+1

351 49 18
                                    

Aku letakkan sehelai kertas yang baru aku terima pagi tadi ke atas meja. Nafas berat aku helakan. Keadaan aku seolah terletak di tengah. Borang penderma hati itu aku tatap lama. Sama ada untuk meneruskan pembedahan ini atau tidak.

Tangan menyentuh dada perlahan. Mata aku pejam rapat.

Hati ini satu-satunya kenangan yang aku ada. Dengan hati ni aku teruskan hidup. Aku kuat kerana 'dia' mahu aku berjanji untuk terus hidup. 'Dia' yang namanya terpahat dalam hati aku hingga sekarang.

❤❤❤

2013

"Hei."

"Hm?"

"Kau boleh janji dengan aku, kan?" Mata bulat gadis kecil itu bersinar menatap temannya yang sedang leka melukis.

Dahi budak lelaki yang sedang duduk di atas kerusi itu berkerut. "Janji apa? A-aku tak ada duitlah, perempuan." Bagai dapat mengagak apa yang gadis itu akan minta.

"Ei bukan tulah! Kau ingat aku ni hadap ke duit kau?"

"Dah tu?"

"Janji, kawan dengan aku sampai bila-bila."

Diam. Lama lelaki itu diam sebelum kembali fokus dengan lukisannya.

❤❤❤

2018

Padang riuh dengan bunyi sorakan pelajar. Dahi Lillyn berkerut kecil. Leher cuba dipanjangkan untuk mengintai. Perlawanan bola sepak.

Matanya terpaku ke arah seseorang. Seseorang yang sedang tersenyum meraikan kemenangan pasukannya. Tanpa sedar senyum nipis terukir di bibir sendiri.

Untuk melihat senyuman itu sekali lagi, dia hanya mampu pandang dari jauh.

"Weh, yang ni macam mana? Aku tak faham."

Pandangan masih terlekat kukuh di tengah padang.

Bunyi pensel diketuk kuat ke atas meja menyedarkan Lillyn. Laju dia menoleh ke arah rakannya yang dari tadi bercakap sendiri.

"Hah?"

Mata Alia menyorot ke arah imej yang berjaya mencuri perhatian rakannya. Sekejap kemudian dia tersenyum.

"Perhati je?" Soalnya sarkastik.

"Itu je aku mampu buat..." Balasnya perlahan. Mata kembali difokuskan ke buku latihan. Alia menggeleng perlahan. Dia alihkan pandangan ke tengah padang, tempat Lillyn mengelamun tadi.

Senyum penuh makna terukir apabila terpandangkan satu susuk yang jelas sedang memandang ke arah mereka berdua.

Atau lebih tepat, ke arah gadis di sebelahnya ini.

❤❤❤

Malam yang suram seperti malam-malam sebelumnya. Buku nota sains ditutup kasar. Pen diketuk-ketuk ke meja.

Secara tiba-tiba mata menangkap sehelai kertas. Nombor... Nombor siapa ni?

Kita kawan? Syh ni nombor mak aku, jangan kasar sangat.

Senyum nipis terhasil di bibir nipisnya. Macam manalah kertas ni boleh tersesat dekat bawah meja ni? Tarikh nota itu ditulis ditatap lama.

13/4/2013

Empat tahun sudah berlalu dan kertas ini masih tersimpan rapi tanpa sedikit pun kecacatan.

Lillyn terbatuk. Tersenyum lagi. Teragak-agak, dia capai telefon pintarnya sebelum mendail nombor tersebut. Baru butang 'call' hendak ditekan, jarinya terhenti.

Kau nak cakap apa, Lillyn?

Bibir diketap kejap sebelum tangannya meletakkan telefonnya ke tepi. Niatnya termati, sama seperti tiga tahun lepas. Surat tawaran yang diletakkan bersebelahan alat tulis dicapai perlahan. Senyuman cuba diukir.

Puan Aisyah mengeluh. Puas dia memujuk anak perempuannya. Keputusan gadis itu tetap sama.
"Janganlah macam ni, kakak... Umi tak nak kakak pergi jauh."

Lillyn diam membeku. Itu saja pilihan yang ada. Dia tak nak terus berharap. Dan untuk itu dia perlu mengorbankan apa yang paling dia sayang.

"Umi, kakak mintak maaf tapi, kali ni kakak betul-betul tak boleh ikut cakap Umi. Kakak ada cita-cita kakak sendiri. Tolong faham kakak, umi." Separuh merayu dia menjadikan Puan Aisyah tak sampai hati.

"Siapa nak jaga kakak dekat sana nanti?"

"Kakak dah besar. Dekat sana nanti kakak dah enam belas tahun dah pun. Umi jangan risau, okey?"

Sejujurnya dia terasa bersalah kerana menipu. Tercariknya perasaan apabila terpaksa menipu orang yang kita sayang.

Sedangkan, orang yang kau sayang pun tipu kau, Lillyn. Tipu dengan janji yang dia akan selalu ada dengan kau.

❤❤❤

Suasana malam itu cukup sunyi. Luth mendongak memandang langit.

Tiba-tiba dia meraup wajah kasar. Senyum bertandang dua saat ketika mindanya sempat mengingati orang sana.

Terasa kemenangan bola sepaknya tadi lebih bermakna dengan hadirnya 'dia'. Senyum lagi. Untuk gadis itu dia mampu palsukan senyuman tapi kerana gadis itu, dia dapat ukirkan senyuman paling ikhlas.

Maaf.

Tiga tahun dia menyimpan kata itu. Walaupun dia tahu itu tak akan dapat mengubah apa-apa.

Tapi dia betul-betul menyesal.

Perbualan dengan papanya tadi mengasak minda. Dia menyandarkan badan. Dia patut berhenti berharap. Dan biarkan 'dia' cari yang lebih baik.

yang hilang | ✓Where stories live. Discover now