Bab 3

76 6 2
                                    

Selepas dua minggu Ezra tolak along, tiba-tiba hari ni keluarga Ezra muncul bersama sekotak cincin yang tertulis Habib Jewels. Aku ternampak kotak tu waktu hidang air dan pisang goreng di atas meja.
Dan sejak tadi, senyuman manis tak pernah lekang di bibir aku. Tumpang rasa bahagia bagi pihak along. Akhirnya, ada juga calon yang sesuai untuk dia yang keras kepala tu. Walaupun pilihan orang tua, tetapi mungkin ni jodoh yang paling terbaik sekali buat si kakak.
"Nasuha bergabung dengan Ezra. Sah akan meletup kebabom. Sama cantik. Sama padan bak pinang dibelah dua," bisik aku dalam hati bersama senyum yang makin mekar.
Tapi... tunggu sekejap!
Macam mana lelaki keras kaku seperti Ezra boleh berubah fikiran dalam masa dua minggu? Bukan dia dah tolak along dua minggu lepas? Siap silang pangkah tangan lagi sebagai jawapan tambahan.
Kenapa tiba-tiba datang rumah bawa cincin bagai?
Dah ni kali pertama Ezra datang ke rumah kami. Padahal rumah Mak Cik Elisa dengan rumah kami bukan jauh mana pun. Tak sampai 10 minit.
Selalunya hanya ahli keluarga dia yang akan datang ke rumah. Dia tak pernah datang walaupun pada hari raya.
Kalau aku pergi rumah Mak Cik Elisa pun, tak pernah nampak muka Ezra. Hidup dia bagai terasing dari dunia luar. Jenis menyendiri. Sesuai sangat dengan perangai berat mulut dia.
Takkan dia kena paksa dengan Mak Cik Elisa?
Spontan anak mata tertumpu pada muka kering Ezra yang sedang duduk di sebelah kanan Pak Cik Fateh. Kepala dia hanya lurus pandang ke arah meja. Sesekali nampak bibir dia tercarik senyum nipis sebagai respons biasa untuk perbualan abah dan Pak Cik Fateh.
Walaupun dia senyum, masih nampak biasa pada pandangan mata aku. Mungkin sebab air muka dia sentiasa kaku. Jadi bila senyum pun, takkan ada impak yang besar pada wajah dia. Rasanya dia kena senyum lebar hingga ke telinga. Baru akan nampak muka dia mesra manusia.
"Tak... Tak... Tak..." Aku masih monolog dalam hati dengan kepala yang bergerak ke kanan dan ke kiri. Tindak balas spontan bila ayat negatif yang melintas dalam akal fikiran.
Aku tak rasa Ezra kena paksa. Orang macam dia tu mana boleh dipaksa-paksa. Sekali dia memberontak, boleh tunggang-langgang hidup semua orang nanti. Lebih kurang perangai along juga. Cuma untuk kes kali ni, along tak tunjuk protes seperti selalu.
Bila mak bercakap tentang Ezra, tak pernah sekali pun along memberontak atau tarik muka. Selalunya mak baru sebut perkataan kahwin, along dah tarik muka 14. Mungkin along dah terbuka hati untuk berkahwin. Itu yang kali ni along ikut je rancangan mak tanpa banyak bunyi.
Tak kisahlah atas alasan apa pun Ezra terbuka hati untuk terima along. Yang penting buat masa sekarang, impian dan harapan mak dan Mak Cik Elisa akan tercapai. Hubungan kawan baik akan naik taraf jadi besan tak lama lagi.
"Kami datang dengan hajat."
Terhenti seketika suara garau Pak Cik Fateh bila anak matanya bergerak perhati setiap raut wajah yang berada di ruang tamu sambil tersenyum nipis.
Berdegup kencang jantung aku. Orang lain yang kena pinang, aku pula yang rasa gemuruh. Tapi pada masa yang sama, rasa gembira dan teruja bagi pihak along.
