Bab 9

74 7 3
                                    

Hari ni aku rasa seperti ahli kelima kumpulan Blackpink. Yalah tiba-tiba muncul seorang peminat fanatik yang mengikut ke mana saja aku pergi.
Dari tepi tasik hingga ke kedai roti canai, sah muka kayu Ezra akan terbentang di depan mata. Sesaat pun dia tak boleh berenggang daripada aku. Tak tahu sama ada nak rasa bangga campur bahagia atau stres.
Tapi rasanya, lebih pada stres. Habis terganggu aku punya ‘me time’ gara-gara kehadiran dia yang sesuka hati tukar kedai roti canai kegemaran aku.
Baru kaki berura-ura nak melangkah masuk dalam ke dalam kedai tadi, dia dah heret aku pergi ke warung roti canai yang terletak di seberang jalan. Aku tahu dia tak suka jumpa manusia. Dia anti manusia.
Masalahnya sekarang, warung yang dia pilih ni servis lambat macam siput babi. Dah setengah jam kami duduk, tapi air pun belum dapat lagi. Kalau ramai pelanggan, rasanya selepas dua tiga jam baru boleh makan. Mungkin ni salah satu punca tak ada pelanggan lain langsung melainkan kami berdua. Orang tak larat nak tunggu.
Bagai tahu aku tengah protes dalam hati, tup-tup tiga pinggan roti canai dan dua gelas air muncul di atas meja. Tak lama selepas itu, suara pak cik yang lebih kurang sebaya abah pula yang menyapa ke gegendang telinga.
“Minta maaf... Ahmad. Lambat kamu boleh makan pagi ni.”
“Eh… tak ada apalah pak cik. Saya tak kisah pun lambat. Asal boleh makan roti canai sedap pak cik,” balas Ezra ramah sambil tersenyum mesra. Berbeza sungguh dengan personaliti dia yang selalunya beku seperti ais.
Pak cik tu hanya angguk lalu tersenyum nipis. Selang beberapa saat, batang tubuh dia dah menghilang dari pandangan mata. Tapi rasa bersalah aku, masih lagi tak hilang. Malah, kian menebal dalam hati.
Selepas tengok empunya warung, tak hairan kalau servis lambat daripada kedai aku selalu makan. Pemilik dia bukan orang muda yang cergas dan tangkas di dapur. Hanya seorang pak cik tua yang tetap berniaga untuk terus menyara hidup.
Sumpah aku tak perasan keadaan sebenar tuan warung. Tadi Ezra yang tolong pesan roti canai dan air dekat kaunter. Aku hanya tunggu dekat meja bersama badan yang menghadap ke arah jalan. Tak pusing belakang tengok keadaan dalam warung.
Kejadian hari ni memang boleh jadi iktibar paling bermakna dalam hidup. Jangan semudah ABC menghukum orang atau keadaan sekeliling tanpa selidik dahulu secara mendalam. Takut menyesal di kemudian hari macam sekarang. 
“Makan.”
Ayat Ezra ibarat tengah pelawa aku untuk makan. Tapi bila intonasi suara dia dingin, aku rasa seperti dia tengah mengarah pun ada. Hilang terus sisi mesra dia bersama pak cik roti canai tadi.
Terkumat-kamit bibir aku baca doa makan sebelum suap roti canai masuk ke dalam mulut. Sebaik saja gigi mula mengunyah roti canai, terus anak mata aku mula bersinar indah dan bibir tersengih bahagia.
Sedapnya!
Lebih sedap berkali ganda daripada kedai yang aku selalu makan. Garing di luar, tetapi lembut pada bahagian dalam. Terasa gila nikmat makan roti canai sedap.
“Awak selalu datang makan sini?”
Aku menyoal bersama mulut yang penuh roti canai. Memang nampak tak sopan. Tapi bila dengan Ezra, aku akan sentiasa tunjuk perangai yang sebenar. Mungkin rasa selesa sebab dia bukan jenis yang suka judge orang.
Ezra dongak kepala pandang aku lalu angguk. Kemudian, dia tunduk dan sambung makan balik. Walaupun dia lelaki, tapi dia makan lebih tertib daripada aku yang perempuan ni.
