Bab 8

65 5 1
                                    

Setiap hujung minggu, dah jadi rutin wajib aku untuk joging sekeliling tasik buatan manusia. Aku mula aktiviti sihat ni selepas berhenti kerja dua tahun lepas. Dulu joging untuk kurangkan berat badan. Sekarang untuk jaga kesihatan tubuh badan.
Kalau tak joging, sah badan akan terasa lemau macam biskut kering masuk angin. Nak angkat tangan pegang benang dan jarum pun tak larat. Pendek kata, joging dah jadi salah satu rutin kegemaran aku selain daripada makan.
Malangnya aktiviti joging hari ni dah hilang nikmat, bila batang tubuh Ezra menyapa pandangan mata. Walaupun jarak dia masih jauh daripada aku, selang dua batang tiang lampu. Tapi aku yakin, itu memang dia. Mata aku sentiasa peka dengan kewujudan dia. Sebab lelaki tu, ibarat membawa aura hitam dalam hidup.
“Perlu ke aku patah balik? Atau terus maju ke depan? Pura-pura tak nampak dia yang sepanjang galah tu?” Aku garu kepala yang mula berasa kusut.
“Atau aku kena sembunyi belakang pokok?” Aku sambung monolog dalam hati sambil tangan kanan makin kuat menggaru kepala. Bila tengah serabut, memang aku akan garu kepala. Tabiat semula jadi dari kecil selain gigit kuku.
Arghhh… lantaklah!
Sambung je joging macam biasa. Anggap je Ezra tu salah satu pokok yang ada dekat sekeliling tasik. Sebelum ni pun, memang dia dah macam pokok berkaki dua. Terlampau kedekut emosi dan suara.
“Buat-buat bodoh… Buat-buat bodoh… Buat-buat bodoh…” Aku mengomel ayat sama berulang kali hingga melepasi badan Ezra yang menghala ke arah timur. Aku pula menghala ke arah barat.
Bila dah terasa jauh, baru aku berhenti joging dan mula berjalan seperti biasa. Tadi aku joging laju lah juga. Serupa tengah lari pecut 100 meter pun ada. Punya takut dia nampak muka aku kalau joging dengan kadar kelajuan yang agak perlahan.
“Nayla.”
Spontan bibir mengeluh kuat ketika nama sendiri yang menyapa ke gegendang telinga. Sehabis daya aku mengelak daripada berselisih dengan dia, tup-tup dia dah berjalan di sebelah kanan badan.
Sejak bila Ezra pandai tegur orang terlebih dahulu? Selalu susah sangat nak buka mulut. Tapi bila fikir balik, tingkah laku dia tak pelik pun sebenarnya. Sebab pendiam dia versi yang berbeza daripada Naim. Pendiam dia versi matang campur duda.
Ezra akan bersuara mengikut keperluan dan mood dia. Dia tak bergantung pada orang dan keadaan sekeliling. Kalau rasa tak perlu dan cukup jawab guna gerakan badan semata-mata, baru dia akan angguk atau geleng.
Dan kadang-kadang, tergantung sepi tanpa ada sebarang balasan daripada pihak dia. Kalau tergantung sepi tanpa jawapan, maksudnya tiada keperluan atau kepentingan untuk dia jawab. Dia bukan penting diri, tetapi lebih pada lindungi diri sendiri.
Rasanya ni teori yang paling tepat untuk Ahmad Ezra bin Abdul Fateh. Bersusah payah aku bandingkan antara pendiam dia dengan Naim. Nak banding dengan pendiam along, tak sesuai sebab berlainan jantina. Tak sekufu.
Bila dapat kesimpulan macam ni, baru senang untuk aku lebih faham diri dia yang sebenar. Tak adalah aku nak meroyan sepanjang masa bila dia diam seribu bahasa. Hidup kami pun sama-sama aman.
Ezra petik jari di hadapan muka aku. Mungkin dia perasan aku tengah mengelamun jauh. Hanya jasad yang berada di depan mata, namun fikiran melayang entah ke mana hala.
“Ooooo… hai bakal abang ipar tak jadi,” tegur aku pura-pura ceria sambil melambai tangan kanan. Punya lama dia terconggok di depan mata. Baru sekarang ada balasan daripada aku.
Dia angguk lalu balas lambaian tangan aku. Lambaian yang cukup lemah serupa orang tak makan nasi sebulan.
“Sebelum ni tak pernah nampak pun muka awak. Atau… awak stalk saya, Ezra?” Aku tunjuk muka dia bersama mata yang merenung tajam.
Sejak-sejak dia muncul dalam hidup aku bulan lepas, selalu sangat kami akan bertembung. Padahal sebelum-sebelum ni, dia tak pernah wujud pun dalam rutin harian hidup aku meskipun dia anak kawan baik mak.
Dia angguk tanpa rasa bersalah atau takut.
“Sejak kapan?” Tanya aku dengan raut wajah yang mula tegang. Aku tak stres bila dia respons dalam bentuk anggukan kepala. Cuma rasa tertekan bila secara tiba-tiba, dia jadi stalker tanpa alasan yang munasabah.
