Bab 4

74 6 1
                                    

Masuk dalam kereta Ezra, aku tak ubah seperti mayat hidup. Masih bernyawa, tetapi tak ada sepatah perkataan yang keluar dari mulut. Kepala hanya statik pandang ke depan. Sekali pun anak mata tak jeling ke arah dia yang sedang duduk di bahagian kerusi pemandu.
Pakai kereta punyalah mewah lagi mahal, tapi sunyi sepi macam van jenazah. Radio pun tak buka. Kalau buka radio, adalah suara orang lain dalam kereta ni. Sekarang hanya dengar bunyi nafas kami berdua je. Lagi berdegup kencang jantung aku serupa nak tercabut dari badan.
Tak boleh macam ni!
Aku kena bersuara juga. Takkan nak diam sampai ke sudah?
Boleh terseksa jiwa dan raga aku menepis beribu persoalan dalam kepala. Takut tidur malam ni tak nyenyak. Gara-gara terlampau susah hati.
“Ehemmmm…”
Mula-mula perlahan je bunyi berdeham yang keluar dari bibir. Bila masuk kali ketiga, baru makin kuat aku berdeham. Dah serupa orang tercekik biji nangka.
Bunyi berdeham tu sebagai signal untuk orang sebelah peka dengan keadaan sekeliling. Tak adalah dia nak terkejut beruk bila tiba-tiba dengar suara merdu aku.
“Kita nak pergi mana?” Soal aku bersahaja. Seolah-olah tengah buka sesi bersembang dengan kawan baik yang dah kenal berpuluh-puluh tahun. Padahal baru dua kali aku bertentang mata dengan Ezra.
“Siam.”
Nasib baik dia jawab guna suara dan bukannya gerakan tubuh badan. Itu pun suara dia taklah mesra mana. Nampak sangat jawab sekadar cukup syarat.
“Siam… Sawadikap… Untuk?” Aku pun dah mula terikut mood dia. Monotone je suara. Malas nak buat baik dengan Ezra yang nampak polos, tetapi banyak tersimpan tipu muslihat dalam kepala.
“Kahwin,” balas dia sepatah dengan kepala yang lurus memandang ke arah jalan.
“Saya dengan awak kahwin lari dekat Siam? Kita berdua kahwin lari, Ezra?”
Aku ubah cara duduk. Tadi duduk menghadap ke depan. Sekarang pusing menghadap ke arah si pemandu dengan kaki sebelah kanan melipat sila di atas kerusi.
Ezra angguk tanpa riak dan lebih daripada sekali. Ibarat kami berdua memang betul-betul akan kahwin lari dekat Siam. Bukan hanya mainan mulut dia semata-mata.
Elehhhh… Kahwin lari dekat Siam konon! Dia ingat aku akan gelabah biawak sampai terjun keluar dari kereta terus?
Ini Nayla binti Ali Imran. Setakat kelentong kahwin dekat Siam, takkan bagi sebarang impak terhadap emosi aku. Alang-alang dia nak menipu sangat. Mari aku ajar dia cukup-cukup. Biar dia rasa menyesal tahap gaban.
“Wow, seronoknya!” Aku tepuk tangan sakan sambil tersenyum lebar. Ini baru permulaan ayat. Sesi warming up suasana orang panggil.
“Sah ni salah satu impian awak yang terpendam dalam hati, kan?”
Terpejam celik kelopak mata aku pandang muka Ezra. Kedua-dua belah tangan pula pegang pipi sendiri. Konon-konon tengah tayang muka polos campur comel.
“Awak boleh jujur dengan saya, Ezra. Saya takkan judge awak. Biasalah setiap orang ada impian masing-masing. Dan impian awak pula, kahwin lari dekat Siam. Betul tak?” Tanya aku dengan nada yang halus seperti suara tikus tersepit celah pintu. Sengaja nak bagi telinga dia rasa bingit.
Tapi bila bercakap dengan manusia berhati robot, ibarat mencurah garam ke dalam laut. Kerja yang sia-sia. Langsung tak ada kesan pada orang sebelah. Muka Ezra tetap kaku seperti pokok mati.
“Okey juga kahwin dekat Siam. Boleh kita honeymoon dekat Phuket. Pakej 2 dalam 1. Jimat duit dan masa.” Sambil mulut mengomel, jari telunjuk pun ikut bergerak sama. Aku kuis lembut brek tangan dengan hujung kuku. Sesekali mata akan menjeling manja ke arah muka pegun Ezra.
