Bab 1

41.4K 2.7K 660
                                    

                 “SUMPAH! Demi Allah, Mak Ton. Hawa tak ada niat langsung nak goda suami Mak Ton. Pak cik yang nak rogol, Hawa!" ujar Hawa, bersungguh. Demi maruahnya. Dia harus membela. Takkan nak menangkan sahaja Ayah Harun yang cuba membuat sesuatu kepada aku? Jangan dia ingat disebabkan aku terhutang budi dengan dia, aku akan berdiam diri seperti patung yang langsung tak ada perasaan.

Hawa memandang tubuh badan Zaiton yang membelakanginya. Pemandangan pantai yang berada di hadapan rumahnya lebih indah ditatap daripada dia memandang wajah Hawa. Rasa geram sahaja! Kekisi pada beranda rumah kampung itu digenggam kuat oleh Zaiton. Lagi bertambah rasa amarahnya apabila Hawa mula menuduh suaminya ingin merogol. Zaiton terus memusing ke belakang, memandang Hawa yang masih tercegat di situ.

"Hei, kau jangan nak tuduh suami aku bukan-bukan ek?! Aku kenal suami aku. Kalau kau tak goda dia, tak adanya dia nak menggatal dengan kau!" tengking Zaiton. Turun naik nafasnya kali ini. Ayah Harun yang duduk di ruang tamu hanya tersenyum menang mendengarnya. Dia tahu, Zaiton akan lebih percayakan suami daripada orang yang 'dikutip' itu. Habislah kau Hawa. Siapa suruh kau melawan cakap aku?

Hawa mengeluh kecil. Sebelah tangannya meraut wajah, cuba untuk bersabar. "Percayalah cakap Hawa, Mak Ton! Sedangkan tadi Mak Ton sendiri lihat yang suami Mak Ton yang terkam Hawa!"

PAP!

Tamparan kuat terus hinggap ke wajah Hawa. Membuatkan kepala Hawa sedikit terteleng ke kiri. Pipinya membahang rasa pedih. Zaiton menunding jari, hampir sahaja mengena pada batang hidung Hawa. Dia mengetap bibir.

"Engkau... cakap baik-baik sikit ek? Sebelum suami aku kutip kau, hidup aku dengan dia aman sahaja. Lepas sahaja dia bawa kau ke sini, satu demi satu benda jadi! Mentang-mentang suami aku kaya, kau cuba nak dia goda kau? Lepas tu apa? Kahwin dengan kau, huh?! Dan nanti kau boleh bolot semua harta dalam rumah ni? Dasar anak yatim tak sedar diri!" bentak Zaiton. Dia menujah muka Hawa.

"Kalau tak kerana mak bapak kau mati, tak adanya aku izinkan kau tinggal di sini! Ini sebab suami aku sahaja. Dia terlampau kesahkan kau, sampai sanggup bela kau. Tapi ini yang kau balas, huh?"

"Hawa tak pernah ada niat langsung nak rampas suami Mak Ton... tapi apa yang Hawa cakap ni memang betul, Mak Ton. Untuk apa Hawa tipu? Untuk apa?!"

"Untuk kau ambil semua harta dalam rumah ni lah, apa lagi?! Ish, sudahlah. Malas aku nak cakap dengan orang macam kau. Makin lama, makin sakit hati kau tahu tak? Sekarang ni lebih baik kau pergi masuk bilik sebelum aku makin naik angin!" bentak Zaiton, dengan mengarahkan Hawa untuk masuk ke bilik. Sebelah tangannya menunding jari ke arah pintu yang terbuka luas. Hawa terdiam. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dia katakan untuk meyakinkan lagi Zaiton untuk mempercayainya.

"Kau pandang aku kenapa? Masuklah!"

Hawa menggigit bibir. Dia menunduk kepala ke bawah. Memang dah tak ada harapan untuk aku menegakkan keadilan. Hawa mengeluh kecil. Kepala diangguk perlahan sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah semula. Sekilas dia memandang Ayah Harun yang hanya melemparkan senyuman sinis ke arahnya. Hawa menjeling menyampah. Dia terus masuk ke dalam bilik.

"Jeling pula budak tu. Kurang ajar betul!" sindir Ayah Harun. Dia menggeleng kepala. Lantas, bangun daripada sofa menghampiri Zaiton yang berada di beranda rumah.

Zaiton tayang muka cemberut. Dia menunding jari ke muka suaminya. "Betulkan abang tak rogol dia?"

"Iya, betul sayang... buat apa abang nak rogol dia? Abangkan cuma cintakan, Ton. Dia yang goda abang tadi. Dia tarik abang sampai jatuh atas katil. Tuk tuk, Ton dah balik. Nasib baik Ton bela, abang. Kalau Ton bela dia. Mahunya abang kecewa..." ujar Ayah Harun. Zaiton tersenyum menyenget.