“Sejak awak muncul dalam hidup saya… kali kedua,” balas dia sambil tarik lengan baju aku supaya ikut dia bergerak ke bawah pokok. Tadi kami berdiri sama tengah dengan laluan.
Kali kedua?
Gara-gara ayat dia yang terakhir, berkerut seribu dahi aku. Bukan kali kedua pertemuan kami, dia yang serah diri datang ke rumah. Masuk meminang aku secara tiba-tiba. Kenapa sekarang…
Dia ibarat salah diri aku balik?
Serupa aku pula yang goda dia siang malam sampai dia berubah menjadi seorang stalker. Tak faham eden!
“Awak memang suka saya tahap bangang ke, Ezra?” Sengaja aku guna perkataan bangang dan bukannya gila. Sebab cara dia dah serupa orang bodoh. Walaupun dah berpuluh kali kena tolak, dia tetap juga muncul di depan mata.
Ezra tak angguk atau geleng. Dia hanya tenung anak mata aku dalam-dalam sampai badan mula terasa seram sejuk. Padahal tengah berada di bawah terik cahaya matahari pagi.
“Saya nak sambung joging. Awak nak join saya sekali?”
Itu yang terlepas dari mulut selepas aku berdeham dalam dua tiga kali. Pelawa semata-mata untuk hilang rasa canggung.
Sepantas kilat dia angguk bersama anak mata yang masih melekat pada muka aku. Kadang-kadang rasa, dia ni obsesi dengan muka cantik aku pun ada. Boleh tenung sampai lupa habis dunia sekeliling. 
“Awak boleh join saya, tapi dengan satu syarat. Awak dilarang sama sekali sebut soal nikah kahwin atau perkataan suami isteri. Saya tak berminat. Boleh?” Cukup garang intonasi suara aku bersama mata yang terjegil. Dengan harapan orang depan akan berasa gerun.
Dia masih jawab dalam bentuk anggukan kepala. Cuma ada tambahan gerakan tangan kali ni. Dia angkat tangan sama paras dengan dada sebelum bersuara dengan nada yang agak perlahan. Ibarat tengah berbisik.
“Saya janji.”
“Kalau awak langgar janji awak, saya akan gadai suara mahal dan anak tekak awak dekat Ar Rahnu. Tak pun… saya lempar awak masuk dalam tasik. Biar jadi makanan ikan. Jangan main-main dengan saya, Ezra.” Masih garang amaran yang berlagu keluar dari mulut aku.
Aku jeling Ezra sekilas sebagai peringatan yang terakhir. Kemudian, baru sambung kembali aktiviti joging yang terbantut tadi. Mula-mula memang kaki beria-ria joging. Tapi akhirnya, aku sekadar jalan melenggang kangkung. Rasa malas pula nak joging bila ada teman. Tak biasa. Selalunya seorang diri je.
“Awak selalu joging?” Aku tanya soalan rambang untuk hilang rasa kekok. Bila sama-sama senyap dan jalan sebelah-menyebelah, rasa macam pengantin baru yang tengah mengatur langkah masuk ke dalam dewan kenduri kahwin lah pula.
“First time selepas 10 tahun.”
Terlopong luas mulut aku. Dahsyat juga usaha Ahmad Ezra dalam nak bertentangan mata dengan aku. Sampai sanggup joging balik selepas 10 tahun berehat.
“Awak tak suka joging? Lagi suka main gim?”
Aku menyoal berdasarkan bukti yang terbentang depan mata. Bentuk badan dia tak sekeping macam papan, tetapi berotot. Taklah sama besar dengan otot lengan Zul Ariffin. Just nice orang panggil. Boleh nampak yang dia memang salah seorang ahli gim. Kalau setakat tekan kalkulator hari-hari, mana boleh dapat badan macam tu. Jauh panggang daripada api.
Walaupun aku tanya dua soalan, tetapi tindak balas Ezra cuma satu. Dia hanya angguk bersama kepala yang lurus memandang ke depan. Rasanya angguk tu sebagai jawapan untuk soalan kedua. Untuk soalan pertama, aku kena pandai-pandai buat konklusi sendiri.
“Saya lagi suka joging daripada terperuk dalam gim. Kalau joging, boleh cuci mata tengok pemandangan cantik macam ni. So… kenapa awak tak suka joging?”
Aku guna cara lain untuk menarik minat dia supaya bersembang. Tak adalah duk ulang-alik angguk dan geleng. Takut lama-lama tercabut kepala dari pangkal leher. Jadi penanggalan versi lelaki terus.
“Saya tak suka berjumpa dengan manusia. Gim lebih private.”
Jawapan tanpa intonasi Ezra buat aku keliru lama dengan identiti diri sendiri. Aku ni belum cukup manusia ke pada pandangan mata dia?
“Awak nampak saya macam monyet ke selama ni?”
