Bab 6

80 8 2
                                    

Takkan masa aku hari ni hanya untuk Ahmad Ezra seorang je? Tak boleh buat aktiviti lain selain daripada menghadap muka tak ada perasaan dia? Takkan sampai malam aku kena luang masa dengan dia?
Uishhh, gila!
Ini memang kerja gila!
Boleh kering-kontang segala tenaga bersosial aku kalau kena menghadap muka dia lebih dari dua jam. Dia dahlah malas bercakap. Perangai pula sekejap beku. Sekejap mesra. Jenis unpredictable.
Mampus aku macam ni!
Ingat lepas sembahyang zuhur dekat masjid, dia akan hantar aku balik ke rumah dalam keadaan selamat jiwa dan raga. Sekali dia heret aku pergi ke kedai kain. Musim raya dah habis bulan lepas. Dia nak beli kain untuk apa pula?
Mungkin dia nak buat baju Melayu untuk pergi masjid setiap malam kut. Aku cuba husnuzon walaupun kepala lutut dah mula rasa lenguh semacam.
Dia parkir kereta punyalah jauh. Jenuh aku berjalan dengan pakai abaya di bawah panas terik cahaya matahari. Habis terbakar segala lemak makan kek dan pastri sejam yang lepas.
Dia suka sungguh seksa jiwa dan raga aku. Ibarat dia ada simpan dendam dengan aku pun ada. Aku pernah aniaya dia ke sebelum-sebelum ni?
“Awak nak beli kain?”
Sebagai seorang manusia yang peramah, sudah tentu aku akan mula bersuara dulu. Nak tunggu Ezra buka mulut, rasanya serupa tunggu ayam jantan bertelur. Benda yang tak mungkin sama sekali akan terjadi.
Dia cuma angguk sebagai jawapan. Macam selalu. Jarang dia nak jawab guna suara.
“Untuk?”
Aku pandang muka dia dalam menanti jawapan. Manalah tahu dia bagi jawapan dalam bentuk gerakan tubuh badan. Jadi, aku kena bersiap sedia dari awal untuk jadi tukang terjemah.
“Pengapit,” jawab dia sangat perlahan. Lebih pada berbisik sambil tangan kanan dia sentuh gulungan kain berwarna-warni yang tersusun kemas di rak.
Terlopong luas mulut aku. Terlampau terkejut sampai tak terkawal ekspresi muka. Pengantin mana yang terdesak tahap infiniti sangat tu? Sampai sanggup pilih manusia yang paling susah senyum jadi pengapit.
Sah semua gambar kahwin yang ada muka Ezra sebagai pengapit, akan hodoh tahap gaban. Jahanam habis semua gambar kahwin pengantin nanti. Takkan ada satu pun yang boleh simpan sebagai kenangan untuk anak cucu. Terasa sadisnya hidup si bakal pengantin!
“Pengapit untuk siapa? Kawan awak?” Soal aku teragak-agak pada mulanya. Takut kena cap penyibuk. Tapi kalau tak tanya, perasaan sendiri juga yang terseksa.
Ezra angguk dengan badan yang statik menghadap ke arah rak kain. Dia tak pusing pandang aku langsung meskipun untuk sesaat. Selalu suka sangat pandang muka aku. Sampai tak berkedip kelopak mata.
Mungkin sekarang dia dah mula hanyut dalam dunia kain yang berwarna-warni. Terlampau ralit tengok kain yang ada pelbagai warna dan semuanya cantik-cantik. Kiranya, dia tak bodoh warna seperti Naim a.k.a adik aku.
“Owhhhh…” Tarik aku lebih panjang daripada biasa seraya garu hujung kening. Rasanya bakal pengantin tu kawan baik Ezra. Kalau setakat kawan hangat-hangat tahi ayam, tak mungkin tawar jawatan pengapit pada lelaki beku sebelah kanan aku ni.
“Awak yakin kawan awak suruh jadi pengapit?”
Dia angguk berkali-kali. Sangat yakin dengan jawapan sendiri. Hanya aku yang masih tak berapa yakin lagi.
“Mungkin… P yang lain?” Aku tekan huruf P guna suara paling dalam. Nak highlight huruf P yang boleh membawa maksud lain selain daripada perkataan pengapit.
Ezra pandang aku dengan kening terangkat sebelah. Ibarat tengah minta penjelasan lebih panjang untuk ayat aku tadi.
“P… yang membawa maksud pokok?” Soal aku sangat perlahan lalu tersenyum sumbing.
Dia hanya pandang je muka aku dengan mata kuyu. Tak nampak marah atau tengah tahan geram. Cuma pandangan kosong semata-mata.
