Prolog

2.5K 109 9
                                    

Cantik pengantin di majlis hari ini. Banyak mulut sudah memuji. Setiap kali ada yang bertanya siapa mak andam yang menabur seri, semestinya bukan wajah polos Inara yang disyaki.

Inara bukanlah seorang jurusolek berkelayakan tinggi. Dia hanya berjinak-jinak dengan seni itu selepas berpisah dengan bondanya. Dengan mekap, Inara menyampaikan rindu pada bondanya seorang. Setiap kali wajah pengantin yang diriasnya gembira, dia terbayangkan wajah bonda pada hari perkahwinan keduanya.

Ya, bondanya menikah semula beberapa tahun selepas ayahnya terkorban menjalankan tugasan negara. Kata bonda, lelaki muda kaya itu jejaka penyayang. Pada hari perkahwinannya, wajah bonda yang selama bertahun muram bertukar seri. Dan senyuman itulah yang Inara cari dalam setiap wajah pengantin yang diriasnya.

Seorang wanita berusia duduk di meja makan Inara, menghentikan lamunannya. "Anak ni yang mekap pengantin kan?" sapanya mesra.

Inara mengangguk. "Ya, saya."

"Habis dah makannya? Tak tambah?" Tetamu wanita itu berbasa-basi dengan sengihan yang menampakkan gigi rongak di tepi.

Inara menggeleng. "Kenyang dah, cik."

"Siapa nama? Boleh panggil Acik Yah aja," kata mak cik itu lagi, masih mahu berbual kosong sambil memperkenalkan dirinya.

"Inara," jawabnya sepatah.

"Uish, sedap nama. Kacukan ya? Acik pun ada anak kacukan juga. Bapaknya orang Jepun tapi Acik dah bercerailah dengan dia. Lama dah. Dari dia kecik lagi," sambungnya.

Inara hanya senyum kecil dan mengangguk.

"Orang sini ke? Atau ke mari atas urusan majlis kahwin ni je? Acik dulu duduk sini. Lepas bercerai, Acik pindah. Ni datang majlis ni pun sebab mak pengantin tu kawan Acik masa duduk sini dulu. Tu dia jemput Acik datang majlis kahwin anak dia."

Inara senyum lagi tapi kini semakin kelat. Bukan dia tak pandai bersosial, tapi dia tak pandai berbual kosong dengan orang tua. Otaknya mati kutu.

Selepas beberapa minit lagi dengan celotehnya, mak cik itu bertanya jika Inara boleh memberikan perkhidmatan mekap pengantin untuk anak daranya kurang lebih lagi 3 bulan. Inara hampir memberi persetujuan sebelum otaknya membuat kira-kira.

"Lagi 3 bulan saya tak ada kat Malaysia, Acik Yah. Saya pergi melawat kawan di Australia."

Sebaik membangkitkan hal itu, ada perasaan debar dalam suka yang mekar dalam hati Inara. Dia tak sabar mahu ke negara kanggaru itu.

Raazi dikenalinya dari tempat kerja. Sebagai penguji beta di sebuah syarikat antarabangsa permainan mobil yang bertapak di Singapura, Inara banyak berhubung dengan penguji beta dari seantero dunia. Raazi ialah penguji beta sambilan yang berpusat di Australia.

Dalam ramai-ramai teman alam maya yang mendekatinya, hanya Raazi yang mencuri hati Inara. Masakan tidak, Raazi bukan sekadar berwajah kacak, tapi pertuturannya lembut dan pandai mengambil hati. Walaupun Raazi tak pernah mengucapkannya, tapi Inara yakin perasaannya tidak bertepuk sebelah tangan.

Apabila Raazi mengajaknya datang melawat, Inara tidak berfikir panjang. Terus dipohon visa jangka masa panjang selama 3 bulan. Passport dibaharukan, cuti kerja juga diluluskan dan Inara mengambil tugasan jurusolek setiap minggu untuk mencari duit tambahan. Tiket kapal terbang pun sudah dibeli dan akan berlepas lagi sebulan.

"Laaa, ye ke? Tak dapat nak booking mekap dengan Inara. Siapa kawan yang duduk kat Australia tu? Boyfriend ke?" usik Acik Yah.

Soalan terakhir Acik Yah tidak didengari Inara kerana matanya tak sengaja tertancap satu wajah yang digeruninya. Dalam banyak-banyak tempat, bagaimana dia boleh berada di sini?!

Beg tangan di bawah meja terus dicapai. "Acik Yah, minta maaf. Saya minta diri dulu ya."

"Eh, kenapa tergesa-gesa ni? Macam nampak hantu," tanya Acik Yah dengan ketawa kecil tapi tidak dijawab Inara.

Bukan hantu, tapi syaitan bertopengkan manusia. Begitulah detik hati Inara tapi tidak diluahkannya. Laju langkah dibuka sambil tangan mengorek telefon bimbit dari dalam tas tangan. Aplikasi Grab ditekan dan cepat-cepat Inara membuat pesanan.

"Baby..." Suara garau itu tak lama kemudian menyapa dari belakang Inara dan seluruh tubuhnya tergamam. Dia tak berani langsung mahu menoleh ke belakang. "Kecilnya dunia. Tak sangka jumpa baby kat sini. Lama daddy cari."

Baby. Panggilan manja yang arwah ayahnya beri untuk Inara tapi disalahgunakan syaitan itu. Inara masih tidak menoleh. Tangannya kemas dan erat menggenggam spray pemedih mata, bersedia.

"Jom ikut daddy balik rumah? Baby tak rindu daddy dengan bonda ke?" tanya syaitan itu sambil menyentuh tepi lengan Inara. Terkejut dan ketakutan, Inara terus histeria, menoleh ke belakang dan melepaskan pemedih mata ke seluruh muka Muazzam.

"Argh!!" Dia terus memejam mata dan menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangan.

"Jangan dekat dengan aku!" jerit Inara dalam deraian air mata. "Aku bukan baby kau, setan!"

Jeritan Inara dan rengusan Muazzam mencuri perhatian beberapa tetamu yang berdekatan. Beberapa orang jemputan yang panik terus berlari ke arah mereka dan sibuk bertanya sesama mereka apa yang berlaku.

Bunyi notifikasi di telefon bimbit Inara menandakan pemandunya sudah tiba. Inara kembali membuka langkah seribu mendapatkan kereta yang sudah menunggu. Jeritan Muazzam memanggilnya hanya samar-samar di pendengaran.

Inara terus pulang ke hotel tempat dia bermalam. Dia langsung tidak keluar dari bilik hotelnya sehinggalah waktu dia harus berangkat pulang ke Singapura keesokan harinya.

Tapi pertemuan tak diduga tempoh hari itu rupanya sudah menganjakkan realiti. Mimpi ngeri yang ditinggalkan Inara sewaktu berusia 18 tahun sudah kembali mengejar langkah Dinara Inez Dimitri.

***

A/N: eeeep I'm scared! Lama gila tak menulis. How's the prologue for start?🫣🫣

D.I.D: Dinara Inez DimitriWhere stories live. Discover now