Bab 7

66 7 2
                                    

Selepas seminggu menghilangkan diri tanpa khabar berita, tup-tup hari ni Ahmad Ezra muncul depan mata dengan pakai kemeja lengan panjang berwarna ungu muda. Dia lipat lengan baju sampai ke paras siku. Ibarat nak tayang lengan dia yang berurat tu dekat aku pun ada.
Ingat aku akan tergoda?
Helo… tolong sikit!
Buat apa lengan berurat, tetapi warna nude pun tak kenal. Sadis sangat hidup. Tak sepadan dengan aku yang kerja sebagai tukang jahit ni.
“Awak nak apa datang sini, Encik Ahmad Ezra bin Abdul Fateh?” Aku sebut nama penuh terus. Kepala tunduk rapat ke meja kerja. Tengah sibuk menyulam bunga pada lengan baju kurung.
Waktu dia langkah masuk ke dalam kedai tadi je, aku pandang dia untuk seketika. Pandang untuk perhati riak muka dan pakaian yang tersarung di tubuh dia. Senang aku nak buat penilaian sendiri macam tadi.
“Yuhuuuu Ezra… anak kesayangan Mak Cik Elisa,” seru aku bila soalan tadi tergantung sepi tanpa respons. Dan reaksinya masih sama, dia tak menyahut.
Selepas beberapa minit, baru aku dongak dan pandang muka kaku Ezra yang sedang berdiri terpacak di depan meja. Tangan kanan dia tengah pegang tote bag.
“Awak nak tempah baju Melayu?” Soal aku bersama tangan yang masih ligat menyulam bunga. Tinggal sekuntum bunga je lagi nak siap. Sayang kalau tinggal separuh jalan. Boleh terbantut mood menyulam nanti.
Lambat-lambat dia angguk.
“Untuk kenduri kahwin kawan awak?”
Masih reaksi yang sama. Dia cuma angguk untuk jawab soalan aku.
“Baju pengapit awak?” Tanya aku lagi padahal dah ada jawapan dalam kepala. Sengaja tanya untuk uji sejauh mana kesabaran seorang lelaki yang bernama Ezra.
Buat kesekian kalinya, dia angguk tanpa jemu atau mengeluh biarpun sekali.
“Nak tempah keranda sekali tak?”
Dia masih angguk dan lebih dari satu kali. Dalam dua tiga kali macam tu.
Aku sembunyi senyum yang hampir mekar di bibir. Suka sangat angguk. Sekarang anggukan dia bakal makan diri sendiri balik.
“Untuk siapa? Untuk awak?” Prihatin aku menyoal dengan kelopak mata yang terkedip-kedip. Tangan sebelah kiri tengah genggam erat hujung lengan baju. Sedaya upaya tahan gelak yang hampir meletus keluar dari mulut.
Ezra angguk lagi sebagai respons.
Ya Allah…
Dia ni tengah mengelamun atau pekak badak? Rasanya aku cakap dah habis kuat. Kenapa dia main angguk je? Atau dia malas nak melayan merapu aku? Itu yang dia asyik ulang angguk je sejak tadi.
“Ish… Ish… Ish… Ezra… Ezra… Kenapa dengan awak ni?” Soal aku dalam keadaan tengah tersenyum. Tak sampai hati pula nak gelak bila tengok wajak beku dia yang nampak polos pada pandangan mata.
“Tak sampai umur 40, tapi dah rabun. Kedai keranda dengan kedai jahit baju pun awak tak kenal. Sadis sangat hidup awak ni, Ezra.” Aku tayang wajah simpati. Konon-konon kesian dengan nasib orang depan. Walhal aku yang mula mengusik dia tadi.
Tapi Ezra pun, salah juga. Dia yang tak fokus bila aku bercakap. Terlampau ralit dalam dunia sendiri dan suka sangat angguk kepala. Diri dia juga yang nampak lurus bendul sekarang. Mudah kena buli dengan orang sekeliling.
“Masih berminat nak tempah baju Melayu dekat sini?” Aku tersenyum nipis di hujung soalan. Manalah tahu dia ubah fikiran selepas kena buli.
Lagipun, dia mana pernah tempah baju dekat kedai jahit abah. Ini kali pertama dia datang. Sebelum-sebelum ni, tak pernah nampak langsung batang hidung mancung dia. Tiba-tiba hari ni boleh muncul pula.