Malangnya, dia makan dalam keadaan wajah kaku tanpa emosi. Tak ada tanda-tanda yang dia bahagia atau teruja boleh makan roti canai sedap. Sadis sungguh aku rasa. Serupa tak ada nikmat langsung dalam hidup dia. Agaknya dia dah selalu makan sampai lidah pun dah rasa terbiasa. Tiada apa yang luar biasa.
“Sedap?” Soal aku bersahaja sebagai permulaan ayat. Konon-konon tengah panas enjin anak tekak sebelum cakap benda lain pula. Mungkin benda yang lebih serius dan mendalam.
Ezra angguk sambil sambung suap roti canai. 
Hmmmm…. tindak balas yang memang aku boleh jangka dari awal lagi. Aku terima perangai berat mulut dia dengan hati yang terbuka. Cuma bila dapat reaksi yang agak hambar, terbantut juga mood bersembang.
“Makan roti kahwin pun masih se… muram lagi?”
Asalnya aku nak sebut perkataan ‘serius’. Tapi pada saat akhir, aku rasa perkataan ‘muram’ lagi sesuai untuk air muka dia yang sentiasa bersih tanpa senyuman. Dan juga, renungan mata yang kosong.
Ezra pandang aku sekilas sebelum anak matanya menghala ke arah roti canai yang ada dalam pinggan. Mulut dia masih terkunci rapat tanpa keluar sebarang bunyi.
“Sepatutnya makan roti canai kahwin, kena senyum lebar sampai ke telinga. Macam pengantin baru yang tengah bersanding di atas pelamin.” Merapu aku sambil tersengih seperti kerang busuk.
Ini semua demi mewujudkan suasana yang harmoni antara kami berdua. Kalau seorang pihak je yang berceloteh, memang akan rasa bosan. Serupa tengah bercakap dengan meja.
“Saya masih duda.” Dia tunjuk diri sendiri sambil pandang muka aku.
Aku sembunyi senyum yang hampir mekar di hujung bibir dengan suap roti canai masuk ke dalam mulut. Kadang-kadang, rasa Ezra ni salah satu hiburan dalam hidup pun ada. Suka buat lawak spontan, tapi muka kaku.
“Saya tahu awak duda… Duda paling hot dalam dunia.” Aku putar mata ke atas ketika perkataan ‘hot’ yang menjadi sebutan di lidah.
“Tapiiiii… tu bukan alasan untuk awak makan roti canai serupa tengah makan tanah liat. Muka awak serius sangat. Tak senyum langsung. Kenapa awak susah sangat nak senyum?” Sambung aku berpatah-patah perkataan dan berakhir dengan sebuah soalan yang cukup jujur dari hati.
Kalau jenis mulut senyap serupa orang bisu, aku boleh faham lagi. Dah memang perangai dia sejak dari azali. Tapi kalau nak senyum pun susah, tu dah penyakit kronik. Padahal senyum tu satu sedekah yang paling senang dan sangat mudah.
“Kenapa awak suka senyum? Hidup awak sentiasa happy 24 jam? Tak pernah ada masalah dalam hidup?”
Nah, ambil!
Bukan setakat satu, tetapi tiga soalan terus Ezra bagi pada satu masa yang sama. Dan buat pertama kali, nada suara dia garang. Selalu senada je serupa orang tak buka mulut bila bercakap.
Aku sambut respons garang dia dengan senyum semanis gula. Tengah bercakap tentang senyuman. Sah aku kena tayang senyum paling manis dan ikhlas dari hati. Baru nampak walk the talk.
“Sentiasa senyum tak bermaksud saya sentiasa happy 24 jam. Tak pernah ada masalah dalam hidup. Tapi senyum ni…”
Aku tunjuk ke arah bibir sendiri yang masih tersenyum. Selang beberapa saat, baru aku sambung kembali ayat yang tertangguh.
“…satu kekuatan untuk saya terus berani melangkah ke depan dalam menghadapi setiap ujian dalam hidup dan tinggalkan segala kenangan yang menyakitkan.” Sepatah-sepatah aku cakap dengan nada yang sangat lembut. Tak nak dia rasa terbeban dan terus hanyut dalam nafsu amarah.