Waktu sebutan ‘monyet’ meniti di bibir, aku siap buat gaya macam monyet yang suka tepuk tangan di atas kepala dan garu bawah ketiak. Punya bersungguh-sungguh nak highlight perkataan monyet.
Tapi bekunya seorang Ezra, dia hanya pandang aksi bodoh aku dengan renungan kosong. Tak nampak langsung yang dia tengah tahan gelak, malu atau marah. Hati dia beku tahap infiniti sungguh.
“Awak nampak saya macam monyet dekat hutan? Tak nampak saya yang cantik ni macam manusia?” Aku ulang soalan yang sama lagi sekali. Cuma kali ni lebih panjang dan agak terperinci.
“Monyet?” Sepatah dia menyoal seraya badannya menghalang aku dari terus melangkah ke depan. Dia berdiri terpacak depan aku bersama kedua-dua belah tangan di sisi.
“Tadi awak kata tak suka berjumpa dengan manusia. Tapi…” Aku pandang dia atas bawah lalu tersenyum tipis.
“…awak sentiasa cari peluang untuk muncul depan saya yang manusia ni. Tu yang saya rasa pelik sangat. Awak ni tak nampak saya macam manusia? Awak nampak saya macam monyet?” Sambung aku selepas beberapa minit.
“Awak cukup manusia pada mata saya.”
Dia senyum nipis yang berlangsung selama lima saat. Tak sempat nak hadam, senyuman dia dah pudar. Mungkin kalau senyum lebih dari seminit, dia boleh sawan babi.
“Dan pada mata saya pula, awak manusia unpredictable seperti virus.” Aku gelak gedik di hujung ayat. Gelak supaya tak nampak sangat aku baru lepas menganjing.
Ezra tenung je muka aku sebelum kakinya mula mengatur langkah kembali. Mula-mula dia jalan jauh ke depan. Tinggal aku seorang berjalan di belakang.
Dan tiba-tiba, kaki dia melangkah ke belakang hingga sama kedudukan dengan posisi kaki aku. Kemudian, dia melangkah maju ke depan dalam gerakan yang agak perlahan. Sama perlahan dengan langkah kaki aku. Dia dah tak menonong macam tadi.
Mungkin dia nak jalan seiring dengan aku. Sebab tu dia sanggup patah balik. Kalau dia jalan laju sekalipun, aku tak kisah. Aku dah terbiasa joging seorang tanpa ada peneman.
“Ezraaa…” seru aku sopan.
“Awak akan joging lagi selepas hari ni? Atau fokus pada aktiviti gim yang lebih privasi dan kurang gangguan manusia.” Soal aku sebaik saja dia pusing pandang ke muka. Kerana berada di kawasan tasik, soalan pun masih tentang joging dan gim. Takkan tiba-tiba nak tanya tentang bekas isteri dia pula?
Menyimpang jauh sangat tu!
Walaupun aku jenis cakap lepas, tapi takkan sampai tahap menyentuh hak privasi orang lain. Aku hanya akan tanya benda yang nampak pada pandangan mata. Yang melibatkan isu dalam kain, aku akan mengelak sehabis boleh.
Kepala Ezra bergerak ke bawah. Tanda mengiakan.
“Why?”
“Sebab awak suka joging.”
Aduh!
Itu bukan jawapan manis, tapi satu beban untuk aku yang masih sayang status janda. Tapi bila dia bercakap dalam nada yang dingin, boleh aku pura-pura pekak. Dan tanpa rasa bersalah, tukar topik baru.
“Umur awak dah 35 tahun. Selama 35 tahun ni, ada benda tak yang awak teringin sangat nak buat dalam hidup? Dapat buat sekali pun dah cukup. Ada tak?” Habis umum soalan aku. Tak berkait langsung tentang soal hati, perasaan dan masa lalu.
“Umur awak?”
Ezra balas soalan aku dengan soalan juga. Nampak sangat dia nak mengelak daripada jawab soalan aku. Selalunya dia akan jawab je soalan aku tanpa banyak bunyi.
“Umur saya 30 tahun. Saya muda daripada awak lima tahun. Saya lahir pada 31 Ogos. Tepat pukul 12 tengah malam.” Dia cuma tanya tentang umur, tapi aku cerita habis sampai tarikh lahir. Nama pun perempuan. Sah akan cerita dari A sampai Z.
“Patutlahhh…”
Hanya sepatah perkataan tu saja komen yang aku dapat sebelum empunya suara lari pecut jauh ke depan. Tinggal aku terkontang-kanting berjalan seorang diri dekat belakang.
Geramnya!
Sah dia baru lepas mengutuk aku dalam hati. Sama je macam orang lain bila tahu tarikh lahir aku. Yang mulut aku ni sama bising dengan bunyi tembakan bunga api pada malam 31 Ogos. Sebab tu, cuma perkataan ‘patutlah’ yang muncul keluar dari mulut dia tadi.

p/s: versi belum edit ❤️

UBAT CINTA - PBAKL 2023Where stories live. Discover now