Dia gerakan kepala ke bawah. Mengiakan soalan aku tadi.
Terlepas satu keluhan panjang dari mulut aku. Penat betul melayan perangai berat mulut Ezra. Lama-lama ada juga yang kena jahit mulut dengan aku. Biar terkatup rapat sampai ke hujung nyawa. Dah malas sangat nak bercakap.
“Tadi depan pintu masuk, awak tanggal kasut dengan lidah sekali ke, Ezra? Atau hari ni… awak puasa suara?” Soal aku bersahaja sambil mengintai ke arah pintu masuk. Kut-kut ada lidah manusia yang tercicir di depan pintu.
“Saya nak tempah baju Melayu.” Sepatah-sepatah dia bercakap dan agak dingin. Mungkin jarang sangat bercakap dengan orang. Sampai suara yang keluar pun tak berapa nak mesra.
“Alhamdulillah… Saya masih ada peluang untuk dengar suara awak. Ingat kena tunggu sampai tahun depan, baru suara mahal awak akan keluar.”
Itu baru olahan versi pertama. Olahan versi kedua aku sambung selepas berdeham dalam tiga kali.
“Selamat datang ke Manis Tailoring & Alterations Boutique,” ucap aku mesra bersama kedua-dua belah tangan yang terbuka luas. Sebagai tanda yang aku sangat mengalu-alukan kedatangan Ezra ke kedai abah.
Dia datang sebagai pelanggan yang membawa rezeki, sah kena layan elok-elok. Mana boleh layan dia kasar. Jatuh reputasi kedai abah nanti.
Kedai jahit pakaian a.k.a butik ni abah yang punya. Aku lebih suka panggil kedai daripada butik sebab dah terbiasa dari zaman budak-budak lagi. Waktu zaman bengong, semua bangunan aku hentam panggil kedai. Termasuk klinik.
Dan nama Manis tu, sebenarnya nama mak. Abah punya sayang mak sampai nama kedai pun letak nama isteri kesayangan. Untung sungguh mak dapat abah sebagai suami.
“Awak nak tempah baju berapa pasang? Tiga pasang?” Tanya aku untuk kepastian. Kalau ikut kain yang dia beli minggu lepas, ada tiga pasang semuanya.
Ezra angguk dalam satu kali.
Untuk kali ni, aku boleh terima anggukan dia sebagai jawapan. Sebab aku tanya soalan yang tak perlu huraian jawapan yang panjang berjela-jela. Angguk pun dah lebih daripada cukup.
“Bolehhhh… Boleh sangat-sangatttt… Nak tempah 30 pasangan pun boleh…” Dari duduk di atas kerusi, aku bangun berdiri di tepi meja. Biar sama paras dengan Ezra yang masih setia berdiri di hadapan meja kerja.
“Tapi sekarang, abah tak ada dekat kedai. Pukul 2.30 baru abah masuk. Awak boleh tunggu? Tak sibuk? Atau awak ada bawa baju contoh?”
Sekarang waktu rehat. Bila waktu rehat, abah akan balik rumah untuk makan tengah hari bersama mak dan sembahyang zuhur dekat surau. Lagi dua orang staf pun keluar rehat juga. Itu yang tinggal aku seorang diri dekat kedai.
Dan selalunya, memang aku seorang yang akan tunggu dekat kedai. Nak tutup kedai sekejap waktu rehat, akan menyusahkan pelanggan pula. Ada sesetengah pelanggan akan datang tempah baju waktu lunch hour. Salah seorangnya, Ezra. Dia datang waktu lunch hour. Jadi nak tak nak, kena juga buka kedai.
Aku akan makan dan rehat selepas abah masuk balik kedai. Abah akan bawa makanan dari rumah untuk si anak perempuan kesayangan.
“Kenapa kena tunggu abah?” Soal dia senada bersama pandangan yang menghala tepat pada muka aku.
“Hanya abah sorang yang boleh ambil ukuran badan awak. Saya mana boleh.” Selama berpuluh-puluh tahun, cuma abah yang akan ambil ukuran badan orang lelaki. Staf perempuan dilarang sama sekali. Takut akan timbul isu di kemudian hari.
“Awak?” Soal dia lagi sambil tunjuk muka aku pakai jari telunjuk.