Lambat-lambat Ezra gelengkan kepala bersama muka yang muram. Seolah-olah dia tak boleh terima setiap olahan aku.
“Setiap makhluk Allah dalam dunia ni… ada masalah, Ezra. Bayi yang baru lahir pun ada masalah komunikasi dengan orang tua sendiri.”
Secara automatik, kepala mula teringat kembali video luahan hati bayi yang aku pernah tengok di aplikasi TikTok. Walaupun hanya sekadar parodi, tetapi luahan yang sangat tepat tentang masalah setiap bayi dalam dunia ni kena hadap.
Asal menangis je, sah orang tua akan sumbat susu ke dalam mulut. Walhal kadang-kadang, bayi tu perlu benda lain. Bukan menangis kerana lapar susu semata-mata. Mungkin menangis kerana kembung perut atau rambut tersepit di celah jari.
Aku berdeham dan tepuk pipi sebelum perhatian kembali fokus pada Ezra. Boleh nampak yang dia masih tak puas hati. Lenyap habis segala bayangan video parodi bayi dalam kepala.
“Ezra… saya pun ada masalah sendiri. Tapi tu bukan alasan, untuk saya hidup ibarat saya sorang je ada masalah dalam dunia ni. Terlampau hanyut dalam masalah dunia pun… bahaya juga sebenarnya.”
Dia menghela nafas panjang lalu anak matanya merenung tunak pada muka aku yang sedang tersenyum nipis. Bukan lagi renungan kosong, namun renungan yang tersimpan 1001 rahsia dalam hati. Dan terasa seolah-olah dia mengharapkan pertolongan daripada aku pun ada.
Tapi…
Pertolongan dalam bentuk apa?
Mungkin hanya firasat membongak aku semata-mata. Padahal hakikat yang sebenar, renungan mata Ezra memang macam tu sebelum ni. Cuma aku yang tak perasan dan teliti betul-betul.
“Tetap tersenyum walau ada beribu masalah dalam hidup, Ezra. Tak rugi pun senyum, malah salah satu rahsia untuk kekal muda. Forever young,” tambah aku bersahaja lalu tersenyum lebar hingga ke telinga. Tangan kanan pula tunjuk simbol peace.
  “Jadi, sila makan dengan muka bahagia. Jangan kejur sangat. Minum teh ais, tapi muka kelat serupa jus peria. Tak selari langsung.”
Itu sambungan omelan aku yang seterusnya selepas sedut kopi o ais sampai luak suku gelas. Walaupun bukan biji kopi yang dikisar segar, namun nikmatnya terasa hingga ke hati.
“Awak suka kopi?”
Laju aku angguk seraya tunjuk isyarat bagus guna ibu jari sebelah kanan. Ini namanya tindak balas spontan tubuh badan.
“Why?”
Bergilir ganti Ezra pandang antara muka aku dan air kopi dalam gelas. Kemudian secara tiba-tiba, dia gelengkan kepala. Ibarat orang terkena sampuk hantu pun ada.
“Sebab kopi salah satu nikmat dalam hidup saya selain makanan. Awak tak suka kopi, kan?” Soalan aku bukan sekadar serkap jarang semata-mata, tetapi berdasarkan fakta yang terbentang depan mata.
Setiap kali keluar minum dengan Ezra, dia tak pernah oder kopi. Balik-balik dia akan oder minuman yang berasaskan teh. Dan makin bertambah yakin dengan teori sendiri, selepas tengok bahasa tubuh dia yang lain macam sewaktu tenung air kopi aku.
Dia jawab dalam bentuk anggukan kepala. Jawab sekadar cukup syarat tanpa ada olahan tambahan.
“Why?”
Aku ulang guna soalan dia tadi balik. Bukan niat nak menganjing, cuma terasa nak speaking sekali sekala biarpun sekadar satu perkataan yang mudah dan ringkas.
“Hidup saya dah cukup pahit.”
Saat ayat melankolik dia menerobos masuk ke dalam lubang telinga, aku rasa nak gelak guling-guling di atas jalan. Tapi bila tengok renungan sayu mata dia, aku hanya mampu angguk lalu sambung makan roti canai.
