Prolog

296 15 1
                                    


GADIS berusia dua belas tahun itu cepat-cepat mengeluarkan diari miliknya dengan sebatang pen. Segala perkara yang berlaku serta luahan yang tidak mampu dia luah, dicoret di dalamnya. Setiap kali guru di dalam kelas tiada dalam kelas, dia akan menulis di dalam diari kecil itu. Menulis, itu memang hobinya. Pada mulanya dia hanya suka membaca kisah-kisah misteri seperti kisah pembunuhan, dan kisah seram yang lain. Tetapi lama-kelamaan dia seolah mendapat inspirasi untuk mengatur ceritanya sendiri. Antara buku pertama yang dia selalu baca ialah hasil air tangan James Lee, penulis buku Mr.Midnight yang memberinya satu dunia baru yang penuh dengan pengembaraan kisah hantu dengan jalan cerita yang menarik. Tak sangka dirinya akan meminati buku Bahasa Inggeris yang bertemakan seram seperti itu.

"Mawarti!" Arif mengetuk meja Mawarti yang daripada tadi tersengih-sengih menulis tak ingat dunia. Buku matematik kau mana? Cikgu suruh hantar."

Gadis bernama Mawarti itu terus berhenti menulis kemudian mengecilkan matanya. Lambat-lambat, dia keluarkan buku tulis Matematik sebelum dihulur kepada Arif, selaku ketua bilik darjah 6 Firdaus.

"Dah siap?" Tanya Arif lagi, ingin kepastian.

Setiap kali dia mengutip buku pelajar, dia akan bertanya soalan yang sama. Tempoh hari dia dimarahi Cikgu Tugiran kerana tidak menyemak tugasan kawan-kawan sebelum buku itu dihantar.

"Dah." Pendek Mawarti membalas.

"Kau buat kerja apa lagi tu?"

Mawarti terus menutup diarinya. Dia hanya menjeling tanda tak suka. Dia menyuruh Arif pergi dari situ dan jangan ganggu hidupnya lagi. Sibuk!

Arif terus berlalu pergi bila Mawarti dah buat muka. Gadis itu memang pendiam dan tak banyak songeh dalam kelas, suka juga menyendiri sampai ada yang mengatakan gadis itu sombong. Mawarti tidak peduli semua itu. Selagi dia tidak mengganggu hidup orang lain, dan orang tidal mengganggu hidupnya, Mawarti akan bahagia.

Cikgu Tugiran masuk ke dalam kelas untuk mengajarkan subjek Matematik seperti biasa. Arif meletakkan buku yang dikumpul tadi di atas meja guru kemudian kembali duduk di tempatnya.

"Hari ni, cikgu akan bagi kertas ujian satu untuk Matematik."

Cikgu Tugiran berjeda kemudian memandang seisi kelas.

"Ada yang dapat 100 markah, ada yang dapat 90 markah. Alhamdulillah separuh daripada kelas ni dapat gred A."

Murid-murid kelas 6 Firdaus bersorak gembira dengan pencapaian itu.

"Tapi, ada seorang dapat C untuk Matematik." Cikgu Tugiran menggeleng kepalanya.

"Ramai juga yang dapat B, tapi bagi cikgu, gred B tu masih boleh diselamatkan lagi sebab macam 1 hingga 5 markah nak dapat A, tapi C... ini kelas 6 Firdaus, kelas pertama." Cikgu Tugiran diam sekejap. Lantas mencekak pinggang sebelum menyambung bicara.

"Jadi hari ni cikgu nak pindahkan tempat duduk kamu ikut mentor. Setiap kali kelas Matematik, saya nak kamu pindah tempat duduk dekat sebelah mentor kamu. Kepada mentor pula, kalau markah kamu berkurang lepas duduk sebelah mentee kamu, cikgu piat telinga!"

Masing-masing hanya mampu memandang antara satu sama lain. Ada yang mengeluh kerana tidak mahu tukar tempat duduk.

"Arif Amsyar." Cikgu Tugiran menyeru kuat nama ketua darjah kelas 6 Firdaus.

Arif terpinga-pinga. "Kenapa cikgu?"

"Tahniah, dari tahun lepas awak konsisten dapat markah seratus."

Satu kelas bersorak untuk Arif yang hanya mampu tergaru-garu kepalanya, segan.

"Markah sembilan puluh lapan, Muhammad Adib!"

Hello Neighbor (TERBIT PBAKL 2023)Where stories live. Discover now