C1〡Under The Wings ⌞₇

22 8 0
                                    

_______________________________________

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

_______________________________________

Sebilah pedang besi menghiris tajam setiap patung kayu yang berada di situ. Meskipun tidak mahir seperti pahlawan sebenar, kemahiran asasnya dalam mengendalikan senjata itu tidak kurang hebat. Bahkan, sudah lama dia mengimpikan untuk berlawan menggunakan senjata tersebut.

Ketika dia kecil dahulu, sememangnya bermain pedang adalah salah satu permainan untuk dia dan Luca apabila Raja Alanark ada urusan di luar. Kali ini, tiba masanya untuk dia mengendalikan senjata itu dengan lebih baik.

Sepuluh minit dia memanaskan badan, bunyi kuakan pintu kayu akhirnya kedengaran jua. Setiap derapan langkah yang dibuat dipantulkan bunyinya di dalam bilik kosong yang luas itu.

     "Selamat pagi, Cik Olivia," putera itu menyapa mesra. Olivia menunduk seraya membalas sapaan itu. Gadis itu memerhati setiap sudut bilik rahsia yang tidak pernah diketahui sesiapa.

Berdindingkan konkrit, tidak mempunyai peralatan kecuali alatan asas pertarungan, tiada tingkap namun tidak berhabuk. Lantai simen bersih dan tiada bau hapak memenuhi ruang bilik yang luas tersebut.

     "Cik Olivia dah sedia ke?" Teguran Theo menghentikan renungan si gadis. Kepalanya diangguk beberapa kali lalu menghunus pedang kayu.

"Patik galakkan tuanku untuk bertarung menggunakan pedang kayu kerana ini sekadar latihan. Dan tuanku juga boleh panggil patik, Olivia."

Theo menurut arahan. Pedang besi disimpan semula, digantikan dengan pedang kayu yang tersedia di situ. Posisi bersedia diambil untuk bertarung dengan gadis yang terkenal di dalam kalangan tentera itu.

Tatkala suasana menjadi sunyi, Olivia meluru laju ke arah Sang Putera. Tanpa belas kasihan, dia menetak padu pedang kayu Theo. Kelajuannya umpama dia sedang berlawan di arena pertarungan.

Theo terkial-kial menghalang setiap serangan gadis berambut perang. Setiap kali dia cuba mencari peluang, Olivia akan lebih pantas membatalkan serangannya bagaikan setiap gerak langkah Sang Putera sudah diketahui.

     "Kenapa tuanku nak sangat berjumpa Luca di sana? Bukankah lebih baik kalau tuanku tunggu sahaja di istana?" Olivia menyoal lantang tanpa memperlahankan serangannya.

Theo mendecit. Satu lagi serangan Olivia dibatalkan dan dia lekas melompat ke belakang. Dadanya naik turun laju mengambil nafas. Tapak tangan bertukar merah akibat segala serangan Olivia.

     "Lima tahun Theo tunggu. Andai kata Luca takkan kembali ke sini, apa yang akan Olivia jawabkan untuk Theo?" Theo membalas dingin. Peluh di dahi dilap kasar.

Olivia terdiam. Dia tidak tahu hendak membalas apa. Dirinya masih belum tahu tentang kemahiran Luca sepenuhnya untuk dia jelaskan pada putera itu dan sekaligus menenangkannya. Jikalau tersilap kata, putera itu mungkin akan membuat pilihan yang lebih teruk.

     "Kalau betullah tuanku hendak lindungi Luca, tuanku patut tahu kewujudan tuanku di medan perang nanti mungkin akan membebankan dia," balas Olivia tenang walaupun hatinya gundah-gulana.

"Sebab tu Olivia latih Theo. Theo takkan benarkan Luca lindungi Theo. Di sana nanti, biar Theo yang lindungi dia."

Olivia tutup mulut. Dia memulakan serangan sekali lagi namun kali ini lebih perlahan demi memberi peluang kepada putera itu untuk menunjukkan kemahiran yang dimiliki.

Sang Putera cuba mengambil setiap peluang yang ada. Di kala dia hampir berjaya menyerang di bahagian kepala gadis itu, Olivia menendang kakinya lantas menyiku perut Theo.

Theo terjatuh ke lantai. Perutnya yang terasa senak dipegang kuat. Baru sahaja dia ingin mengangkat kepala, hujung pedang kayu Olivia diletakkan di lehernya.

"Tuanku masih banyak kelemahan."