“Betul sebagai pengapit? Bukan sebagai pokok untuk prop tambahan majlis kahwin kawan awak? Manalah tahu majlis kahwin kawan awak tema garden wedding.” Olah aku selamba badak. Seolah-olah tengah mengambil kesempatan pada ketenangan Ezra.
Ezra bergerak ke depan dalam satu langkah. Makin rapat dengan aku sebelum dia tunduk separuh badan. Biar muka aku sama paras dengan pandangan matanya.
“Pengapit.” Senada suara dia sambil merenung tunak ke dalam mata aku. Renungan yang buat dada aku terasa semput.
“Renungan mata yang mempunyai kuasa.”
Spontan aku menyanyi dengan kaki yang bergerak ke belakang. Mencipta jarak selamat. Dalam masa yang sama, nyanyi untuk tunjuk yang aku masih boleh berlagak biasa. Tak hanyut dengan renungan sepasang mata dia yang agak memukau.
“Awak jangan marah saya. Saya tanya untuk kepastian. Tak nak terus tersesat dalam persoalan yang tiada jawapan.” Sayu je nada suara. Pura-pura sedih bila matanya masih tenung aku serupa nak telan.
Ezra angguk lalu pusing menghadap ke depan. Tengah belek gulungan kain dengan sebelah tangan berada dalam poket seluar khaki berwarna hitam. Dipadankan dengan kemeja warna biru muda. Sama warna dengan abaya aku. Nampak macam pasangan bercinta pula bila pakai baju sama warna.
Cepat-cepat aku beristighfar dalam hati. Tak mahu aku bercinta dengan Ezra. Minta simpang malaikat 44!
“Tak sangka awak ada kawan. Saya ingat awak suka hidup terasing dari dunia luar. Tak suka bergaul dengan orang.”
Aku bercakap sekadar untuk mewujudkan suasana yang lebih mesra. Rasa canggung pula bila duduk senyap sambil tengok dia pilih kain.
“Saya memang tak suka bergaul atau bersembang dengan orang.”
Setelah sekian lama, baru banyak sikit patah perkataan yang keluar dari mulut Ezra. Itu pun dengan intonasi yang agak dingin. Seolah-olah dia terpaksa bercakap.
“Termasuk saya yang awak paksa keluar hari ni, kan?” Aku tunjuk muka sendiri. Konon minta izin abah untuk bercakap benda privasi dengan aku.
Tapi sampai sekarang, hanya aku je yang rajin berceloteh. Mulut dia ibarat ada limit patah perkataan yang boleh keluar dalam masa sejam. Dia cakap tak sampai 100 patah perkataan pun lagi rasanya.
“Kalau saya rajin bercakap, boleh jadi suami awak?” Soal dia dalam keadaan berbisik. Soalan yang sangat cepumas sampai kelu habis lidah aku untuk membalas.
Dan tak sampai lima saat, Ezra dah bercakap dengan jurujual perempuan yang ikut belakang kami sejak tadi. Yang setia jadi penonton untuk drama swasta kami berdua.
Dia ingat sekadar rajin bercakap dah boleh jadi suami aku?
Polos betul pemikiran anak lelaki Mak Elisa. Jenis fikir straight forward. Dan pada masa yang sama, boleh nampak yang dia memang bersungguh-sungguh nak kahwin dengan aku, tapi kenapa?
Sampai sekarang, aku masih belum dapat jawapan yang paling tepat dan menyakinkan daripada pihak Ezra. Jawapan dia dekat kafe tadi lebih pada merepek daripada logik.
Perlahan-lahan aku tepuk pipi lalu mengatur langkah ke arah Ezra yang sibuk pilih kain baju Melayu. Dari mata kasar, nampak yang dia pandai dan arif sangat bab memilih warna kain. Padahal hakikat yang sebenar, dia blur. Aku boleh agak bila tengok kelopak mata dia terpejam celik berulang kali. Sesekali dia akan garu belakang telinga sebelum mengeluh panjang. 
“Selain warna off white, awak nak beli warna apa lagi? Apa pilihan warna kawan awak, Ezra?” Soal aku ramah. Tadi Ezra dah pilih kain warna off white. Jurujual pun dah siap potong dan lipat.
Selalunya hanya bakal pengantin yang akan pakai warna putih waktu majlis akad nikah. Ezra bukan pengantin, tetapi pengapit. Kenapa dia pilih warna off white? Aku risau dia tersilap beli je.
Agaknya untuk majlis akad nikah, semua wajib pakai warna off white kut. Tak kisah sama ada pengantin, pengapit ataupun tetamu yang datang memeriahkan majlis. Semuanya wajib pakai tona warna yang sama. Baru nampak seragam dalam gambar. Tak cacamarba.
“Nude.”
Aku tergelak hambar dalam hati.