"Nak memetik bunga di taman larangan Encik Ali dan Puan Manis untuk anak kedua kami. Boleh?" Soal Pak Cik Fateh cukup sopan.
"Bunga kesayangan kami ada tiga orang semuanya. Nak yang mana satu? Maklumlah, semuanya masih single and available lagi," balas abah dalam nada berseloroh.
Dan ketika ayat abah yang terakhir menyapa ke telinga, secara automatik bebola mata Ezra melekat pada muka aku. Dia merenung tunak bersama riak muka yang kosong tanpa ekspresi.
Dah kenapa anak kedua Pak Cik Fateh ni?
Pandang aku serupa orang tak puas hati pun ada. Ibarat aku ni ada hutang nyawa dengan dia pula. Atau sebenarnya... dia juling?
Nampak seolah-olah dia tengah pandang aku. Walhal tengah pandang along yang berdiri di sebelah kanan aku. Rasanya teori ni paling logik. Sebab kawan sekolah aku yang juling pun perangai macam ni juga. Tengah bercakap dengan orang lain, tapi anak mata menghala ke arah orang lain.
"Saya rasa lebih afdal tuan badan yang cakap sendiri. Lagipun, ni masa depan dia sendiri juga. Tugas saya hanya sebagai tukang pembuka bicara pagi ni."
Habis je cakap ayat yang terakhir, terus Pak Cik Fateh tepuk lembut bahu kanan Ezra. Mungkin sebagai signal untuk si anak mula buka mulut. Jangan duduk senyap seperti Tugu Negara yang bernyawa.
"Bunga yang mana satu jadi pilihan hati kamu, Ezra? Yang sulung... Yang bongsu... Atau... yang tengah?"
Muka abah nampak tenang, tetapi nada suara abah tak setenang mana. Lagi-lagi bila perkataan 'yang tengah' menjadi sebutan di mulut. Nampak yang abah susah hati untuk lepaskan aku buat kali kedua.
Cuma persoalannya sekarang...
Kenapa abah nak susah hati?
Terang lagi bersuluh yang Ezra ni calon suami along. Bukan untuk aku atau untuk acu yang masih belajar di UiTM Puncak Alam. Ini memang rancangan dan pakatan awal Persatuan Bini-Bini Garang Malaysia. Along dan Ezra yang akan bersatu sebagai suami isteri.
Bila anak mata Ezra menghala ke arah kami berdua yang sedang duduk di penjuru ruang tamu, spontan aku singgung pinggang along sambil tersengih.
"Get ready, along. Dah hampir tiba masa yang dinanti-nantikan oleh mak selama ni," bisik aku nakal lalu singgung pinggang along buat kali kedua.
"Jangan lupa senyum," pesan aku masih dalam keadaan berbisik. Mimik muka along lebih kurang sama dengan Ezra. Kedua-duanya muka beku tanpa senyuman. Seolah-olah tengah stres dengan masalah dunia yang tak pernah selesai.
"Yang mana satu jadi pilihan kamu, Ezra?"
Itu suara merdu Mak Cik Elisa. Mungkin lama sangat menanti jawapan si anak sampai dia pun dah mula hilang sabar. Punyalah lama Ezra ambil mood untuk jawab soalan mudah abah.
"Yang tengah... Nayla..." Senafas dan mendatar suara Ezra. Ibarat robot yang sedang bercakap.
Tapi senyum simpul yang tersungging di bibir dia dalam beberapa saat, buat jantung aku rasa nak luruh jatuh ke bumi. Dan makin buat aku rasa nak pengsan, bila tengok wajah along ceria semacam.
Along senyum lebar sampai ke telinga. Senyuman yang nampak cukup ikhlas seolah-olah empunya badan terlampau rasa gembira. Padahal tadi wajah beku serupa ikan yang baru keluar dari peti sejuk.
Rasanya tadi aku dengar Ezra sebut nama Nayla dan bukannya Nasuha. Tapi kenapa, along nampak bahagia? Tak muram atau marah seperti orang yang tengah tanggung rasa kecewa. Aku kena scam dengan kakak sendiri ke?
