kami dah janji tak nak berpisah!" jeritnya lagi.

Apa punya bodoh budak perempuan ni. Orang nak tolong dia, dia cakap orang bodoh pulak.

"Ha... Kalau Bonda Ummi bodoh, kau lagilah bodoh sebab memboyot macam ni. Ada bapa budak ni, tapi tak halal. Kau yang terlebih bodoh. Kami cuma nak tolong supaya kau boleh teruskan kehidupan selepas ini. Dan juga sekuarang-kurangnya tak adalah kes buang bayi lagi."

Sarrafia tidak dapat lagi membendung rasa marahnya.

"Suka hati akulah nak buat macam mana pun!"

Gadis itu masih dengan lagaknya. Memang tak sedar diri sungguh. Dia menjeling Sarrafia.

"Sekurang-kurangnya, keluarga kau masih terima kau lagi. Kau ingat jantan yang buntingkan kau nak sangat kat kau? Dia tu nak kau layan dia aje. Apa punya bodoh perempuan macam kau ni!"

Sarrafia melampiaskan lagi rasa sakit hatinya kerana budak perempuan ini menggelar Bonda Ummi bodoh.

"Sarra," tegur Bonda Ummi.

Ya, dia memang tidak boleh mendengar jika ada yang berkasar dengan Bonda Ummi. Walaupun dia tahu pendekatan Bonda Ummi berbeza, tapi dia sakit hati mendengar budak perempuan itu memanggil Bonda Ummi dengan panggilan orang tua bodoh.

Sarrafia segera berlalu. Dia tahu Bonda Ummi mahu menguruskan sendiri hal itu. Sarrafia menghempaskan punggungnya ke kerusi di mejanya.

"Alah... Kalau hempas kuat mana pun sakit hati tu bukan nak hilang. Punggung tu aje yang sakit," tegur satu suara lembut di belakangnya.

"Eh! Bila Noh balik dari tanah besar?"

Sarrafia terkejut dengan teguran lelaki yang sudah seminggu berada di Perlis itu. Lelaki kacak itu tersenyum memandangnya. Lelaki yang banyak memberi nasihat kepada penghuni yang tinggal di sini.

"Sempat juga dengar Sarra marahkan budak tu. Tak baik marah-marah ni. Nanti cepat kedut," ulas Noh.

Dia senyum dengan usikannya sendiri. Sarrafia ketawa dengan ulasan itu.

"Kedut pun tak apa. Bukan rugi pun," balas Sarrafia.

"Ya kan, sebab ada yang sudi juga kalau Sarra dah berkedut pun," ujar Noh lagi.

"Ha... Nak mula dah tu. No, no, no." Sarrafia mengawang-gawangkan jari telunjuknya.

Noh senyum manis kepada Sarrafia. Dua tahun Sarrafia di sini, dia sudah terlalu rapat dengannya. Malah, mengundang rasa cinta yang mendalam untuk Sarrafia.

Pada awal kedatangannya ke sini, Sarrafia nampak macam gadis berlagak. Dia memakai tudung singkat. Sekarang, tudungnya itu sudah melitupi dadanya dan boleh dikatakan nak melihat auratnya yang lain tiada kesempatan langsung, kecuali tapak tangan dan mukanya sahaja.

"Baby minggu lepas macam mana?" tanya Noh setelah dia duduk di tempatnya selang dua tempat dengan tempat Sarrafia.

Tangannya sibuk membuka fail yang ada di atas mejanya.

"Okey aje. Mulanya Qasya sedih juga, tapi setelah dipujuk, dia lepaskan juga baby dia. Dia masih muda, kan. Hmm... Sayang betullah. Kalaulah dia bukan bawah umur, nak saja Sarra suruh dia bawa balik aje baby tu," ujar Sarrafia.

"Yalah... Itu yang betul-betul sayangkan anak sendiri. Tengok macam yang dua bulan lepas tu, habis beranak, terus nak keluar wad. Tak gila ke tu?" kata Noh, teringat penghuni yang terus lari keluar hospital.

