http://www.hmetro.com.my/articles/Wanita46tahunasmaralelaki20tahun/Article/
PETALING JAYA: Gara-gara kemaruk seks, seorang wanita berusia 46 tahun bersama pasangannya berusia 20 tahun dicekup anggota polis ketika asyik memadu asmara dalam sebuah kereta di Bandar Sri Damansara, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 1.55 pagi itu, dua anggota peronda yang melakukan rondaan cegah jenayah dikatakan terserempak sebuah Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
Sebaik anggota peronda berkenaan menghampiri kereta itu, mereka mendapati sepasang lelaki dan wanita sedang asyik memadu asmara tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Sumber polis berkata, ketika dicekup, pasangan terbabit sedang melakukan aksi seks oral dalam keadaan separuh bogel.
Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran polis, mereka tergesa-gesa memakai semula pakaian dan melompat ke tempat duduk masing-masing.
"Pasangan itu mulanya menafikan mereka melakukan perbuatan sumbang dan memberi alasan berhenti di tepi jalan untuk bersembang.
"Selepas didesak, mereka akhirnya mengaku sudah beberapa kali melakukan aksi panas di kawasan gelap, namun bernasib baik kerana tidak pernah dicekup pihak berkuasa," katanya di sini, semalam.
Sumber itu berkata, pasangan terbabit kemudian diarah keluar untuk pemeriksaan lanjut dan dibawa ke Balai Polis Damansara Damai untuk diambil keterangan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan menerima laporan itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.