“Mana bolehhhhh, Encik Ahmad Ezra.” Aku cakap dengan gigi yang terketap rapat. Dah la berat mulut. Telinga pula tersumbat. Rasa minggu lepas tak pekak sangat. Kenapa minggu ni pekak pula?
Takkan deria pancaindera antara mulut dan telinga Erza hanya berfungsi salah satu? Bila bercakap, telinga jadi kurang dengar. Bila mulut senyap seribu bahasa, telinga akan jadi lebih peka. Boleh pakai ke teori aku ni?
“Mana boleh saya ambil ukuran badan awak. Nanti awak tuduh saya cuba cabul awal pula. Tak fasal-fasal saya kena kahwin eskpres nanti. Tak mahu saya kahwin dengan awak. Tak teringin langsung!”
Aku sambung cakap seperti biasa. Abaikan seketika teori cerdik pandai aku tadi. Kalau tengok perangai dia makin teruk, baru tanya straight to the point.
Ezra sambut segala butir bicara aku tadi bersama kepala yang terangguk-angguk. Muka masih kekal kaku tanpa ekspresi.
“Tapi… bukan kita akan kahwin? Cincin dah terima.”
Mata hitamnya pandang muka aku dengan pandangan kosong. Tak nampak sinar bahagia walaupun baru lepas cakap soal nikah kahwin.
“Maksud Encik Ezra… awak dan along yang kahwin? Cincin yang awak sumbat dalam beg minggu lepas, dah selamat berada di tangan along. Saya hanya jadi orang tengah je.” Bibir terkoyak senyum manis. Padahal hakikat yang sebenar, aku simpan cincin dia di dalam laci meja solek. Tak berusik sikit pun.
Ezra menghela nafas panjang sebelum lambat-lambat, menggosok muka. Nampak macam yang dia rasa terbeban sangat. Ibarat ada sesuatu yang dia pendam dalam hati dan tak boleh luahkan pada sesiapa pun.
“Kecewa?” Aku tanya hanya ikut logik akal semata-mata. Kalau ikut naluri seorang manusia, dia bukan kecewa rasanya. Lebih pada perasaan susah hati dan serba salah biarpun muka dia sentiasa kaku seperti mayat.
Balasan dia bukan dalam bentuk anggukan atau gelengan. Jauh sekali dia bertindak balas guna suara. Dia tenung muka aku untuk seketika lalu tangan kanannya letak tote bag di atas meja. Itu tandanya soalan aku tadi akan tergantung sepi tanpa jawapan.
“Awak memang pendiam sejak azali? Atau awak terlampau sayang suara sampai tahap kena berjimat cermat?” Aku tanya untuk lebih faham perangai dia.
Naim pun pendiam juga, tetapi taklah seteruk Ezra. Bila orang tanya soalan atau ajak bersembang, Naim akan melayan. Cuma dia takkan mula perbualan dulu. Kena ada orang tegur dulu, baru dia akan menyahut.
Untuk kes Ezra pula, susah untuk aku ramal. Walaupun aku yang mula bercakap dulu, dia jarang nak menyahut. Habis sangat dia akan angguk atau geleng. Dan adakalanya, dia jawab seperti biasa. Guna suara. Tak jadi orang bisu pula.
Tapi sekali dia buka mulut, aku juga yang panasaran. Rumit sungguh masalah kami berdua ni. Ibarat tak ada jalan penyelesaian melainkan salah seorang daripada kami yang mengalah.
Mungkin aku yang kena mengalah. Terima perangai dia dengan reda. Lagipun, aku bukan nak jumpa dia selalu. Seminggu sekali pun susah.
“Ti…”
Tak sempat aku nak buka topik baru, Ezra dah mencelah terlebih dahulu bersama intonasi suara yang dingin. Baru dia tergerak hati untuk jawab soalan aku beberapa minit yang lepas.
“Saya berjimat.”
“Awak jimat suara?” Bercantum rapat kening aku. 
Laju dia angguk, mengiyakan.
Ya Allah…
Tadi aku cakap ikut sedap mulut je. Tak pakai otak sangat. Tak sangka dia memang betul-betul jimat suara. Patutlah kedekut sangat nak bercakap. Rupanya dalam fasa penjimatan.