Dia dengan Naim memang boleh jadi kawan baik sehidup semati.
Kedua-duanya bodoh warna!
Ezra sebut warna nude, tetapi mata dia tengah belek gulungan kain berwarna kuning cair. Sejak bila warna nude bertukar jadi warna kuning cair?
Aduh, lawaknya aku rasa!
“Ini warna apa, Encik Ahmad Ezra?” Aku pura-pura tanya untuk double confirmation. Rasanya dia tak sampai tahap buta warna. Cuma terlebih yakin dengan kekurangan diri sendiri.
“Nude.”
Yakin sungguh dia bagi jawapan bersama muka kejur. Tak nampak teragak-agak sampai jurujual yang sedang duduk bersandar pada rak pun ikut terkejut beruk sama. Aku pula hanya mampu mengucap panjang dalam hati sambil menepuk dahi.
Haru betul anak kedua Pak Cik Fateh ni!
“Ni bukan warna nude. Ni warna kuning cair. Takkan awak tak reti beza antara warna nude dengan warna kuning?” Aku garu kepala yang mula berasa gatal.
“Nude bukan bogel?” Senada dan tak terbias sebarang emosi di wajahnya. Ibarat bogel tu perkataan yang selalu dia sebut dan bukannya keluar sekali sekala secara mengejut.
Allah…
Lama-lama boleh stres aku!
Nasib baik dia tak bogel terus sebagai contoh tambahan. Hanya perkataan ‘bogel’ je yang meniti di bibir dia.
Aku pusing belakang untuk tengok muka jurujual yang sedang tahan gelak sebelum tunduk kepala sikit sebagai tanda minta maaf. Takut juga dia rasa tak selesa dengan ayat selamba Ezra.
“Nude tu campuran warna antara coklat dan putih. Dalam bahasa mudah, warna coklat cair. Contoh paling senang awak nak faham, macam warna kulit manusia. Tapi jangan bayang, nude bogel pula,” marah aku dengan intonasi suara yang agak perlahan. Cukup hanya telinga Ezra je dengar. Takut orang lain pun tumpang dengar sama. Tak fasal-fasal kena cap sebagai pasangan lucah.
“Ni baru warna nude. Warna yang kawan awak pilih,” sambung aku seraya tunjuk gulungan kain yang berwarna nude. Tak ada langsung campuran warna kuning cair seperti yang dia tunjuk beberapa minit lepas.
“Awak nak berapa meter?” Aku tanya soalan lain pula. Malas nak panjang isu warna nude a.k.a bogel mengikut kefahaman Ahmad Ezra.
Dia balas dengan tunjuk tapak tangan kanan betul-betul depan muka aku. Dan sebagai seorang teman membeli-belah yang baik, aku terpaksa jadi tukang terjemah bahasa badan dia pada jurujual.
“Lima meter, adikkkk…” Aku tarik panjang bukan sebab nak menggoda. Tetapi dengan harapan, jurujual tu akan balas bersama nama panggilan dia. Penat pula duk ulang panggil jurujual. Rasa macam skema banget.
“Wangi,” sambung si adik jurujual yang bernama Wangi lalu tersenyum nipis. Nasib baik dia cepat tangkap. Tak payah aku susah-susah tanya soalan yang sama berulang kali.
Kenapalah kedai kain ni tak suruh jurujual pakai tanda nama? Lagi bertambah senang kerja semua pembeli kain. Boleh panggil jurujual pakai nama terus. Nampak lebih sopan dan tertib.
“Awak nak beli kain warna apa lagi?”
Tumpuan aku kembali fokus pada Ezra bila Wangi sudah mula kerja memotong kain berwarna nude. Pada masa sekarang, Ezra tengah belek gulungan kain berwarna ungu lavender. Harap tak keluar warna atau perkataan pelik-pelik lagi dari mulut dia. Aku dah tak larat nak hadam perangai terlebih yakin dia tu.
“Warna soft pink.”
Allah...
Terseksa jiwa dan batin aku petang ni!
Baru sebut, dia dah mula merepek yang bukan-bukan. Dia ni dah tahap minta azan sekali iqamat. Warna merah jambu muda pun tak kenal. Padahal warna tu paling mudah sekali selepas warna lampu isyarat.
“Bukan… Bukan… Tu bukan warna soft pink…” Aku geleng sambil kedua-dua belah tangan pegang pipi. Muka memang stres habis.
“Soft pink tu warna kulit babi. Oink… Oink… Oink…”
Secara automatik, terkeluar bunyi babi dari bibir. Dah terbiasa sebut perkataan babi satu pakej dengan bunyi sekali. Sampai depan Ezra pun, aku masih buat perangai yang sama.
