Bab 8

1.8K 291 115
                                    

You're the best gift from the God.

Noah berjalan ke arah kaunter setelah meletakkan Aaron di wadnya semula. Ryan dan beberapa jururawat lain sibuk memeriksa keadaan Aaron di dalam wad yang menempatkan 4 katil pesakit itu.

Bahunya yang terasa sengal itu menyebabkan dia meregangkan bahunya. Tangan kiri diletak di atas bahu sebelum dia meregangkan urat bahunya mengikut ilmu yang telah dia pelajari. Saat itu, matanya jatuh ke arah figura Vanessa yang sedang duduk di kerusi bersebelahan kaunter sambil mengurut tangannya sendiri itu.

 Pasti tangan wanita itu kesakitan kerana memegang tubuh seorang remaja lelaki daripada terjatuh bangunan sebentar tadi. Sedangkan dia yang menariknya saja pun sudah mengalami sengal-sengal, apatah lagi Vanessa yang terpaksa menahan lama tubuh remaja itu tadi.

Lantas, dia bergerak ke arah kaunter.

"Boleh berikan saya kain kasa dengan ubat luka?" soal Noah kepada Anne yang berada di kaunter itu.

"Doktor nak buat apa? Nak rawat luka Doktor Vanessa ke?" soal Anne sebelum tersengih. Noah tersenyum kecil saja.

"Boleh berikan saya kain kasa dengan ubat luka?" Noah kembali menyoal soalan tadi. Riak wajah Anne berubah sedikit dan dia tersenyum segaris. Mungkin dia sedar bahawa Noah tidak berminat hendak berbual panjang dengannya.

Lantas, Anne mendekati rak yang menempatkan beberapa alatan kecemasan di belakang kaunter. Dia kembali bersama sekotak first aid kit.

"Semua yang awak perlukan ada dalam ini," ujar Anne dan Noah mengucapkan terima kasih. Kemudian, dia mendekati Vanessa dan melabuhkan punggung di kerusi kosong bersebelahan wanita itu. Ada sebuah kerusi kosong di antara mereka berdua.

"Awak nak buat apa?" soal Vanessa apabila Noah membuka kotak first aid kit di sebelahnya. Botol kecil berisi antibiotik dikeluarkan dan dihulurkan kepada Vanessa.

"Bersihkan luka awak itu," ujar Noah dan Vanessa memandang tapak tangannya. Darahnya masih mengalir walaupun tidak banyak. Kemudian, Noah meletakkan kotak kecemasan itu di antara mereka berdua. Noah hanya memerhatikan saja Vanessa yang sedang membuka ikatan tuala di tangannya itu.

Namun, tidak berjaya.

"Biar saya bukakan," ujar Noah apabila Vanessa tidak berjaya membuka ikatan yang diikat ketat oleh Noah semasa di bumbung tadi. Vanessa tidak berkata apa-apa dan hanya menghulurkan tangannya.

"Dah." Seketika kemudian, ikatan itu sudah terlerai.

"Terima kasih. Lain kali, jangan ikat ketat sangat," ujar Vanessa dan Noah tersenyum.

"Baik, doktor," balas Noah sambil tersenyum kecil. Setelah tuala kecil itu dibuka, luka kecil pada tapak tangan itu sudah berhenti berdarah. Kemudian, Vanessa menyapu luka itu dengan antibiotik.

"Awak nampak dah biasa balut luka sendiri," ujar Noah apabila melihat Vanessa sudah hampir selesai membalut luka tangannya. Namun, kebisuan menjadi respon wanita itu dan reaksi tersebut telah membuatkan Noah tertawa kecil.

Noah sendiri tak tahu kenapa dia tergelak.

"Awak memang orang yang berpegang pada prinsip diri sendiri. Awak tak akan bersuara kalau orang tak tanya," ujar Noah lagi dan saat itu, Vanessa sudah selesai memakaikan plaster pada luka tangannya.

"Berkata benar atau diam. Saya tak suka buang masa bercakap benda yang tak perlu atau tak bermanfaat," ujar Vanessa selepas itu dan menyimpan semula antiobiotik serta ubat luka ke dalam kotak kecemasan.

"Tapi, apa yang saya cakap tadi tu benar," balas Noah selepas itu.

"Nak tahu sesuatu tak?" soal Vanessa dan Noah mengangkat keningnya.

NOAH VANESSA (Terbit)Where stories live. Discover now