Bab 21

25.1K 2K 267
                                    

                        SEKEJAP pejam mata sekejap mata terbuka, itulah yang asyik dibuatnya daripada tadi. Hawa menghembus nafas kecil. Entah mengapa malam ini sukar untuk dia melelapkan mata. Kalau tidak, nampak sahaja bantal terus boleh landing sampai ke angkasa lepas. Haih... Hawa memandang ke arah jam dinding. Sudah pukul 1 pagi. Aduh, esok nak kena buat kerja lagi. Rumah ni dah lah besar, nak kemas satu bilik pun dah ambil masa berbelas minit. Jadi dia perlukan tenaga lebih. Masalahnya, mana nak dapat tenaga kalau dia masih berjaga pada waktu begini?

"Ish, apasal dengan aku ni?" soal Hawa, geram. Dia mengubah posisinya kepada duduk. Tubuh belakang disandarkan pada kepala katil. Sesekali anak matanya meliar ke segenap ruang biliknya yang gelap gelita. Lantas, Hawa turun daripada katil melangkah ke arah suiz lampu yang berada di tepi pintu. Suiz lampu dipetiknya, terus mencerahkan bilik yang tadinya suram.

"Aku nak buat apa ek?" Hawa mencekak pinggang. Nak keluar pergi ke dapur, takutlah pula. Karang kalau terserempak dengan Malik, pengsan terus aku dibuatnya nanti. Luth pun mungkin sudah tidur sekarang. Sudah tentulah lelaki itu tak akan jadi penyelamat aku buat kali ke tiga. Hawa mengeluh panjang.

Sekilas dia menoleh ke arah almari baju yang terletak di sebelah kiri bilik. Langkah diatur ke sana pula. Dia menolak pintu almari itu ke tepi, menampakkan pakaian yang tersusun rapi. Nightgown long dress berwarna putih di bawa keluar daripada almari. Hawa tersenyum menyenget.

"Cantik pula baju ni. Semua orang dah tidur, bolehlah aku try sekejap." ujar Hawa dengan ketawa mengekek. Sesekali buat kerja gila malam-malam buta, best juga. Lagipun, dah lama dia perhatikan dress ini di dalam almari. Alang-alang Luth dah beli, baik aku cuba pakai. Untuk diri sendiri, apa salahnya?

Hawa pantas berlari anak masuk ke dalam tandas ingin menukar baju. Setelah 5 minit berlalu, dia keluar dengan mengenakan nightgown long dress berwarna putih yang dipilih tadi. Dia melangkah ke arah cermin besar di dalam bilik. Menatap keseluruhan tubuhnya di dalam cermin. Wah, cantik juga! Hawa tersengih seorang diri. Buat pertama kalinya dia memakai baju ala-ala pengantin baru.

Sengaja dia buat-buat merapikan rambut ikal mayangnya yang sampai ke paras dada. "Agak-agaknya cair tak bakal suami aku tengok aku pakai baju ni? Eh, terberangan pula." Hawa mengetuk kepala sendiri. Baru pakai baju seksi sikit dah berangan bukan-bukan. Hawa... Hawa... memalukan!

Hawa menggeleng kepala. Dia berpaling pula ke arah sliding door yang menghadap ke balkoni kecil. Macam mana agaknya suasana pagi seperti ini di luar sana ya? Hawa mula terfikir sambil dia mengatur tapak ke arah sliding door. Teringin pula dia melihat langit pada waktu awak pagi sebegini. Lantas, kedua belah tangannya menolak pintu kaca itu ke kiri dan kanan. Hawa sedikit tergamam. Mulutnya terlopong luas apabila mendongak memandang langit yang dihiasi dengan bintang-bintang.

Udara juga segar sahaja. Tidak seperti diwaktu biasa. Mungkin kerana kurang kenderaan di jalan raya. Kuranglah asap yang menjadi punca utama cuaca panas. Hawa mula berjalan lebih ke depan. Kedua belah tangannya diletakkan pada kekisi.

"Wah! Bestnya jadi orang kaya. Dapat rumah besar, pemandangan dekat sini pun cantik. Rezeki aku agaknya dapat rasa benda ni. Kalau dulu aku dapat berangan sahaja. Orang gaji pun orang gaji lah..." ujar Hawa, bermonolog sendirian. Tangannya mula tak duduk diam. Sibuk membetulkan juntaian rambut yang berselerak ditiup angin. Hawa tersenyum bahagia.

"Tak sangka malam-malam macam ni ada 'Cik Ponti' bertenggek dekat balkoni. Selama aku melepak dekat sini, jarang dia muncul. Agaknya malam ni malam bertuah aku kot dapat jumpa, kan?" sampuk suara garau itu secara tiba-tiba. Terus mematikan senyuman di bibir Hawa. Matanya membeliak terkejut. Mudah benar dia mengecam si pemilik suara itu. Entah-entah...

MR LUTH: AKU BUKAN MALAIKAT |NOVEL|Where stories live. Discover now