http://www.hmetro.com.my/articles/Lelaki_ghairah_peluknenek/Article/
KOTA MARUDU: Seorang remaja berusia 18 tahun yang 'ghairah' melihat tubuh seorang nenek berusia 59 mengambil kesempatan memeluk mangsa dari belakang sebelum merabanya dalam kejadian di Kampung Pinatau, kira-kira jam 9 malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, suspek yang juga penoreh getah dipercayai terlalu mabuk selepas menghadiri pesta di kampung berkenaan, turut menumbuk muka mangsa yang menjerit ketakutan apabila dipeluk lelaki terbabit. Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa penduduk lain menghadiri Pesta Minum di sebuah rumah penduduk kampung berkenaan.
Bagaimanapun, ketika majlis itu selesai, suspek yang berjalan pulang dalam keadaan terlalu mabuk secara tiba-tiba memeluk mangsa dari belakang sebelum mencabulnya.
Nenek itu yang terkejut dengan perbuatan itu cuba melawan dan menjerit, tetapi suspek bertindak menumbuk muka sehingga mangsa jatuh terduduk.
Beberapa penduduk kampung yang terdengar jeritan mangsa tampil memberi bantuan, namun suspek terlebih dahulu melarikan diri.
Mangsa kemudian menceritakan perkara itu dan dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan di rumahnya semalam.
"Siasatan awal menunjukkan suspek mengenali mangsa," katanya.