Sesungguhnya, Ezra ni salah seorang manusia yang tak ada hati dan perasaan. Walaupun aku hantar provokasi dalam pelbagai bentuk, dia tetap relaks. Kekal beku tanpa sebarang tindak balas.
Dia memang lahir tanpa perasaan? Atau… dia bendung perasaan sendiri daripada pandangan mata orang luar?
Jangan tambah masalah baru dalam otak, Nayla. Hanya fokus pada masalah yang ada depan mata sekarang.
Aku berdeham sekali sebelum sambung luahkan setiap patah perkataan yang ada dalam kepala.
“Tapi sebelum kita masuk sempadan Siam, saya ada satu soalan dekat awakkk…” Berharakat panjang aku tarik sampai mulut pun ikut muncung tajam seperti paruh itik.
“…mana awak nak campak wali tersayang saya, Ahmad Ezra? Lelaki yang awak minta izin untuk bawa saya keluar tadi. Dalam longkang depan rumah awak?” Soal aku sarkastik bersama kedua-dua belah tangan naik mencekak pinggang.
Ezra pandang aku dari ekor mata untuk seketika sebelum fokus pandang ke depan balik. Mulut dia terkunci rapat tanpa ada sebarang bunyi yang keluar untuk membela diri. Dia seolah-olah pasrah kena marah dengan aku.
“Abah saya masih hidup. Masih layak jadi wali saya. Sebelum nak bercakap tentang kahwin lari, fikir dulu soal hati dan perasaan Pak Cik Ali yang dah bersusah payah membesarkan saya.” Aku tarik nafas dalam di hujung ayat. Konon-konon tengah tahan sebak padahal propaganda je semata-mata.
“Bukan senang nak membesarkan sorang anak. Lagi-lagi anak perempuan. Awak pula sesedap rasa nak bawa saya kahwin lari. Sesuka hati awak je masuk meminang saya. Hina betul maruah saya ni!”
Alang-alang tengah berada dalam mood meroyan, aku ungkit habis sampai ke isu dia masuk meminang secara tiba-tiba. Biar timbul rasa bersalah dalam hati kering dia. 
Paling untung, kalau dia pangkah besar-besar nama aku daripada senarai calon isteri. Sebab suka meroyan tak ketahuan hala. Isu sekecil kuman pun boleh bertukar jadi sebesar gajah kerana emosi dan mental aku yang lemah. Mana ada lelaki yang suka perempuan kuat meroyan.
“Naylaaa…” seru dia seperti sedang berbisik dalam kelambu.
“Apa lagi? Nak ajak saya kahwin lari dekat mana pula?” Tempelak aku bersama mata yang menjeling tajam. Ini bukan perangai aku yang sebenar. Antara empat orang anak mak abah, aku anak yang paling tenang sekali. Jenis periang dan tak mudah melatah.
Tapi demi kekal status janda paling bahagia dalam dunia, aku terpaksa ubah perangai 180 darjah. Dengan harapan setinggi gunung, akan timbul rasa menyampah dan benci dalam hati Ezra.
“Sorry...”
Walaupun Ezra minta maaf guna bahasa asing dan bukannya bahasa ibunda, namun intonasi suara dia kedengaran agak ikhlas. Seolah-olah ucapan itu memang datang dari hati. Padahal muka tak nampak tanda-tanda yang dia menyesal.
Lantaklah!
Sekurang-kurangnya, propaganda meroyan aku tadi mendatangkan hasil yang agak lumayan juga. Boleh telinga dengar ucapan minta maaf daripada lelaki yang tak mesra manusia.
“Jadi wahai Encik Ahmad Ezra, ke mana hala tuju kita pada hari ni?” Tanya aku sebaik saja posisi badan dah berubah kedudukan balik. Muka menghadap ke depan dengan belakang badan yang bersandar rapat pada bahagian kerusi penumpang.
“Lunch date,” balas dia dingin, namun agak menusuk tepat ke dalam hati. Serupa nak pecah gegendang telinga aku. 
Kesimpulannya, aku tak suka dengan dua patah perkataan yang baru keluar dari mulut dia tadi. Aku rasa macam nak tampar pipi anak Mak Cik Elisa sampai tercabut habis semua barisan gigi dia yang tersusun cantik.
Perkataan ‘date’ tak boleh wujud langsung dalam hubungan kami berdua. Tak sesuai. Ibarat ada harapan yang kami akan bersama sebagai pasangan suami isteri. Minta simpang malaikat 44.

UBAT CINTA - PBAKL 2023Where stories live. Discover now