BAB 9

1.3K 13 0
                                    

"KAMU betul-betul ke nak tinggal di sini, Iz?" tanya ayahnya, tidak percaya dengan keputusan Adriz sebenarnya.

Tiada angin tiada ribut, Adriz mahu tinggal di sini.

"Betullah, ayah. Kesian pula Haqif dengan ayah kena berulang-alik. Sudah sampai masanya Iz bertanggungjawab. Ayah pun dah lama mahu Iz ke sini, kan?" balas Adriz.

"Kalau macam tu, senang hati ayah. Haqif pun tak perlu bersusah payah ke sini lagi," katanya tersenyum.

Sepatutnya sudah lama Adriz mengambil keputusan berada di sini. Dia datang ke sini hanya untuk menenangkan hati. Namun, bila difikirkan semula, dia memang perlu ke sini lagi.

Kasihan melihat ayahnya itu berulang-alik dari Kuala Lumpur. Terpaksa menguruskan hotel dan juga Rumah Azirah. Sudahlah kudratnya bukan kuat lagi.

Apalah salahnya dia berkorban. Biarlah dia pula yang bersusah payah.

Adriz hanya mengikut kakinya sahaja pada tengah hari itu. Berehat lagi sehari sebelum memulakan kerjanya sebagai Pengarah di Hotel Azya. Sesekali kakinya menyepak kulit-kulit kerang yang berada di hujung kakinya.

Dia berhenti di pohon ru yang besar itu. Ralit dia memandang gadis yang sedang mendongak ke atas. Apa yang ada di atas pokok ru itu pun dia tidak tahu. Mungkinkah gadis yang sama yang dia lihat ketika kali pertama tiba di sini?

Dia mendekat ingin melihat apa yang dipandang oleh perempuan itu. Krakk! Dahan kecil pokok ru dipijaknya.

Sarrafia pantas menoleh. Matanya berpadu dengan mata lelaki yang semakin hari semakin kerap berada di depan matanya.

"Awak!" Mereka berdua menjerit serentak.

"Saya ingat perempuan manalah. Rugi pula mahu sekodeng," kata Adriz ketawa.

"Saya suruh awak sekodeng saya ke?" balas Sarrafia agak kasar.

Macamlah dia perempuan tak laku. Kacau saja orang nak lihat bintang siang hari.

"Dulu awak kat sini juga kan. Apalah yang ada kat atas pokok ru tu?" kata Adriz terus memandang ke atas.

Ada cahaya kecil di celah-celah daun ru itu. Tidak lama dia mendongak, kepalanya sudah pusing.

"Tempat ni tak ada pula tulis reserved. Jadi, sesiapa saja boleh duduk kat sini. Kenapa? Salah ke kalau saya duduk kat sini?" tanya Sarrafia sinis.

"Lagipun ni tempat awam. Tanah ayah awak tu tak termasuk sekali dengan pantai ni," sambungnya lagi.

Sarrafia bangun. Malas dia hendak bertekak dengan Adriz. Adriz yang semakin peramah dengannya. Dulu, nak dengar suaranya macam apa. Kena tanya baru nak bersuara. Apa yang dia tahu hanya bagi arahan sahaja.

Adriz membuntuti Sarrafia yang berjalan laju, sengaja meninggalkannya jauh di belakang. Pintu belakang Rumah Azirah ditarik kasar. Ditutup kembali betul-betul di depan wajah Adriz.

Main kasar nampaknya si perempuan ini, desis hatinya sambil membuka perlahan pintu itu.

"Eh, dari mana awak berdua ni?" tanya Hirda apabila terlihat mereka berdua di pintu belakang Rumah Azirah.

"Sarra dari tempat biasalah," jawab Sarrafia selamba.

"Iz?" tanya Hirda sambil terangkat keningnya.

"Saya dari rumah, Kak Da," jawabnya.

Adriz senyum kepada Hirda. Dia berlalu ke dalam bilik Bonda Ummi.

Pelik, desis hati Hirda. Bagai ada rahsia antara kedua-duanya. Namun, Hirda tidak mahu memikirkannya. Itu hal mereka berdua.

Cukuplah dengan masalah yang penghuni di sini lakukan. Kadang-kadang bila memikirkan kesalahan yang mereka lakukan, hati jadi geram kerana sanggupnya seorang perempuan dengan mudahnya menggadaikan maruahnya demi keseronokan bersama teman lelaki. Sedih kerana banyak bangsa Melayu yang jadi begitu.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now