Selama 30 tahun hidup, inilah kali pertama aku dengar orang jimat suara. Selalunya orang akan jimat air ataupun jimat duit. Dia pula jimat suara. Memang lain daripada yang lain. Manusia rare yang boleh mencabar kesabaran dan keimanan orang sekeliling.
“Kenapa kena jimat suara? Suara awak berharga sangat ke? Sama mahal dengan harga emas 999?” Soal aku agak sarkastik bersama mata yang mencerlung.
Dengan selamba badaknya, dia angguk.
“Uweekkk…” Terkeluar bunyi muntah terus dari mulut aku. Geli-geleman habis anak tekak. Perasan nak mampus!
“Walaupun suara awak lebih mahal daripada emas 999, bukan boleh gadai pun. Tak ada fungsi awak berjimat serupa orang gila. Lebih baik awak guna untuk bercakap.” Menyinga suara aku. Bukan marah, cuma geram dengan alasan dia yang sangat merepek.
“Saya berjimat untuk awak.”
“Kenapa untuk saya pula?” Tangan kanan naik mencekak pinggang. Kalau dia bagi jawapan merepek lagi, memang ada yang makan bekas jarum peniti nanti.
“Untuk jadi imam awak.”
Itu balasan Ezra yang seterusnya bersama muka kaku seperti mayat. Tak selari langsung. Cakap ayat semanis gula, tetapi muka sama tawar dengan air kosong.  Lelaki ni memang ada masalah besar dalam tunjuk emosi sendiri.
Macam manalah bekas isteri dia boleh tergerak hati untuk terima dia sebagai suami dulu? Musykil sungguh aku!
“Euwwww… tolonglah, Ezra. Saya tak berminat dengan ayat DBNU awak tu. Janda macam saya ni takkan goyah dengan ayat awak.” Aku tutup kedua-dua belah telinga seraya gelengkan kepala.
DBNU yang membawa maksud Duda Baru Nak Up. Duda yang baru nak mula warming up segala bakat terpendam dalam mengurat perempuan. Sebab tu ayat yang keluar pun, boleh buat orang nak termuntah.
“Saya rasa sebelum kita sama-sama hilang waras, lebih baik awak balik dulu. Awak pun sah banyak kerja. Awak auditor paling berjaya dekat ofis, kan?”
Ezra tenung muka aku lama sebelum dia angguk kepala. Dan lambat-lambat, dia bergerak ke arah pintu kedai. Dah bersiap sedia untuk bergerak balik.
“Ehhhhh… awak… tunggu sekejap! Jangan balik lagi.”
Tempik aku separuh cemas ketika tangan dia dah mencecah pada pemegang pintu. Tadi aku yang beria-ria halau dia balik. Sekarang aku juga yang halang dia daripada balik. Nampak sangat jenis tak tetap pendirian. Perangai macam lalang.
“Kenduri kahwin kawan awak bila?” Punya sibuk bergaduh isu remeh sampai terlupa benda paling penting sekali. Aku terlupa tanya tarikh kenduri. Sah baju Melayu dia kena siap sebelum tarikh kenduri. Mana boleh siap last minute. Jatuh reputasi Manis Tailoring nanti.
“Hujung bulan depan,” jawab dia ketika berdiri di hadapan meja.
Aku angguk sambil mencatat dalam buku nota. Buku yang tersimpan segala rekod tempahan baju pelanggan. Termasuk nombor telefon.
“Saya nak minta nombor telefon awak.” Aku tolak buku nota dan sebatang pen ke arah Ezra. Nak suruh dia tulis sendiri. Lebih senang untuk kedua-dua belah pihak.
“Untuk?”
Spontan aku gigit hujung kuku. Tindakan bersahaja bila otak dah mula penat melayan perangai manusia yang bukan-bukan. Kenapa dia suka tanya soalan yang agak mencabar kadang-kadang?
Dia baru lepas tempah baju. Sah aku kena telefon bila baju dia dah siap.
“Untuk telefon awak bila baju dah siap.” Atau awak nak saya upah burung hantu hantar baju Melayu awak sampai depan pintu rumah? Atau… awak nak saya panggil awak datang kedai guna isyarat asap?”
Aku bagi tiga pilihan jawapan terus dekat dia. Satu jawapan logik. Dua lagi jawapan tak logik. Sesuai dengan kepala yang mula ting-tong melayan perangai pelik Ahmad Ezra.