Sebagai manusia yang prihatin, aku kena hormat perasaan dia walaupun luahan dia agak melampau. Agaknya sejarah hidup dia terlampau sadis campur kejam. Sebab tu, dia rasa hidupnya sangat menyedihkan dan paling banyak masalah dalam dunia ni.
Apa yang Ezra telah lalui sebenarnya? Takkan sejarah lama yang telah membentuk diri dia pada hari ni? Agak-agak ada kaitan dengan bekas isteri dia dulu tak?
Uishhh… banyak betul persoalan yang mula timbul dalam kepala!
Aku berdeham sekali sebelum sambung bercakap seperti biasa. Sehabis boleh cuba elak tanya soalan yang terlintas dalam kepala. Takut hubungan yang tak mesra mana berubah tegang.
“Kalau terasa pahit, kena tambah gula. Baru hidup akan rasa manis. Dan salah satu gula semula jadi…”
Aku tambah perkataan yang terakhir dengan cara tersenyum manis hingga terpejam rapat kelopak mata. Sesekali jari telunjuk akan mengetuk hujung bibir. Dengan harapan Ezra akan faham bahasa tangan aku.
“Kalau masih pahit juga?” Soal dia agak polos.
“Mungkin awak boleh cari peneman untuk sama-sama tanggung pahit dalam hidup awak.”
Aku bercakap persis seorang kaunselor yang berjaya. Padahal sejarah hidup sendiri pun tak manis mana. Kesimpulannya, setiap manusia ada sejarah pahit masing-masing.
“Awak jadi peneman saya boleh, Nayla?
Ezra pandang tepat ke dalam mata aku sampai sesak dada dibuatnya. Aku cuma bagi solusi. Kenapa akhirnya, makan diri sendiri balik?
“Teman sebagai sorang kawan… boleh sangat-sangat. Kalau teman halal, awak kena cari perempuan lain. Saya minta maaf. Saya tak boleh!”
Rasanya jadi kawan Ezra bukan satu pilihan yang buruk dalam hidup. Walaupun dia unpredictable dan kaku, namun dia baik. Aku makin rasa selesa dengan dia. Lagipun, aku berpegang pada prinsip…
Berkawan biar seribu, berkasih biar satu.
Kalau dia sudi, aku dengan rela hati jadi kawan dia. Mungkin kami boleh jadi kawan baik kerana status masing-masing. Seorang janda dan seorang lagi duda. Akan mudah untuk saling faham antara satu sama lain.
“Kita kawan,” luah dia lantang. Serupa nak buat pengumuman biar pak cik roti canai pun dengar sekali. Nampak sangat teruja boleh jadi kawan aku.
“Yaa… saya akan jadi kawan awak. Boleh kita mengopi selalu lepas ni.” Habis je cakap, terus aku sedut kopi ais. Terpejam rapat kelopak mata. Tengah menghayati rasa pahit kopi yang mengalir di kerongkong.
“Tak pahit?” Ezra menyoal sambil tunjuk air kopi yang tinggal separuh gelas.
“Tak… Ada kopi yang lagi pahit daripada kopi ni. Awak tahu kopi apa?”
Dia geleng kepala dalam satu kali. Reaksi yang sepatutnya aku boleh agak dari awal lagi. Dia takkan tahu teka-teki tu. Kerana dia bukan pencinta kopi.
“Kopi yang bernama…”
Sengaja aku sambung minum kopi dahulu sebelum bagi jawapan versi penuh. Nak bagi dia yang sentiasa beku tu panasaran sekali sekala.
“…KOPI-lih dia bukan aku.” Aku gelak kuat dengan teka-teki sendiri.
“Saya pilih awak. Saya sentiasa pilih awak, Nayla.”
Meluncur laju jawapan tu keluar dari mulut Ezra. Dan secara automatiknya, terkatup rapat mulut aku yang sakan gelak tadi. Nak tarik senyum nipis pun dah tak mampu.
Walaupun dia bercakap tanpa nada, tetapi aku yang jadi tukang dengar rasa lain. Ibarat sesi bersembang kami dah mula melencong ke arah topik hati dan perasaan. Tu cuma teka-teki. Kenapa dia nak serius sangat?