Soalan paling utama sekarang, kenapa aku? Kenapa dia pilih aku sebagai calon isteri? Apa masalah Ahmad Ezra bin Abdul Fateh ni?
"Ehemmm... Boleh kamu ulang lagi sekali, Ezra? Kali ni sebut nama penuh terus. Senang pak cik nak double confirmation."
Abah gelak perlahan dengan dahi yang berkerut seribu. Nampak yang abah mula susah hati. Sama macam aku sekarang.
"Saya nak kahwin dengan Nayla binti Ali Imran. Bukan dengan Nasuha." Sepatah-sepatah Ezra bercakap seraya pandang muka aku. Tak cukup setakat pandang guna mata, tangan dia pun ikut sama tunjuk pada muka terkejut beruk aku.
Saat ni semua mata hanya tertumpu pada muka aku. Dalam sekelip mata, aku jadi orang paling terkenal di ruang tamu. Padahal asalnya hanya peneman si kakak. Tiba-tiba berubah jadi subjek utama.
"Astaghfirullahalazim..." Panjang aku beristighfar lalu mengusap dada yang mula berasa semput. Apa yang malang sangat nasib hari ni?
Aku suka plot twist dalam drama dan filem. Tapi plot twist dalam hidup sendiri yang selama ni tenang tanpa sebarang masalah, langsung tak suka. Kenapa Ezra pilih aku dan bukannya along?
Punya bersungguh-sungguh aku promosi along dua minggu lepas. Bukan aku promosi diri sendiri untuk jadi calon isteri. Macam mana dia boleh nak kahwin dengan aku pula? Dia nak prank kami semua? Atau ni semua hanya misi untuk dia balas dendam semata-mata?
Tapiiii... kenapa nak balas dendam pula?
Aku bukan ada buat salah besar pun dekat dia. Hanya cakap banyak je. Kenapa aku yang jadi mangsa sekarang?
"Tahniah, angah. Bukan dapat abang ipar, tapi dapat bakal suami terus. Kategori duda hensem pula tu," bisik along nakal sebelum tersenyum simpul. Sesekali jari dia akan cuit jari aku yang mula rasa seram sejuk serupa orang nak demam.
"Tolong diam, along! Kepala angah tengah loading lagi ni. Kenapa dia tak masuk meminang, along? Bukan rancangan asal, along yang patut kahwin dengan Ezra?" Balas aku masih dalam keadaan berbisik. Tak ambil peduli dengan orang sekeliling yang masih pandang ke arah aku.
Silih ganti aku pandang antara muka mak dan abah sebelum terlepas satu keluhan berat dari mulut. Muka mak nampak terlampau tenang. Reaksi yang luar jangkaan aku sebenarnya. Ingat mak yang akan paling cemas sekali.
Sekarang aku tengok, abah yang paling gelabah biawak. Sekejap-sekejap abah akan tersenyum. Tak sampai sesaat, muka abah akan berubah muram. Ekspresi muka yang sentiasa berubah-ubah akibat daripada perasaan sedang berkecamuk.
"Macam mana, Encik Ali? Ada harapan untuk kita berdua jadi besan?"
Buat kesekian kalinya, suara Pak Cik Fateh bergema di ruang tamu dalam nada berseloroh, namun terasa agak canggung. Mungkin tenggelam dalam suasana yang agak tegang saat ni.
"Saya rasa lebih baik kita tanya tuan badan terus. Alang-alang tuan badan pun ada dekat sini." Berlagu tenang suara abah walaupun riak muka nampak sebaliknya.
"Nayla sudi jadi menantu mak cik?"
Giliran Mak Cik Elisa pula yang jadi tukang tanya soalan. Manakala si anak, hanya duduk tenang sebelah Pak Cik Fateh sambil pandang muka aku.
Sumpah aku rasa menyesal!