Dan bagusnya tayang perangai bodoh depan orang kaku, Ezra cuma pandang aku dengan reaksi biasa. Tiada pandangan menganjing atau tersenyum sinis. Ibarat dia reda je dengan perangai selamba aku.
“Bukan babi hutan yang warna hitam tu. Ni babi yang selalu jatuh tergolek atas jalan raya. Yang selalu masuk dalam surat khabar. Kulit babi tu warna soft pink. Yang awak tengah pegang ni, warna ungu.”
Aku bagi penerangan habis terperinci. Siap ada contoh tambahan. Kalau dia masih merapu, memang dahi dia akan dapat penampar percuma daripada pihak aku.
Ezra angguk dalam dua tiga kali. Mungkin empunya badan dah mula faham dan reti beza antara warna merah jambu dengan ungu.
Ingat setakat itu saja reaksi daripada Ezra. Rupa-rupanya, sangkaan aku meleset sama sekali. Ada lagi tambahan ayat dalam bentuk soalan yang boleh buat kepala makin serabut.
“Awak jadi isteri saya, boleh?” Dia pandang tepat ke dalam mata aku. Renungan yang penuh dengan harapan walaupun muka dia kekal kosong tanpa riak.
“Kenapa saya, Ezra?” Soalan aku masih sama seperti di kafe. Kenapa dia pilih aku sebagai calon isteri? Padahal ada along yang jauh lebih layak.
Aku rasa dia ada alasan yang lebih kukuh. Cuma dia pilih untuk simpan seorang diri. Tak boleh berkongsi dengan sesiapa pun termasuk aku.
“Awak tak buta atau bodoh warna.”
“Huhhh?” Terkeluar bunyi pelik dari bibir aku. Ulasan dia sentiasa buat aku rasa geram. Dan adakalanya, terasa bengap.
“Sesuai untuk saya yang bodoh warna. Jom kahwin, Nayla.”
Dan secara automatiknya, aku tayang aksi olengan mata.
Menyampah!
Mudah sungguh dia ajak kahwin. Serupa ajak pergi makan dekat kedai mamak. Lancar dan tak teragak-agak langsung. Dia ingat kahwin serupa main pondok-pondok?
Balik-balik duk ajak kahwin. Macam terdesak sangat nak tukar status duda jadi suami orang. Nak kata mengandung luar nikah, tak ada rahim. Nak kata jenis lelaki gatal, 24 jam dia beku. Sah dia ada agenda yang tersembunyi ni.
“Wangi masih bujang?” Tanya aku secara tiba-tiba. Tak ada mukadimah ataupun ucapan salam sampai terjegil biji mata Wangi gara-gara terkejut.
“Wangi nak kahwin dengan Abang Ezra? Dia bujang lagi. Kaya pun kaya. Muka hensem macam model. Wangi nak cuba kenal dengan Abang Ezra, tak?”
Itu soalan aku yang seterusnya selepas Wangi angguk berkali-kali sebagai jawapan yang dia masih bujang.
Ezra hanya pandang aku dengan reaksi muka biasa. Aku susah nak faham dia. Tak tahu sama ada dia terlampau tenang ataupun perasaan marah tak pernah wujud dalam kamus hidup dia. Muka dia sentiasa kaku tanpa ekspresi.
“Minta maaf, akak. Saya tak berminat. Lagipun, Abang Ezra tunang akak. Saya tak suka kacau hak orang. Dan saya rasa, akak dengan tunang akak sepadan sangat. Bagai pinang dibelah dua.” Wangi bercakap sambil tangan dia tunjuk aku dan Ezra berulang kali. Sebelum akhirnya, dia tayang mini love.
Jantung aku macam nak keluar terus dari badan. Ayat membongak apa yang aku baru lepas dengar ni? Sejak bila kami bertunang? Kapan majlis tunangnya?
Bohong sangat kami ni bagai pinang dibelah dua. Aku rasa serupa pinang dibelah 10. Tak sepadan langsung. Ibarat nasi lemak bergabung dengan wasabi. Tak boleh terima dek anak tekak dan akal fikiran.
“Bila masa saya tunang awak?” Menyinga suara aku dan sesekali akan tersenyum nipis untuk Wangi yang sedang tengok kami berdua.
“Assalamualaikum, my fiancé,” bisik Ezra lalu dia sumbat kotak cincin dalam poket depan beg sandang aku sebelum kakinya bergerak ke arah kaunter.
Kurang asam!
Dia tinggal aku terkontang-kanting macam ni je?
“Waalaikumussalam, bakal penghuni keranda.” Aku jawab salam dia dalam keadaan tengah menggenggam erat kotak cincin. Boleh sumbat kotak cincin ni dalam mulut dia bagus juga. Baru puas hati!

UBAT CINTA - PBAKL 2023Where stories live. Discover now