“Awak jangan salah faham. Tu cuma teka-teki. Tak ada kaitan antara hidup, mati ataupun kisah hati kita berdua. Tak berkait langsung!” Aku silang pangkah kedua-dua belah tangan dengan kepala yang tergeleng.
“Ada kaitan.” Dia angguk kepala pada penghujung ayat.
“Huhhh?” Bercantum rapat kening aku.
“Saya pilih awak sebagai kawan. Awak kawan perempuan saya pertama. Bukan ada kaitan dengan hidup kita?”
Aku bagai kena pukau bila dengar suara garau Ezra berlagu tenang. Punya terpukau sampai aku hanya angguk kepala tanpa ada sebarang bantahan.
Selesai upacara makan pagi, baru aku mula bersuara kembali. Rasa pelik pula bila kami sama-sama senyap.
Lagi satu, aku mana boleh tak bercakap lebih dari lima minit. Rasa terseksa tekak. Kalau duduk berkurung seorang diri, itu lain cerita. Bila ada manusia depan mata, aku wajib bercakap.
“Ezra….” seru aku meleret bersama penyedut minuman yang tersepit di antara gigi atas dan bawah.
Dia respons dengan jongket kening kanan.
Amboi!
Sejak-sejak naik taraf jadi kawan, cara respons pun dah bertukar rentak. Tak main angguk dah. Dia guna kening yang berwarna hitam pekat dan terbentuk cantik pula. Perkembangan yang agak bagus.
“Sebagai kawan awak… boleh saya tanya satu soalan?”
“Hurmmm…” Dia menggumam lalu angguk. Ibarat memberi kebenaran pada aku.
“Awak tinggal sorang? Atau dengan famili?” Ini bukan soalan menyibuk. Sekadar nak tambah ilmu pengetahuan tentang Ezra, anak Mak Cik Elisa yang paling misteri sekali.  
“Sorang.”
“Ooo… patutlah susah sangat nak nampak muka awak dekat rumah Mak Cik Elisa sebelum ni. Tak bosan duduk sorang?”
Hari ni baru terjawab kenapa tak pernah nampak muka Ezra di rumah Mak Cik Elisa walaupun dia masih belum berkeluarga. Agaknya rumah dia paling jauh daripada rumah adik-beradik dia yang lain. Sebab anak-anak Mak Cik Elisa semuanya beli rumah dekat-dekat. Senang nak berkumpul pada hujung minggu.
“Saya tak suka bising.”
“Ooooo…” Makin panjang bunyi ‘Ooo’ yang terlepas keluar dari mulut.
Patut dia mengelak dari makan kedai ramai orang tadi. Situ terlampau bising dengan macam-macam jenis bunyi yang keluar dari mulut pelanggan.
Tak suka manusia dan bunyi bising. Dia ni jenis introvert rasanya. Lebih bahagia luang masa seorang diri daripada bergaul dengan orang ramai.
Aku pula jenis ekstrovert. Lagi ramai orang, makin aku bertambah suka. Macam manalah dia yang introvert boleh pilih untuk kahwin dengan aku?
Kalau ikut logik, dia patut lebih tertarik pada along. Sama-sama introvert macam dia juga. Curious pula aku jadinya!
“Awak tak rasa saya annoying? Saya cakap banyak and non stop macam murai tercabut ekor. Jiwa dan raga awak tak rasa terseksa?”
Pada minit yang pertama, dia gantung soalan aku tanpa jawapan. Ibarat dia pilih untuk senyap. Dan mungkin kerana rasa simpati pada aku yang masih mengharap, baru dia buka mulut.
Saya selesa dengan awak.”
“Awak rasa selesa dengan saya? Like seriously? Walaupun saya suka buat bising?”
Sepantas kilat dia angguk, mengiakan.
Patutlah dia suka sangat tayang muka depan aku sebab dia rasa selesa. Tak sangka orang kaku macam Ezra akan selesa dengan aku yang terlebih aktif ni.
Ajaib sungguh!
Aku rasa perangai Ezra ni sangat unik. Sama unik seperti peninggalan manusia zaman dulu di Lembah Bujang. Spesis rare. Sangat berbeza dengan perangai arwah Qaiser yang senang untuk aku ramal dan faham.

UBAT CINTA - PBAKL 2023Where stories live. Discover now