Sepatutnya aku duduk berkurung je dalam bilik. Tak payah baik hati jadi peneman along walaupun ni semua atas permintaan mak dan Mak Cik Elisa.
Patutlah beria-ria sangat mak suruh aku teman along dekat ruang tamu. Siap suruh pakai abaya warna biru muda bagai. Rupa-rupanya ada konspirasi rahsia antara mak dan keluarga Ezra.
Aku berdeham dalam dua tiga kali lalu tersengih tayang barisan gigi yang tersusun cantik. Lambat-lambat kaki melangkah ke arah sofa yang terletak sama tengah ruang tamu sambil tarik along sekali.
"Angah minta maaf mak, abah, mak cik, pak cik, along dan Ezra." Aku sebut habis setiap panggilan orang yang ada di depan mata sebelum tarik nafas dalam-dalam dan hembus ikut mulut.
"Saya bukan sombong atau jual mahal. Saya terharu sangat ada orang yang sanggup masuk meminang saya yang tak sempurna ni. Pegang status janda lagi. Cuma..."
Ayat aku tergantung tanpa noktah bila rasa bersalah mula menguasai diri. Lagi-lagi bila anak mata bertembung dengan mata redup Mak Cik Elisa. Nak sambung ayat seterusnya pun rasa gugup semacam.
Tak boleh...
Aku tak boleh macam ni!
Aku kena yakin dengan keputusan sendiri. Jangan sesekali rasa kesian dekat orang lebih daripada kesian dekat diri sendiri. Aku sayang mak sangat-sangat, tapi tak sanggup nak kahwin dengan Ezra. Buat masa sekarang, perkahwinan bukan untuk aku.
"...saya masih sayang status janda saya," sambung aku tanpa rasa gentar dan cukup meyakinkan.
"Angah yakin dengan keputusan angah? Dah habis fikir?"
Buat pertama kali pada pagi ni, mak bersuara. Tadi mak lebih banyak jadi pemerhati keadaan sekeliling.
"Yakin 100%. Angah tak rasa nak kahwin lagi dalam tahun ni. At..."
Tak sempat habis cakap satu ayat yang lengkap, Ezra terlebih dahulu mencelah bersama intonasi suara yang agak dingin. Sama dingin dengan raut wajah dia yang tak pernah mesra alam.
"Tahun depan?" Dia tenung muka aku tak lepas. Serupa aku ni kambing golek yang sedap untuk dimakan bersama sos lada hitam.
"Tahun depan atau lima tahun akan datang, saya masih nak pegang gelaran janda. Tak ada rancangan nak kahwin buat kali kedua."
Aku bercakap dalam keadaan bibir sedang tersengih. Ini satu-satunya cara untuk mengelak aku daripada meletup macam gunung berapi.
"Tahun keenam?" Soal dia bersahaja.
Tapi aku rasa, ibarat dia tengah provoke kesabaran aku pun ada. Cara dia sekarang serupa hanya ada kami berdua saja di ruang tamu. Padahal banyak mata yang sedang jadi penonton drama swasta kami sekarang.
Tak tahu malu dengan orang tua sungguh!
"Tahun keenam... ketujuh sampai tahun kesepuluh, saya tetap akan pegang status janda. Sehingga ke hujung nyawa," balas aku senada. Gaya orang malas nak melayan, tetapi bibir tetap tersenyum.
Tak sepatutnya ayat macam tu terpacul keluar dari bibir. Sebab jodoh ni rahsia Allah. Mana tahu tup-tup hujung tahun ni aku jumpa jodoh. Cuma buat masa sekarang, kahwin bukan agenda utama dalam hidup.
Aku baru nak rasa tenang lepas tengok Ezra angguk kepala berkali-kali. Tanda dia puas hati sangat dengan jawapan tadi. Tapi tak sampai seminit, along dah rentap rasa tenang di hati dengan satu bisikan yang memang minta penampar sungguh.
"Sayangnya, angah... Hot tahap gaban kut Ezra tu," bisik along gedik. Bukan setakat suara je gedik, jari along pun ikut tergedik sama. Duk main kuis hujung jari dan paha aku.