Sarrafia menggelengkan kepalanya. Dua tahun di sini sudah macam-macam yang dilaluinya. Segala-galanya mematangkan dirinya. Perangai-perangai manusia yang berada di dalam pusat ini yang mematangkannya.

"Amboi! Sakan sembang. Apa yang best ni? Apa yang Kak Da terlepas?" tanya Hirda.

"Adik kesayangan Kak Da ni bambu budak dalam bilik Bonda Ummi tu," ujar Noh sambil memuncungkan mulutnya ke arah bilik itu.

Hirda tahu ada lagilah tu masalahnya. Nak kata pun tak kena. Dah rutinnya memang macam itu. Ada yang okey sahaja ketika masuk ke sini, ada yang naik hantu pun ada. Macam yang ada di dalam bilik Bonda Ummilah.

"Tadi, Ayah Min cakap nak datang. Tak sampai lagi ke?" tanya Hirda.

"Entahlah. Ayah Min kan kalau datang dia bukannya nak masuk sini dulu. Jalan-jalan kat pantai dulu," kata Sarrafia, merujuk kepada founder pusat jagaan yang diberi nama Rumah Azirah ini.

Hirda jongket bahu. Selalunya Ayah Min kalau kata dah nak sampai tu, cepat sahaja sampainya. Mungkin ada benarnya kata-kata Sarrafia. Dia meneruskan rutinnya jika dia sampai ke sini.

Mata mereka bertiga terarah ke bilik Bonda Ummi apabila dia keluar bersama dengan gadis kurang ajar tadi.

Diam pula gadis itu. Bonda Ummi bagi apa agaknya menyebabkan gadis itu diam terus. Kalau dah expert tu, memang terbaiklah. Bonda Ummi memang terbaik dengan nasihat-nasihatnya itu.

"Sarra, bawa dia ke bilik. Noh, tolong bawa beg dia," arah Bonda Ummi kepada mereka berdua.

Sarrafia dan Noh segera menghampiri gadis itu.

"Bonda, budak berdua ni memang makan saman ikut cakap bonda," usik Hirda.

Sarrafia menjeling Hirda. Ada pasal nak mengenenkan dia dengan Noh lagilah tu. Tak faham-faham lagikah Hirda ni?

Noh hanya sengih sahaja dengan pertolongan Hirda itu. Dia tahu Hirda selalu menolong dirinya supaya dekat dengan Sarrafia. Tetapi, cukup payah untuk menembusi hati Sarrafia. Tembok apa yang dia guna, Noh tidak tahu.

Sarrafia tahu apa yang bergolak dalam hati Noh. Namun, tak pernah runtuh tembok yang Sarrafia bina itu. Kukuh sungguh tembok hatinya. Sedangkan Tembok Berlin pun boleh runtuh.

"Kak, saya nak minta maaf sebab kurang ajar tadi." Perempuan itu tiba-tiba memohon maaf.

Pandai pula nak minta maaf. Tadi bukan main sedap lagi menyumpah.

"Tak apa."

Jauh dalam dasar hati, Sarrafia tidak menerima ucapan maaf itu. Dia mencebik. Hatinya masih lagi sakit.

"Tak baik tau hipokrit," tegur Noh sambil tersenyum memandang Sarrafia.

"Saya minta maaf, Ustaz Noh. Hamba sahaya ni bukan sempurna," kata Sarrafia sambil tergelak.

Noh menggelengkan kepalanya. Mana dia tidak jatuh cinta dengan Sarrafia. Semuanya tentang Sarrafia amat menarik pada matanya. Wajah itu mungkin salah satu faktor. Nak-nak pula dia hantu Hindustan. Muka Sarrafia pula iras-iras pelakon Hindi. Memang kenalah dengan cita rasanya itu.

"Sarra, awak mesti terus begini, ya. Gembira setiap hari," kata Noh.

"Awak mimpi ke Noh nak saya gembira setiap hari?" kata Sarrafia sambal tergelak.

"Taklah, saya suka tengok awak gembira, Sarra," ujar Noh.

Sarrafia membalaspandangan Noh kepadanya dengan senyuman manis.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now