Dia angguk. Tak lama, bersahaja dia hulur pemetik api dekat aku. 
Silih ganti aku pandang antara pemetik api dan muka Ezra.
Nak buat apa pemetik api ni?
Dia nak suruh aku hisap rokok untuk hilang stres ke? Kut lah dia nampak muka aku tegang lain macam.
“Pemetik api ni untuk apa? Awak nak tempah baju Melayu untuk pemetik api kesayangan juga ke, Ezra?” Lain soalan yang melintas dalam kepala, lain pula soalan yang terpacul keluar dari mulut. Aku tanya dengan intonasi suara yang agak sinis.
“Untuk isyarat asap.”
Jawapan tiga patah dia buat telinga aku yang keluar asap sekarang.
Kurang asam punya manusia!
Dia sindir aku balik dalam keadaan cukup polos. Mimik muka dia memang nampak innocent sungguh.
“Ahmad Ezra…” seru aku pendek lalu tangan naik menggosok bahagian muka. Semua ni dalam cubaan untuk mengurangkan segala rasa marah dan sakit hati pada orang depan mata.
Dan untuk pertama kali dalam sejarah pertemuan kami, dia tersenyum nipis lebih dari lima saat sambil gelengkan kepala. Seolah-olah dia terhibur boleh tengok aku marah.
“Saya miscalled awak, Nayla.”
Tak sempat nak komen lebih-lebih, telefon aku yang ada dalam poket seluar berbunyi nyaring.
“Macam mana awak boleh ada nombor saya? Mana awak dapat, Ahmad Ezra?” Soal aku garang sebaik saja telefon berhenti berbunyi. Siapa yang berani khianat aku ni?
“Mak Cik Manis,” jawab dia senafas dan tenang.
Tapi aku yang jadi tukang dengar, sikit lagi nak meraung sampai keluar air mata darah. Sampai hati mak khianat aku? Antara aku dengan Ezra… siapa yang anak kandung mak sebenarnya?
“Awak de…”
Tak sempat nak suruh Ezra padam nombor telefon aku, dia dah cantas dulu dengan buka topik baru. Jarang-jarang dia nak mula bersuara dulu sebelum orang tanya soalan. Nampak sangat ada cubaan untuk mengelak.
“Dalam bag tote ni ada kek untuk awak. Jangan lupa makan. Assalamualaikum, Nayla.”
Saat perkataan ‘kek’ menyapa ke telinga, hilang habis segala rasa sedih kena khianat dengan mak sendiri. Pantang dengar perkataan makanan, berubah 180 darjah terus perangai. Padahal tadi punyalah sedih.
Memang dasar kuat makan!
“Terima kasihhhhh… daun keladi. Lain kali… jangan lupa beli kek lagi.” Dengan tak tahu malunya, aku minta kek lagi dekat dia.
Ezra sekadar angguk sebelum kakinya melangkah keluar dari kedai. Elok saja batang tubuh dia menghilang dari pandangan, terus aku tengok isi dalam beg. Ada satu kotak kek di atas lipatan kain berwarna nude.
Baru tengok kotak kek, hati aku dah berbunga bahagia. Bukan sebab kek ni daripada Ezra, tetapi kerana aku suka gila kek. Siapa yang bagi kek atau pastri, memang aku akan terima dengan tangan yang terbuka. Tak kisah daripada sesiapa pun.
Penuh berhati-hati aku bawa keluar kotak kek dari tote bag. Takut kalau-kalau kotak tu terbalik dan terkena kain baju melayu Ezra. Mampus aku kena marah dengan abah nanti.
Sebaik saja tangan membuka penutup kotak, bibir pun ikut tersenyum nipis. Bukan sekadar ada kek coklat, tapi ada ucapan ringkas sekali di atas kek.
“Have a nice day.”
Itu ucapan yang tertulis di atas kek. Dan balasan aku pula untuk Ezra yang sudah jauh dari mata dan di hati…
“Have a nice day too, Ezra.” Walaupun dia buat aku naik angin tadi, namun bila dia buat baik, aku akan balas dengan ucapan yang baik-baik juga. Baru adil dan saksama.

UBAT CINTA - PBAKL 2023Where stories live. Discover now