Putera itu tertunduk. Dia memperbetulkan posisi duduk bersimpuh. Belakang tengkuk digosok bagi menghilangkan rasa malu.

     "Bagi patik, tuanku takkan sempat mencapai tahap untuk menyertai medan peperangan dalam masa sebulan sekalipun. Malah, untuk capai tahap Luca dalam masa seminggu juga tuanku takkan mampu," ulas Olivia tegas. Pedang kayu disimpan semula di dalam sarungnya yang tersisip di pinggang.

Theo diam. Dia tiada jawapan. Hatinya masih keras untuk menukar pilihan yang sudah dibuat. Demi Luca, dia sanggup untuk berbuat apa sahaja.

"Louis kata, Luca akan masuk kem ketenteraan hujung minggu ni dan kem tu akan berlangsung selama sebulan. Patik tahu tuanku takkan masuk ke situ untuk elak daripada pengetahuan Tuanku Alanark. Tetapi dengan kemahiran asas tuanku sekarang, sekurang-kurangnya setahun tuanku perlu berlatih untuk capai tahap masuk ke kem ketenteraan. Maka, lebih mustahil untuk tuanku sertai medan perang."

     "Theo sanggup kalau Olivia nak latih Theo seteruk mana pun. Asalkan, Theo dapat lindungi Luca," jawab putera itu perlahan.

Olivia tepuk dahi. Keluhan berat terbit daripada bibirnya. Dia duduk bertinggung untuk memandang Theo dengan lebih jelas dan dekat.

     "Tuanku kena tahu, ada perkara yang kita tak boleh capai dalam masa yang terdekat. Untuk realisasikan harapan tuanku dalam masa kurang setahun, itu dikira mustahil. Tuanku tahukan negara jiran sudah memulakan rancangan untuk menyerang?" Lembut gadis itu berkata.

Dia tidak mahu perkara buruk terjadi kepada pewaris kerajaan itu atas kesilapan pilihan yang dibuat. Theo masih muda dan belum cukup matang untuk berfikir tentang akibat pilihannya terhadap kerajaan itu kelak.

"Luca boleh lindungi diri di medan peperangan nanti. Tuanku kena percayakan Luca."

     "Hurm.... Negara jiran kuat, Olivia." Gadis berambut perang menggaru kepala yang tidak gatal. Otaknya ligat memikirkan idea dan menyusun kata untuk membatalkan permintaan putera itu.

"Kalau begitu, patik akan latih tuanku semampu yang boleh. Tetapi, tuanku perlu kekal di istana. Andai kata ada sesuatu yang tak dijangka berlaku di istana, tuanku ada kemahiran pertarungan dan boleh lindungi pekerja yang lain. Kemahiran yang patik ajar ni, tuanku gunakan untuk lindungi istana. Sekurang-kurangnya, ada tambahan kekuatan untuk di kawasan istana. Di medan perang sana, tuanku serahkan sahaja pada tentera yang lain dan Luca. Mereka cukup hebat untuk bertarung. Tuanku kena percayakan mereka."

Theo mengangguk perlahan. Akibat perasaan kasih sayangnya terhadap sahabat sejati, perkara lain ditolak ke tepi. Sedar atau tak, dia perlu menerima hakikat bahawa dia lebih mementingkan hubungan persahabatan berbanding tugasnya sebagai pemerintah.

     "Baiklah. Theo akan ikut arahan Olivia. Tapi! Olivia mesti ajar Theo cara bertarung di medan perang. Sebab Theo sendiri tak pasti apa keputusan Theo nanti apabila berlakunya peperangan," tegas putera itu.

Olivia mengangguk laju. Dia berdiri semula apabila kaki mulai kebas. Theo turut bangkit daripada duduk. Dia menepuk-nepuk seluar yang sedikit berhabuk.

     "Sebelum kita sambung, Louis akan sampai sebentar lagi untuk minum pagi. Tuanku perlu jamah terlebih dahulu beserta ubat sebelum kita mulakan latihan," arah gadis itu. Theo akur. Demi latihan yang ditunggu-tunggu, dia akan menuruti arahan gurunya.

Meskipun keputusannya di masa hadapan kelak masih tidak menentu, dia tetap akan berusaha untuk lindungi diri, dan mungkin suatu hari nanti, kemahiran itulah yang akan dia gunakan untuk lindungi Luca walaupun bukan di medan perang.


TBC

UTOPIAWhere stories live. Discover now