"Tentulah Ton bela, abang. Sebab Ton lebih kenal abang berbanding perempuan kutip tu!" ujar Zaiton, serta menekankan sedikit ayat akhirnya. Sengaja ingin membiarkan Hawa di dalam bilik mendengarnya. Biar sedar diri sedikit yang dia itu menumpang di rumah orang!












                           RUMAH Agam Tuan Haji Zamani. Luth mencapai sebotol air mineral di dalam peti ais. Tudung botol dipulasnya, lalu diteguk perlahan-lahan. Sekilas dia mendongak memandang jam di dinding yang sudah menandakan pukul 12 tengahari. Luth tersenyum menyenget. Orang lain sibuk bangun pukul 6 pagi mengejarkan solat fardhu subuh. Dia pula baru sahaja bangun daripada tidur. Nak buat macam mana? Semalam dia terpaksa tidur lewat kerana pergi ke party yang diadakan oleh kawannya. Terlampau leka dengan hiburan duniawi, sampaikan masa pun dia terlepas pandang. Kadang-kadang dia balik dalam keadaan mabuk, ada kalanya dia baik-baik sahaja. Lihat pada situasi.  Mujur semalam dia tidak mengambil minuman syaitan, kalau tidak habiskan kena tazkirah dengan orang beriman dalam rumah ni.

"Kau buat apa sampai balik lewat malam semalam?" tegur Malik Haqimi, abangnya. Luth memusing ke belakang. Nak tergelak dia melihat Malik yang memakai jubah putih serta serban di kepala. Tergeleng-geleng kepala Luth. Dia meletakkan kembali botol mineral itu ke dalam peti ais.

"Baru balik ceramah orang ke pak ustaz?"

"Aku tanya kau elok-elok, jawab pun elok-elok. Aku ni abang kau, hormat sikit." ujarnya. Kedengaran sedikit tegas di situ. Luth menjuih bibir.

Kedua belah tangannya memeluk tubuh. Dia sandarkan pinggang ke kabinet menghadap Malik.

"Suka hatilah aku nak balik bila, pukul berapa? Janji aku tak kacau orang dalam rumah ni."

"Kau dah pandai menjawabkan, sekarang? Kalau kau tak boleh nak balik awal sekalipun, sekurang-kurangnya kau jaga sikit imej abah! Keluar masuk lorong, kau ingat orang tak nampak ke? Yang kena kecam, aku! Bukan kau!" bentak Malik. Luth ketawa mengekek. Berlapis dahi Malik memandangnya. Sedikit pun dia tidak nampak lawaknya di mana sampaikan Luth hendak ketawa.

"Kenapa? Kau malu bila orang tanya kenapa abang dia nampak macam lelaki kiriman Tuhan, tapi adik dia macam lelaki kiriman syaitan huh?"

"Mana-mana keluarga pun malulah dapat orang tak guna macam kau! Masa terabai, apatah lagi solat? Lagilah kau biarkan je! Ingat sikit yang engkau tu orang Islam!" herdik Malik.

Luth tersenyum sinis. Dia menjatuhkan kedua belah tangannya ke bawah dan berjalan mendekati Malik. Mata mereka saling bertentangan. Jari telunjuk ditekan pada dada Malik berkali-kali.

"Dan kau pula harus tahu yang orang macam kau tak boleh nak menghina orang lain. Sekurang-kurangnya aku tak berlakon yang aku baik dengan abah. Aku tak nak jadi orang yang munafik." ujar Luth, penuh dengan kata-kata yang mendalam. Entah mengapa ayat itu menghiris hati Malik. Kedua belah tangan Malik dikepal kuat. Dia mengetap bibir. Kecil sahaja dia memandang Luth yang makin lama makin kurang adab dengannya.

Luth menjeling meluat. Dia terus melangkah pergi daripada situ menuju ke biliknya yang berada di aras dua. Bahu Malik sengaja di langgarnya. Membuatkan tubuh Malik sedikit terenjak ke kiri. Budak ni makin melampau pula dibuatnya.

"Hei, Luth! Aku tak ada masa nak gaduh dengan kau! Apa yang aku nak, kau bersiap sekarang ikut aku dengan abah pergi bagi bantuan dekat rumah anak yatim!" Jerit Malik, kuat. Entah dengar atau tidak Luth. Dia hanya membalasnya dengan isyarat okay sahaja daripada jauh. Malik mendengus geram.

"Tahulah aku nak buat kalau kau tak siap!"

MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|On viuen les histories. Descobreix ara