Geram aku dengan along!
Waktu dia mood senyap, jangan harap nak dengar suara dia. Waktu datang mood rajin dia atau tengah gelisah, mulut dia akan berceloteh tanpa henti. Lagi-lagi selepas berjumpa dengan lelaki yang ada aura bad boy macam Ezra. Makin menjadi-jadi perangai gila dia.
"Along cubalah masuk jarum tengok. Dia memang taste along," balas aku perlahan dengan gigi yang terketap rapat.
Sesekali bebola mata aku akan melilau ke merata tempat. Tengah perhati setiap wajah manusia yang sedang duduk di sofa. Macam-macam ekspresi muka yang aku nampak. Ada yang muram. Dan ada juga, yang kekal tenang sampai ke sudah.
"Memang taste along. Tapi along lebih suka Ezra sebagai bakal adik ipar daripada bakal suami." Along gelak gatal di hujung ayat.
Kurang asam jawa punya along!
Kalau Ezra tu memang cita rasa dia, kenapa dia tak berusaha untuk rebut hati si duda. Kenapa dia rela hati serah Ezra pada aku?
Aku rasa macam ada pakatan rahsia antara Ezra dan along. Tak kisahlah kalau ada pakatan rahsia sekalipun. Kenapa aku yang jadi target utama? Apa salah aku yang tak berdosa ni?
Spontan aku cubit geram lengan along.
Ni semua salah Nasuha binti Ali Imran!
Kalau along tak cirit-birit dua minggu lepas, sah hidup aku masih bahagia. Aku takkan berada situasi genting macam ni.
"Jadi..."
Hanya sepatah perkataan tu yang sempat meniti di bibir Pak Cik Fateh sebelum Ezra potong terus tanpa sebarang signal. Ayat yang buat aku pening kepala dan satu rumah sunyi sepi. Mungkin terlampau terkejut dengan perangai gelojoh lelaki yang bernama Ahmad Ezra.
"Saya nak keluar dengan Nayla boleh, pak cik?" Ezra bercakap dengan abah, namun matanya tertumpu pada muka aku.
"Untuk?" Tanya abah sepatah.
"Ada benda saya nak cakap dengan dia. Private."
Private atau secara terbuka, keputusan sama sekali takkan berubah. Aku takkan terima dia sebagai suami!
"Bila?"
Soalaan abah masih sepatah. Ibarat dah berjangkit dengan perangai berat mulut Ezra. Hanya hari ni Ezra cakap lebih daripada sepatah perkataan dalam satu masa. Mungkin kerana keadaan yang mendesak.
"Sekarang." Sambil bercakap, Ezra bangkit berdiri. Padahal abah tak sempat respons apa pun lagi.
Kenapa gelojoh sangat lelaki ni?
Bila anak mata abah jatuh pada muka aku, laju aku geleng sebagai jawapan. Punya bersungguh-sungguh si anak goyang kepala ke kanan dan ke kiri. Malangnya, jawapan balas abah langsung tak berpihak pada aku.
"Boleh. Cuma tolong jaga anak pak cik baik-baik. Nayla masih milik pak cik walaupun dia pernah berkahwin sebelum ni." Ayat abah ringkas, tetapi membawa maksud yang mendalam.
"Insya-Allah, pak cik."
Balasan Ezra yang langsung tak mampu buat bibir tersenyum lebar. Aku rasa menyesal tak sudah je sekarang. Kenapa akhirnya, aku yang jadi mangsa keadaan?
Ni semua salah Ezra!
Dia yang gila. Aku pun terpaksa ikut jadi gila sama. Tunggu aku balas dendam nanti. Dia akan rasa terseksa lebih teruk daripada aku. Sesuka hati dia je tukar rancangan mak dan Mak Cik Elisa.

p/s: ni versi belum edit lagi 😅

UBAT CINTA - PBAKL 2023Where stories live. Discover now