http://www.hmetro.com.my/articles/Kemarukcintalelakimuda/Article/
JOHOR BAHRU: Gara-gara kemaruk bercinta dengan lelaki muda, seorang ibu kepada enam anak berusia 33 tahun didakwa bukan saja mengabaikan tanggungjawab menguruskan rumah tangga, malah sanggup melarikan diri bersama kekasihnya berusia 20-an sejak dua tahun lalu.
Kejadian berlaku apabila wanita berkenaan meminta kebenaran suaminya untuk bekerja sebagai tukang cuci di negara jiran bertujuan meringankan beban keluarga.
Bagaimanapun, selepas kira-kira tiga bulan bekerja, perkara sebaliknya berlaku apabila wanita berkenaan mula berubah sikap selepas menjalin hubungan dengan jejaka lebih muda dengan alasan mengisi kesunyian lelaki terbabit.
Suami wanita itu yang dikenali sebagai Mahendra, 37, berkata, dia tidak menyangka hasrat isterinya untuk bekerja selepas melahirkan anak bongsu menyebabkan rumah tangganya dibina sejak 16 tahun lalu musnah.
"Lebih malang, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab isteri, anak sulung, Revathi yang berusia 15 tahun terpaksa berhenti sekolah lebih setahun lalu bagi menguruskan rumah selain menjaga adik-adiknya.
"Sebelum isteri bekerja di negara itu, kami tidak berdepan sebarang masalah tetapi selepas bercinta, dia mula berjoli selain enggan mengambil tahu hal berkaitan anak-anak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Makmur di sini, semalam.
Mahendra memberitahu demikian selepas mengadu masalah dihadapinya kepada Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Keharmonian Guru Peedam Johor, G Balaguru.
Menurutnya, dia mengesan perlakuan curang isterinya dan selepas ditanya, wanita yang mabuk cinta itu terus meninggalkan mereka sekeluarga.
Katanya, kali terakhir isterinya bersama keluarga pada 22 Januari 2009 dan selepas itu, dia terus gagal dikesan atau dihubungi.
Bimbang dengan keselamatan isterinya, Mahendra sudah membuat tiga laporan polis termasuk di Balai Polis Kulaijaya.
"Saya bimbang dengan keadaan anak, empat anak lelaki dan dua perempuan yang terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.
"Kami juga hidup dalam kebimbangan kerana rumah yang dihuni bakal dilelong bank tidak lama lagi memandangkan saya tidak bekerja hampir setahun kerana terpaksa menjaga naka selepas isteri menghilangkan diri hingga gagal menjelaskan ansuran bulanan.
"Saya berharap ada pihak sanggup membantu kami dan memberikan kaunseling kepada anak-anak supaya lebih bersemangat menempuhi dugaan ini," katanya yang turut menerima bantuan persekolahan anak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.
