BAB 5

2K 22 1
                                    

ENCIK RAHIMIN memandang Adriz yang sedang berehat di depan kolam renang.

Sejak sedar daripada koma setahun yang lalu, Adriz tidak lagi mengingati kehidupan lamanya. Tidak ingat siapakah orang-orang yang berada di sisinya. Tidak ingat juga kepada Ufaira yang menjadi tunangannya.

Sebab itulah Adriz mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya. Alasannya sungguh mudah. Adriz tidak kenal siapakah Ufaira. Dan Adriz tidak mahu Ufaira terluka.

Sekembalinya dari Langkawi, itu berita pertama yang diterimanya daripada Mak Seri. Adriz putus tunang dengan Ufaira. Terkejut juga dia. Tetapi, apabila melihat Adriz yang nampak tidak terusik dengan apa yang berlaku, dia tenangkan hatinya.

Adriz berubah 360 darjah dengan kehidupan lamanya. Sebelum ini Adriz terlalu liar. Hidupnya hanya tahu berseronok. Mabuk dan perempuan itu sudah tentu. Sehinggalah dia bertemu dengan Ufaira. Adriz berubah menjadi lelaki yang baik.

"Iz okey ke hari ni?" tanya Encik Rahimin, memandang anaknya itu.

Adriz menoleh kepada ayahnya. Dia senyum.

"Hmm, ayah ni, Iz okeylah. Terima kasih kepada ayah dan juga Mak Seri sebab banyak tolong Iz. Iz tak kisah pun jika Iz tak ingat apa yang berlaku dengan hidup Iz sebelum ini," ujarnya sambil mengukir senyuman.

"Tapi, kenapalah tak boleh bersama Ufaira? Ayah rasa sayang sungguh," keluh Encik Rahimin.

"Dah tak ada jodoh. Iz tak mahu dia terluka di kemudian hari," kata Adriz.

Encik Rahimin tergelak. Cadangnya memang dia mahu menjerat Adriz supaya memberitahu punca perpisahan mereka. Namun, Adriz cepat saja tahu. Rasa macam tidak logik apabila alasan Adriz hanyalah dia tidak ingat siapakah Ufaira.

"Esok ayah nak balik Langkawi sekejap. Jom ikut ayah ke sana. Lagipun, boleh juga Iz tenangkan diri di sana. Memang seronok tau. Sekali sampai ke sana, berkali-kali lagi akan pergi," ajak Encik Rahimin, memandang Adriz.

"Kerja kat sini?" tanya Adriz.

"Abang Qif kan ada. Biarlah dia buat kerja kali ni. Lagipun Iz tak pernah tengok hotel kita kat sana lagi kan," balas Encik Rahimin.

"Kalau ayah dah mengharap sangat, Iz pergilah. Iz minta maaf sebab sebelum ini Iz tak pernah nak ikut ayah balik ke sana," kata Adriz.

Encik Rahimin senyum lagi. Berjaya juga dia membawa Adriz melihat hotel dan juga pusat itu kali ini. Mahu juga Adriz tahu apa yang ada di Langkawi.

Adriz jongket bahu. Betul juga kata ayahnya itu. Boleh juga dia merehatkan dirinya. Serabut dengan kisah pertunangan yang putus, kerana orang asyik bertanyakan puncanya. Kasihan dengan Ufaira, tetapi dia tidak mahu kerana cinta untuk Ufaira tiada selepas dia sedar daripada koma.

Mungkin, jika kali ini dia mengikut ayahnya ke Pulau Langkawi, dia boleh berehat. Kisah pertunangan yang putus itu telah lama berakhir. Tiada apa yang dapat dia lakukan apabila setiap kali bertemu dengan Ufaira, dia merasa terbeban.


"KITA cari semula memori itu, Iz," kata Ufaira.

Dia memandang Adriz yang nampak tidak terluka apabila mengatakan keputusannya itu.

"Saya minta maaf. Memang saya tak ingat langsung siapakah awak," kata Adriz sambil bangun dari tempat yang didudukinya itu.

"Ira sanggup tunggu selama mana pun. Ira tak boleh kehilangan Iz," kata Ufaira lagi.

Jika halal, sudah tentu dia akan memegang dan memeluk Adriz sekarang. Dia tidak sanggup kehilangan lelaki yang amat dicintainya itu.

"Saya tak mampu lagi. Jika terus mencuba dan tak dapat mencari memori itu semula, bukankah kita yang akan terluka?" kata Adriz.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now