1

2.5K 83 7
                                    

Inara tiba di lapangan terbang Perth lewat tengah hari. Tak sangka akhirnya dia selamat juga tiba di bumi Australia.

Penerbangan yang dijadualkan awal pagi tadi ditangguhkan selama sejam lebih. Dia tidak tidur sejak pulang dari kerja semalam. Kerisauannya di dalam kapal terbang bersayap dua selama lebih 5 jam juga membuatkan dia tetap berjaga sepanjang perjalanan.

Keluar dari kapal terbang, penumpang beratur dalam jarak sosial selamat dan melalui terowong yang memantau suhu. Syukur, proses pemeriksaan kastam juga berjalan lancar. Tapi hati Inara masih belum lega selagi destinasi yang dituju masih belum tiba.

Keluar dari balai ketibaan, Inara menolak troli bagasinya mencari tempat untuk dia duduk. Telefonnya dikeluarkan dan butang di tepi ditekan. Sambil menunggu ia hidup, Inara membuang pandang ke sekeliling, memerhatikan manusia-manusia dengan gelagat masing-masing.

Hati Inara jadi sayu apabila terkenang semula bagaimana hidupnya berubah sekelip mata. Selepas bonda berkenalan dengan lelaki mewah yang mahu memperisterikannya atas dasar 'membantu ibu tunggal muda', hidupnya yang dulu ceria bertukar derita.

Inara jadi kecut perut tiba-tiba. Sedang bondanya sibuk di bilik khas tingkat bawah, yang disediakan suami barunya itu untuk kerja-kerja menjahitnya siang dan malam, diri Inara juga sibuk diratah tanpa rela oleh si iblis bertopengkan manusia, di atas katilnya sendiri yang sepatutnya menjadi tempat dia beradu dengan tenang.

Jantung Inara jadi laju, telefon diletakkan ke tepi dan dia menekup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan yang menggigil.

"It's just a nightmare. It's only a bad dream. It's okay..." pujuknya pada diri sendiri. Ditahan air mata daripada mengalir. Di sini bukan tempat untuknya berasa lemah dan tak berdaya sebegini.

Mindanya kembali fokus demi keselamatan diri. Inara terus mencapai telefon bimbitnya. Tetapan 'roaming' sudah dihidupkan dan dia cuba mendail lagi nombor Raazi. Persahabatan mereka membawa Inara ke sini apabila Raazi menjemputnya datang melawat selepas loteng rumahnya siap diubah suai menjadi satu bilik tetamu.

Raazi sebenarnya seorang pemuzik. Kerjaya itu membuatkan dia sering menjelajah bersama kumpulannya apabila menerima jemputan persembahan. Jadi rumahnya sering kosong, lalu idea untuk membuka bilik tumpangan disokong penuh oleh Inara. Daripada idea, proses reka dalaman, pemilihan bahan dan dinding kertas; semuanya dikongsi bersama Inara.

Tapi Raazi tidak menjawab panggilan telefon Inara tengah hari itu. Mesejnya juga masih tidak berbalas dari semalam. Dia tahu beritanya sangat mengejut; kedatangannya sudah diatur lama dan dijangka minggu depan, bukan hari ini. Tapi seminggu awal, tak mengapa kan? Raazi sendiri pernah mengatakan, "Come anytime, Nara. I got you!"

Ah, keputusan sudah dibuat. Langkah juga sudah dibuka sampai ke sini. Pulang ke Singapura bukan pilihannya saat ini. Dia mencari nota di mana alamat rumah Raazi ada disimpan, troli ditolak semula ke lobi lapangan, teksi ditahan dan rumah Raazi tetap menjadi destinasi pilihan. Tak apa, sekiranya Raazi tiada di rumah, dia tahu di mana kunci rumahnya disorokkan.

"My spare key is under one of the pots, three windows away from the door. Ambil je kunci tu dan masuk rumah kalau you sampai masa I tengah tour, okay? I trust you." Berbekalkan kepercayaan itu, Inara menghantar mesej ke Raazi untuk memaklumkan. Kemudian, kad simnya dipatah dan dibuang. Nombor ini akan dilupuskan.

Lebih kurang sejam perjalanan meredah trafik, Inara tiba di satu kawasan pinggir bandar. Pokok-pokok menghiasi kiri kanan jalan; kawasan ini menenangkan. Inara senyum sendiri. Dia tahu dia bakal suka akan kawasan kejiranan ini untuk 3 bulan mendatang.

"We're here, Ma'am."

Teksi berhenti di satu rumah sebiji bersaiz sederhana dengan tanah sekeliling yang agak lapang. Rumah jiran di kiri dan kanan lebih kurang 30 meter jaraknya, ditanda dengan pagar kayu rendah sebagai sempadan. Beberapa pokok besar menghiasi sekeliling rumah Raazi.

D.I.D: Dinara Inez Dimitriजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें