BAB 4

2.1K 20 1
                                    

SARRAFIA memaku pandangannya kepada ranting pokok ru yang meliuk-lentok dipukul angin pantai. Ketika itu juga cahaya matahari yang menembusi melalui daun-daun kecil bercampur dengan angin itulah yang membuahkan bintang siang harinya. Kerlipan cahaya itu memang serupa bintang.

Bukan setakat pokok ru sahaja, malah pokok lain pun kalau duduk di bawahnya, bintang itulah yang akan kita nampak.

Sarrafia tenang walaupun kadang-kadang cahaya matahari itu membuatkan dia terpaksa mengecilkan matanya. Tetapi, itu menjadi satu kepuasan kepada dirinya.

"Hah! Sibuk buat apa? Hairan saya dengan awak ni. Asal tengah hari atau petang aje, ada kat sini," tegur Noh.

Dia berada selang dua pokok ru. Begitulah Noh jika hanya mereka berdua.

"Sibuklah. Awak dari mana ni?" tanya Sarrafia, malas menjawab soalan Noh.

Sarrafia pandang Noh yang memakai jubah putih itu.

"Dah lama saya balik dari masjid. Cari awak kat dalam pusat tak ada. Terlupa kalau tengah hari dan cuacanya elok, awak ada kat sini."

Noh senyum.

Sarrafia membalas senyuman Noh. Senang hatinya dengan hanya melihat senyuman Noh. Walau sebaik mana pun Noh, dia tidak layak untuk Noh.

"Awak tak lapar ke? Saya lapar ni. Jomlah kita makan," ajak Noh.

"Eh! Awak tunggu saya ke? Jangan, Noh. Nanti kebulur kalau awak tunggu saya," kata Sarrafia.

Dia mahu Noh faham apa yang ada di sebalik kata-katanya itu. Dia tidak mahu Noh menantinya kerana sampai bila-bila pun dia tidak akan membalas cinta Noh.

"Kebulur pun tak apa, Sarra. Jomlah," ajaknya, pura-pura tidak faham maksud kata-kata Sarrafia itu.

Noh berpaling dan mula melangkah.

Sarrafia berpaling dan memandang belakang Noh. Beruntunglah siapa yang menjadi pilihannya nanti. Dia membuntuti Noh dari jauh.

"Ha, budak berdua ni baru balik. Nak makanlah tu," tegur Hirda, tersengih.

"Dah sampai waktu makan, kami nak makanlah. Kak Da ni macam tak faham pula," kata Sarrafia terus menghilang ke dalam bilik makan.

Noh jongket bahu seraya mengukir senyuman untuk Hirda. Dia membuntuti Sarrafia.

Sarrafia bersyukur kerana setelah dibuang mamanya, dia masih lagi ada tempat untuk bergantung. Rindu kepada mamanya membuatkan dia berhenti menyuap nasi. Dia menguis-uis perlahan nasi di dalam pinggannya.

"Tak baik main kuis nasi macam ayam, Sarra," tegur Noh.

Sarrafia mendongak. Dia sengih, lantas kembali menyuap nasi ke dalam mulutnya. Kerinduan kepada mamanya terus hilang begitu sahaja.


HIRDA memerhatikan mereka berdua di sebalik dinding yang memisahkan dewan makan dan juga tempat berehat penghuni-penghuni di sini.

Noh memang sudah terang-terangan sukakan Sarrafia, tetapi dia tahu Sarrafia tidak begitu. Itu Sarrafia yang Hirda kenal sejak dahulu, yang tidak pernah dekat dengan mana-mana lelaki. Hanya tahu bergembira sahaja dulu. Puas dia menegur tentang tabiat Sarrafia yang suka mengunjungi kelab malam, tetapi Sarrafia tidak mendengar nasihatnya.

Dia sayangkan Sarrafia bagaikan adik sendiri, tetapi apabila Sarrafia kata dia tahu menjaga dirinya sendiri, dia biarkan. Hinggalah pada suatu hari selepas dia sudah habis belajar, Sarrafia mahu datang melawat.

Hirda juga sudah puas mengorek kenapa Sarrafia tiba-tiba tidak mahu menyudahkan pengajiannya. Gadis itu juga tidak pernah pulang ke rumah mamanya selama dia di sini.

SETELAH KUDIMILIKIWhere stories live. Discover now